Oleh SMahadzir
29 Disember 2021, 22:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Mahmeri memang kaya dengan adat resam dan budaya kerana lingkungan hidup mereka masih berkait rapat dengan alam semula jadi walaupun sudah memasuki zaman moden. Adat dan kepercayaan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan makhluk ghaib di alam semesta ini. Ketika menyambut hari kebesaran masyarakat mereka, amalan mengubat penyakit tetap dibuat secara tradisi yang melibatkan jampi serapah diiringi dengan tarian tertentu.

Jika diteliti, kebanyakan bentuk tarian dan nyanyian mereka bukan sekadar hiburan semata-mata, malah peranannya Iebih jauh daripada itu. Nyanyian dan tarian digunakan sebagai perantara untuk mengubat penyakit, menghalau hantu serta mengawal keselamatan kampung daripada diganggu oleh makhluk lain.

Tarian sewang merupakan satu amalan yang mempunyai makna popular bagi masyarakat Mahmeri yang bertujuan antara lainnya sebagai cara penyembahan kepada makhluk ghaib. Sebenarnya, tarian sewang mempunyai beberapa jenis seperti Sewang Chenchem, Gamok, Panoh, Penhei, Manjar, Pungei, Tanggei, Selombang dan lain-lain.

Sejarah juga mencatatkan bahawa Mahmeri merupakan suku yang popular dalam kalangan pelancong kerana kehalusan seni budayanya. Seni ukiran kayu anak kera yang bergayut pada ibunya telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sekiranya tetamu datang ke perkampungan mereka, tarian selamat datang tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu akan dipersembahkan. Tarian tersebut dikenali sebagai Mayin Jo’oh.

Tok Pongkola dan Tok Nania

Menurut Tok Batin Sidim, 64 tahun, Tarian Mayin Jo’oh bertujuan untuk menjemput roh nenek moyang supaya datang menyertai majlis yang diadakan. Dalam tarian berkenaan, dua lelaki memakai topeng yang dikenali sebagai Tok Pongkola dan Tok Nania turut menari bersama-sama penari wanita yang memakai pakaian khas diperbuat daripada pelbagai sumber alam semula jadi. Alat muzik yang dimainkan juga unik kerana mereka menggunakan peralatan tuntog (buluh), jule (biola), tambo (gendang dua muka) dan a-tawa (gong tembaga).

Topeng dalam kehidupan masyarakat Mahmeri boleh diibaratkan seperti “nyawa” mereka kerana digunakan dalam pelbagai istiadat, termasuk penyembahan, merawat penyakit dan menolak bala. Pengukir topeng kayu Mahmeri terkenal, Samri Abdul Rahman memberitahu bahawa setiap topeng yang diukirnya mempunyai fungsi tertentu dan tidak boleh disentuh atau dipermainkan oleh orang di sekelilingnya. Sebagai contoh, topeng banyak digunakan dalam mengubati penyakit dalam etnik Mahmeri dan bomoh akan meminta ahli keluarga menghasilkan topeng dengan rupa bentuk mengikut mimpi yang disifatkan sebagai petunjuk untuk menyelamatkannya.

Samri Abdul Rahman

“Selepas topeng itu dibuat, topeng tersebut akan dibawa untuk upacara tarian sewang, iaitu satu cara mengubati penyakit dan kemudian diletakkan di sungai atau di dalam hutan sebagai tanda menghalau semua gangguan yang datang kepadanya. Kebiasaannya selepas topeng itu diletakkan di hutan atau sungai, pesakit akan kembali sembuh manakala penduduk atau orang luar disarankan tidak mengambilnya kerana dikhuatiri akan ditimpa penyakit sama,” katanya sewaktu ditemui.

Antara topeng yang digunakan dalam tarian sewang.

Hingga hari ini, topeng menjadi simbol penting dalam masyarakat Mahmeri, walaupun secara perlahan-lahan turut dikomersialkan sebagai produk kraf tangan. “Bukan mudah untuk menghasilkan topeng. Dalam kampung kami tidak ramai yang mempunyai kebolehan sebegini, iaitu tidak kurang daripada 10 pengukir yang masih aktif. Mengukir atas kayu keras mengambil masa dengan kebanyakan pengukir selesa menggunakan kayu pulai yang lebih lembut, cuma sukar didapati sekarang apabila banyak pokok yang ditebang dalam projek pembalakan,” kata Samri Abdul Rahman.

Tok Batin Sidim

Menurut Tok Batin Sidim pula, tarian sewang yang dipersembahkan di Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan kerohanian. Tarian ini merupakan tarian tradisi masyarakat Mahmeri yang ditarikan oleh lebih kurang 10 orang penari lelaki dan perempuan atau lebih yang diketuai oleh seorang lelaki berusia yang bertindak sebagai penyanyi utama. Penari lain akan mengulangi baris nyanyian penyanyi utama dan bergerak sambil menghentakkan kaki ke lantai.

