30 Disember 2021, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bersempena dengan Program Semarak Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021, satu seminar dalam talian yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan telah dianjurkan pada 29 Disember 2021, pukul 11.00 pagi.

Seminar bertajuk “Dikir Barat: Cerminan Keharmonian Masyarakat Kelantan” ini menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu tokoh budayawan dan penulis, Datuk Haji Abdul Aziz Deraman, Mantan Pegawai Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKN), Encik Mohd Sukarno Abdul Wahab, serta penggiat seni dikir barat yang tidak asing lagi, Encik Mohd Subhie Yusof.

Dikir barat ialah seni yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan masyarakat Kelantan. Seni ini merupakan satu bentuk ekspresi rakyat Kelantan dan diterima baik oleh segenap golongan sama ada tua ataupun muda. Pada masa kini, terdapat inisiatif untuk memperkasakan seni warisan ini oleh media rasmi seperti Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) mahupun stesen swasta. Seni ini umumnya ialah satu alat untuk mendidik generasi tentang masyarakat. Seni ini sangat dekat dengan masyarakat bahkan menjadi medium untuk menyampaikan suara mereka.

Dalam konteks Keluarga Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia kesembilan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dikir barat juga dianggap satu medium yang boleh membentuk satu keluarga. Encik Mohd Sukarno menjelaskan, “Dikir barat boleh dimanfaatkan untuk mengharmonikan anggota masyarat serta negara kerana skrip dikir barat membawa mesej positif seperti ketuhanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.”

Walaupun dikir barat sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan, tidak dinafikan bahawa seni ini turut diterima oleh masyarakat Malaysia amnya. Menurut penggiat seni dikir barat, Encik Mohd Sulhie, “Dikir barat bahkan menjadi alat pengharmonian bagi seluruh masyarakat Malaysia. Saya pernah dijemput oleh sebuah sekolah di Sarawak untuk mengajar dikir barat kepada pelajar yang 100 peratus merupakan masyarakat Iban. Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, dikir barat kini masuk ke dunia yang jauh dari dunia dikir barat yang sebenar.”

Kita perlu faham bahawa dikir barat bukan acara kebudayaan seperti nasyid. Sudut ini perlu diperbetulkan, dikir barat ialah satu persembahan rakyat dan medium penyampaian untuk masyarakat.

Untuk penambahbaikan warisan serta kelestariannya sebagai satu warisan terutama buat generasi muda, pelbagai inisiatif perlu disuntik kepada warisan ini. Tok Jogho sebagai contoh, perlu menjadi watak yang boleh membawa pelbagai isu dan input yang bernilai tinggi. Di samping itu, para penonton ataupun golongan sasaran di hadapan perlu dikenali agar isu yang mahu disampaikan dapat disalurkan secara tepat dan mengikut konteks. Tok Jogho juga perlu rajin membaca untuk menambahkan pengetahuan terutama berkaitan isu terkini.

Sumber foto: Laman web rasmi JKKN: Pemetaan Budaya.

Encik Mohd Sukarno menyatakan bahawa dianggarkan Kelantan mempunyai 1000 orang pendikir. Namun begitu, kebanyakan pertandingan melibatkan dikir barat hanya dianjurkan oleh pihak RTM dan beliau menggesa pihak JKKN agar lebih proaktif menganjurkan pertandingan untuk para pendikir ini. Selain itu, garis panduan pemenang harus dilaksanakan oleh mereka yang pakar dalam dikir barat selain menyediakan satu garis panduan tentang syarat pemilihan kumpulan, bilangan ahli kumpulan, jumlah alat muzik dan juri pertandingan.

Dikir barat mampu menjadi gerakan kepada pembangunan bangsa. Encik Mohd Sulhie menegaskan bahawa pendikir perlu memberikan pemahaman kepada penonton yang berada di hadapan. Elemen dikir barat perlu diterapkan mengikut tempat yang mana persembahan dilakukan. Pendikir perlu mengolah persembahan agar difahami oleh segenap barisan penonton.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Aziz menambah bahawa pendikir perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi.

Tema yang mahu dibawa boleh dipelbagaikan dalam apa-apa sahaja seperti tema patriotisme dan ekonomi. Namun begitu, seorang tukar pendikir perlu mengetahui asas-asas bagi sesuatu perkara. Banyak perkara nasihat perlu ada dalam penyampaian.

Dalam kalangan masyakarakat Kelantan itu sendiri, terdapat beberapa pendikir dalam kalangan orang Cina. Dalam hal ini, soal kaum sudah dibelakangkan. Ini menujukkan dikir barat menjadi satu medium pengharmonian masyarakat khususnya di Kelantan kerana dikir barat diterima baik oleh kaum Cina mahupun India. Tidak dinafikan dikir barat lebih dekat dalam kalangan masyarakat marhaen berikutan isu yang disampaikan sangat dekat dengan anggota masyarakat di luar bandar.

Menyentuh soal budaya, Encik Mohd Sukarno berpendapat bahawa ramai orang melihat budaya secara tidak tepat. Oleh itu, budaya nilai tinggi dan pendidikan sangat penting dalam memberi maklumat tentang kebudayaan.

Kita lahir sehingga kita masuk ke liang lahad, boleh dikatakan sebagai proses berbudaya. Pendidikan akan membentuk nilai kita dan budaya ini ialah proses sepanjang hayat. Ketika masa dulu, apabila masuk waktu Mahgrib, anak-anak sudah perlu berada di rumah. Tujuannya apa? Ya, untuk berjemaah dengan ibu ayah. Kita juga minta izin untuk keluar dari rumah dan ini ialah contoh budaya nilai tinggi.

Peluang yang lebih luas seharusnya diberikan kepada kumpulan dikir barat seperti ruang buat mereka dalam segmen iklan dan kempen, serta pendedahan dan kursus buat para pendikir bagi menambahkan keprofesionalisme mereka dalam menyampaikan seni warisan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.