Oleh Syaza Wardina
3 Januari 2022, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya, Arkib Negara Malaysia (ANM) menggerakkan Pasukan Tindakan Bencana Rekod bagi membantu pejabat kerajaan menyelamatkan dokumen yang terjejas akibat daripada bencana banjir yang melanda.

Menurut MOTAC menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, “Antara langkah yang dijalankan adalah dengan memberikan khidmat nasihat bagi menyelamatkan rekod yang terlibat serta menjalankan kerja pemuliharaan rekod yang terjejas susulan banjir yang melanda.”

Semasa melakukan tinjauan menerusi OPS Penyelamatan Rekod Pasca Bencana di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat berkata, “Tumpuan khusus diberikan kepada dua negeri yang terjejas teruk, iaitu Selangor dan Pahang.”

Hingga kini, pihak ANM telah mengadakan lawatan khidmat nasihat dan bantuan pemuliharaan rekod yang terjejas dengan bencana banjir kepada lebih 50 jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

MOTAC turut menjelaskan, “Antara organisasi yang terkesan dengan bencana banjir pada kali ini ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Pejabat Kesihatan, Klinik Kesihatan, Hotel De Palma, PERKESO, TM Point, Bank Simpanan Nasional dan Amanah Saham Nasional Berhad.”

Sumber foto: Facebook rasmi MOTAC.

Tambah MOTAC, “Jumlah rekod yang terlibat dalam bencana banjir dianggarkan melebihi 10 juta. Sebahagian besar daripada rekod ini masih boleh diselamatkan dengan menjalankan kerja pemuliharaan.”

Proses penyelamatan dokumen dibuat melalui kaedah pengasingan, pembersihan, dan pengeringan dengan menggunakan peralatan tertentu serta bersesuaian dengan rekod yang terlibat dalam bencana banjir tersebut.

“Antara rekod yang telah dikenal pasti terjejas dalam bencana banjir pada kali termasuklah buku rekod peribadi pesakit, rekod kewangan dan perakaunan jabatan, buku perancangan pembelajaran guru, rekod permohonan kemasukan dan borang permohonan Pasport Malaysia, dokumen kontrak, tender, peta, pelan bangunan, mikrofilem dan filem X-ray,” jelas MOTAC lagi.

Sumber foto: Facebook rasmi MOTAC.

Dalam pada itu, Datuk Wira Dr. Noor Zari turut menjelaskan, “Usaha yang dijalankan oleh ANM ini dapat membantu pejabat kerajaan menyelamatkan rekod yang bernilai kepada negara. Hal ini penting bagi meneruskan operasi dan aktiviti selepas bencana banjir.”

Yang turut hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Encik Jaafar Sidek Hj Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan) JIM, YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.