Tarian sewang merupakan satu tradisi masyarakat Mahmeri daripada nenek moyang hingga zaman sekarang. Tradisi turun-temurun ini digunakan bagi tujuan meraikan majlis menyambut tetamu ataupun perayaan. Tarian ini diikuti dengan lagu tersendiri, satu daripadanya ialah Bunga Alam.

Alat muzik yang digunakan ialah keratan buluh dan juga kayu bulat sepanjang sepuluh kaki panjangnya. Buluh dimainkan oleh lapan orang pengetuk. Ketukan akan membawa irama sewang. Sebanyak 10 orang gadis akan mengayakan tarian tersebut. Tarian ini akan diketuai oleh seorang tukang karut.

Antara gadis Mahmeri yang terlibat dalam tarian Sewang.

Tegas Tok Batin Sidim, tarian sewang ialah satu bentuk persembahan tarian tradisional masyarakat Mahmeri yang masih kekal diamalkan hingga sekarang. Tarian ini dipersembahkan untuk berbagai-bagai fungsi seperti hiburan, buka cinta, perkahwinan, memuja semangat padi dan juga perubatan. Tarian ini menjadi wadah hiburan utama dalam kalangan masyarakat Mahmeri. Tarian ini biasanya diketuai oleh Tok Halaq. Sambil bersahut-sahutan beramai-ramai, penari perempuan mengetuk buluh centung ke atas buluh panjang atau kayu keras yang padat bagi mengeluarkan bunyi nyaring.

 

Tarian ini biasanya dilakukan daIam empat gerakan yang berbeza-beza, bergantung pada fungsi tarian tersebut. Antaranya ialah tarian secara berbaris, iaitu penari-penari berada dalam satu barisan sambil menari. Bentuk seterusnya ialah bulatan, iaitu penari berada dalam bulatan sambil berjalan berpusing mengikut arah jam atau lawan jam. Selain itu, tarian ini juga dilakukan secara berpasangan antara lelaki dengan perempuan yang kadangkalanya berpegangan tangan. Manakala gerakan keempat ialah tarian secara beramai-ramai.

Tarian sewang untuk tujuan kegembiraan kebiasaannya diadakan setelah upacara menuai padi, menyambut kepulangan anak yang bekerja di perantauan, menyambut kedatangan tahun baharu, perkahwinan atau apa-apa sahaja yang difikirkan dapat memberikan kegembiraan di dalam kampung.

Persembahan sewang di hadapan khalayak ramai.

Sewang untuk perubatan pula dijalankan pada waktu malam selama enam hari berturut-turut. Semasa sewang perubatan dijalankan, orang luar tidak dibenarkan naik ke tempat tarian diadakan sehingga tarian selesai.

Menurut Tok Batin Sidim, sewang dipercayai bermula daripada nenek moyang sebagai satu upacara yang diadakan apabila kaum keluarga berkumpul, terutamanya semasa musim buah atau semasa menuai padi. Kaum keluarga akan berkumpul dan mengadakan upacara sewang tari-menari. Mereka menghidangkan buah-buahan (semasa musim buah-buahan) dan menjamu selera berserta dengan hasrat menunjukkan kesyukuran.

Menurut beliau lagi, sewang mula-mula menjelma dalam mimpi dari Pulau Buah (syurga). Ada pula pendapat lain yang mengatakan bahawa pengetahuan tentang sewang wujud sejak dahulu kala dan diketahui sejak turun-temurun sebagai satu tradisi Mahmeri. Sewang bermaksud tari-menari. Pada zaman dahulu kala dipercayai bahawa apabila mereka bermain sewang, mereka mendapat rahmat daripada Pulau Buah.

Terdapat beraneka jenis sewang seperti sewang untuk perubatan, sewang untuk kenduri-kendara dan sewang untuk menyambut Hari Moyang. Sewang menyambut Hari Moyang dilaksanakan dengan lagu-lagu upacara untuk meraikan nenek moyang Mahmeri. Dalam persembahan sewang ini juga terdapat beberapa buah lagu yang dinyanyikan.

