31 Disember 2021, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak ramai yang mengetahui mengenai kewujudan mukim di Perlis. Namun demikian, sejak pandemik COVID-19 melanda negara, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis mengeluarkan data kes penularan COVID-19 berdasarkan mukim walaupun sebelum ini rata-rata generasi muda hanya mengetahui kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Menerusi penulisan Ahmad Ismail dan Yazid Mat (1992) dalam buku Perlis Indera Kayangan: Sejarah Pembentukan Sebuah Negeri Berdaulat, pembentukan mukim bermula sejak zaman pemerintahan raja pertamanya lagi, iaitu Syed Husain Syed Harun yang bertujuan untuk memperkukuh sistem pentadbiran pemerintahan baginda.

Sebanyak 22 buah mukim yang telah dibentuk oleh baginda bersama-sama Dato’ Perdana Menterinya, iaitu Titi Tinggi, Abi, Beseri, Kuala Perlis, Paya, Padang Siding, Wang Bintong, Padang Pauh, Utan Aji Kurung Batang, Ngulang, Oran, Seriap (Seriab), Arau, Kayang, Kechor, Sena, Chuping, Sungai Adam, Kurung Anai, Jejawi dan Sanglang. Mukim yang paling besar ialah Titi Tinggi.

Setiap mukim yang dibentuk akan diurus oleh para penghulu yang dilantik oleh baginda sendiri. Penghulu tersebut merupakan kaum kerabat baginda dan ahli keluarga Dato’ Arau (Perdana Menteri Perlis).

Hingga hari ini, mukim-mukim tersebut masih wujud. Tidak kurang juga sejarah yang ditinggalkannya terlalu banyak. Apabila menyingkap sejarah kewujudan negeri Perlis sememangnya tersimpan berjuta-juta kisah. Sejarah yang panjang melebihi usia negerinya telah menjadikan Perlis negeri sangat unik.

Menurut Dr. Ibrahim Bakar (2019) dalam bukunya, Rahsia Kota Palas, Kota Palas atau Negeri Palas telah wujud sejak tahun 1050 Masihi. Hal ini terbukti dengan beberapa sumber menyebut berkaitan dengan Kota Palas. Antara sumber yang menyentuh berkaitan dengan Kota Palas ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan kitab Undang-undang Kedah.

Sebelum menjadi negeri berdaulat dan mempunyai pemerintahan sendiri, Perlis adalah sebahagian daripada negeri Kedah. Setelah dijajah oleh Siam, Kedah dibahagikan kepada empat buah negeri, iaitu Negeri Kedah (Muang Saiburi), Negeri Kubang Pasu (Muang Kabang-pasu), Negeri Perlis (Muang Polit) dan Negeri Setul (Muang Satun).

Negeri-negeri tersebut ditadbir oleh gabenor yang dilantik oleh Raja Besar Siam, iaitu Raja Nang Klau (Rama III). Malah, negeri-negeri yang dibentuk ini tidak tertakluk sistem pemerintahannya dengan negeri asal, iaitu Kedah.

Lebih menarik lagi ialah kisah permulaannya mendapat seorang pemerintah yang bergelar raja. Berbeza dengan negeri Melayu yang lain, Syed Husain Jamalullail telah membuka lembaran baharu apabila ditabalkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Siam pada tanggal 10 Muharam 1250 Hijrah, bersamaan 20 Mei 1834.

Buku yang ditulis oleh Buyong Adil (2019) yang bertajuk Sejarah Perlis menyatakan, Pertabalan ini berlangsung di balairung seri istana Raja Siam di Bangkok. Bahkan pertabalan ini juga telah disokong oleh Raja Ligor Nakhon di Thammarat.

Raja Syed Husain yang telah ditabalkan menjadi Raja Perlis pertama dianugerahkan oleh Raja Siam sepersalinan, perkakas kebesaran dan senjabat (senjata tujuh). Selain pengisytiharan itu, Raja Siam juga memerintahkan Raja Perlis supaya menghantar ufti Bunga Emas setiap tiga tahun sekali. Hal ini serupa sebagaimana Sultan Kedah yang diperintahkan untuk menghantar Bunga Emas.

Syed Husain Jamalullail merupakan anak kepada penghulu Arau yang pertama, iaitu Syed Harun Jamalullail. Hasil perkahwinannya dengan Wan Fatimah, anak kepada Dato’ Johan, Menteri Kanan Tunku Dziauddin Raja Muda Kayang. Ibrahim Ismail (1987) telah menjelaskan dalam bukunya, Sejarah Kedah Sepintas Lalu bahawa Wan Fatimah merupakan isteru kedua Syed Harun.

Isteri pertama Syed Harun, iaitu Tunku Sofiah (nama timangannya Tunku Tunjung) ialah puteri sulung Tunku Dziauddin dengan Wan Tam tidak memiliki anak. Oleh hal yang demikianlah, Tunku Sofiah membenarkan Syed Harun bin Syed Ahmad Jamalullail berkahwin lagi.

Perkahwinan itu telah dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri. Mereka diberi nama Syed Husain, Syed Abdullah, Syarifah Aminah dan Syarifah Aisyah. Tunku Sofiah telah mengambil Syed Husain menjadi putera angkatnya, manakala Syed Harun dilantik oleh Tunku Dziaudin Mukarram Shah II menjadi penghulu Mukim Arau.

Mukim Arau terletak di bawah pemerintahan Tunku Dziaudin di Kota Kayang, sebuah kota yang dikorek tebing terusannya. Tunku Dziaudin menamakannya Kota Indera Kayangan. Apabila baginda mangkat pada tahun 1815, Almarhum dimakamkan di Langgar Kayang Kedua, Kampung Langgar yang terletak dalam Mukim Kayang (Ibrahim Ismail, 1987).

Pada tahun 1825, Syed Harun telah mangkat dan dimakamkan di Pemakaman Diraja, Arau. Setelah kemangkatan baginda, anaknya yang bernama Syed Husain Jamalullail telah menggantikannya. Maka itu, Syed Husain merupakan Penghulu kedua di Mukim Arau. Setelah Perlis dinaik taraf menjadi sebuah negeri, maka Syed Husain juga dilantik menjadi Gabenor. Jawatan yang disandang itu telah meluaskan kekuasaannya melebihi mukim sebelumnya.

Syed Husain telah melalui tiga fasa sebagai penguasa, iaitu Penghulu Mukim Arau, Gabenor Negeri Perlis dan akhirnya raja yang berdaulat bagi negeri Perlis.  Pengalaman inilah yang menjadikan Syed Husain Jamalullail apabila dimasyhurkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Siam menyusun atur pentadbiran dengan mewujudkan mukim-mukim. Hal ini untuk memudahkan baginda mengurus tadbir negeri yang baru diperolehinya.

Sesuatu hal yang perlu ditekankan di sini adalah apabila Syed Husain Jamalullial dilantik menjadi Raja Negeri Perlis, maka bermulalah era pemerintahan keluarga Jamalullail sehingga sekarang.

Maka itu, sejarah ini harus perlu diterokai dan didokumenkan buat tatapan generasi mendatang. Semua pihak bertanggungjawab memelihara sejarah yang ditinggalkan. Satu daripada cara kita memelihara sejarah adalah dengan menulis dan mendokumenkannya. Tanpa penulisan dan pendokumentasian, sesuatu sejarah itu akan terus hilang dimamah zaman.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!