31 Disember 2021, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Daerah Klang telah dijadikan kawasan angkat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai satu inisiatif untuk membantu menggiatkan lagi usaha pembersihan pascabanjir di kawasan yang terjejas teruk akibat daripada bencana tersebut.

Sehubungan dengan itu, satu misi khas bantuan pascabanjir telah dilancarkan ke kawasan Taman Sri Muda dalam Daerah Klang yang merupakan antara kawasan yang kritikal. Menurut MOTAC, MOTAC menggerakkan seramai 150 kakitangan serta agensi di bawahnya bagi misi khas tersebut setelah kawasan itu dijadikan sebagai kawasan angkat.

Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat berkata,

Seramai 150 orang kakitangan serta agensi di bawah saya terlibat sebagai sukarelawan untuk misi bantuan khas pada kali ini termasuklah pasukan Voluntourism dalam kalangan penggiat industri di bawah MOTAC. Pasukan sukarelawan yang menyertai misi tersebut telah membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir yang terjejas teruk akibat kesan lumpur yang tebal.

Sumber foto: Facebook rasmi MOTAC.

Dengan bantuan Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Majlis Bandaraya Shah Alam, MOTAC juga sedang giat mengumpul maklumat berkenaan dengan jumlah rumah dan keluarga yang masih memerlukan bantuan sukarelawan terutama di kawasan angkat tersebut. Maklumat ini dikumpulkan bagi melancarkan gerak kerja sukarelawan bagi kerja pembersihan serta merancang misi pascabanjir seterusnya.

Setakat 29 Disember 2021, MOTAC telah menyertai sekurang-kurangnya 30 misi bantuan pascabanjir yang melibatkan lebih kurang 1000 orang sukarelawan termasuk di Daerah Klang. Misi ini melibatkan beberapa lokasi yang terjejas teruk di sekitar Selangor dan Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.