Secara keseluruhan, kesenian sewang merupakan satu himpunan kegiatan dan proses estetika masyarakat Mahmeri yang melibatkan penyediaan alat muzik buluh tabuh (yang diperbuat daripada buluh pelbagai saiz), kerja-kerja pembinaan dan penghasilan balai permainan, pembinaan sanggar (tempat persinggahan roh nenek moyang), pembuatan kostum (yang diperbuat daripada kulit kayu dan anyaman mengkuang), anyaman dendan (daripada daun kelapa), penyediaan makanan, minuman dan sebagainya. Sebagai satu ekspresi kesenian dan estetika Mahmeri, sewang melibatkan nyanyian, tarian dan pemaparan simbol identiti harian mereka (raga rotan, beliung, sumpitan dan sebagainya) sewaktu menari.

Pendek kata, dalam keseluruhan tahap penyediaan dan kelangsungan tarian sewang ini, sebahagian besar daripada anggota komuniti yang berkenaan turut terlibat. Walaupun pada waktu persembahan berlangsung terdapat kumpulan orang yang bergiat sebagai pemain dan kumpulan lain yang menjadi penonton, namun pada hakikatnya, mereka yang kelihatan duduk sebagai penonton itu ialah “pemain” pada tahap persediaan sewang tersebut.

Oleh itu, dalam keseluruhan proses tarian sewang, membahagikan anggota komuniti itu sebagai pemain dan penonton secara ekslusif adalah kurang tepat. Bergantung pada keadaan, kumpulan dewasa dalam komuniti Mahmeri boleh menjadi pemain dan penonton secara silih berganti. Pada waktu tertentu, setiap anggota komuniti berkenaan pernah menjadi pemain sewang, sama ada sebagai penyanyi, penari, pemain muzik, penganyam dendan, pembina balai sewang, pembina sanggar, penyedia unggun api dan sebagainya.

Topeng pada kebiasaannya dipakai oleh penari lelaki.

Pembinaan sanggar dan penyediaan unggun api sebelum permainan bermula boleh dikatakan untuk menaikkan semangat darjat seni sewang ini ke tahap yang kudus atau suci. Hal ini dikatakan demikian kerana sanggar dan unggun api menjadi alat yang mengundang roh nenek moyang untuk “turun” bermain.

Tarian sewang boleh berubah menjadi persembahan sewang jika segala nyanyian, tarian, tiupan serunai buluh dan hentakan buluh tabuh dipersembahkan kepada penonton asing, terutamanya di tempat yang asing, jauh dari perkampungan komuniti berkenaan.

Sering kali juga komuniti Mahmeri diundang dan dibayar oleh agensi kerajaan untuk mempersembahkan sewang kepada khalayak bukan Mahmeri ataupun kepada kumpulan pelancong. Dalam konteks ini, sewang telah menjadi satu bentuk seni persembahan yang pada umumnya telah ketiadaan komponennya yang tulen dan kudus. Kekosongan seni persembahan ini terjadi kerana sewang tidak dimainkan dengan melibatkan sebahagian besar anggota kominiti Mahmeri yang berkenaan.

Selain itu, dalam persembahan tersebut, roh nenek moyang tidak dijemput datang. Malah, sanggar yang menjadi tempat persinggahan roh juga tidak dibina di tempat persembahan. Oleh itu, roh nenek moyang tidak menjadi pemain dan penonton dalam persembahan ini. Dengan itu, seni persembahan sewang untuk tontonan khalayak luar komuniti ini ternyata ketiadaan ansur kerohanian dan ketulenannya.

Daun kelapa merupakan peralatan penting dalam kesenian sewang. Daun kelapa yang dianyam akan dihias di sekeliling ruang tarian. Hiasan daun kelapa ini hendaklah disusun secara bersambung-sambung kerana dipercayai akan digunakan sebagai “jambatan” kepada gunik untuk memasuki tubuh Tok Halaq. Daun kelapa juga dijadikan aksesori dan  akan dililit di kepala, badan dan pinggang semua ahli sewang. Muka ahli sewang dihiasi dengan warna merah daripada biji buah kesumbar dan bintik putih daripada kapur.

Tok Halaq dan penari sewang akan memegang segenggam daun-daun hutan yang dipanggil “kijau” ‒ biasanya terdiri daripada daun herba dan akar yang mempunyai bau harum, dipotong secara khusus supaya kelihatan cantik dan kemas. Daun dan akar ini biasanya diambil dari bukit atau gunung yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

Tok Halaq yang bertanggungjawab menjalankan upacara tarian sewang tidak boleh makan makanan yang pedas dan juga yang dianggap berbisa seperti ikan keli dan ikan berduri selama tujuh hari selepas upacara sewang. Dipercayai jika Tok Halaq melanggar pantang ini, penyakit yang diubati tersebut akan kembali. Selain itu, sepanjang sewang dijalankan, penonton tidak dibenarkan berbuat bising contohnya bergelak ketawa, menangis bagi kanak-kanak dan memasang lampu atau api bagi Sewang Gelap.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.