4 Januari 2022, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera lisan ialah cabang yang permai kepada sastera tradisional yang penting untuk dikaji, diteliti dan dihayati oleh generasi kini. Padanya terkandung kearifan, kebijakan serta ketinggian pemikiran leluhur kita, termasuklah renungan falsafah dan prinsip hidup manusia. Semua ini tergolong ke dalam kearifan tempatan (local knowledge) yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Demikian jugalah bidang perubatan, pembuatan binaan kapal dan rumah serta pembuatan senjata − semuanya merujuk sastera lisan atau lebih luas dalam konteks tradisi lisan Melayu dan semua suku di negara ini.

Pada 26 Oktober 2021, Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka telah menjalankan kunjungan mesra di teratak Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh. Pertemuan itu bertujuan untuk mendapatkan sumbang saran, maklumat, dan nasihat berkaitan dengan kepentingan penyelidikan sastera lisan di Malaysia.

Apakah masih relevan kajian sastera lisan dilakukan pada zaman kini?

Pasti relevan, dan wajar kerana inilah khazanah yang harus dipertahankan. Setiap zaman yang mencipta tamadunnya pasti mengekalkan tradisi dan sasteranya. Semakin kita mendapatkan bahan sastera lisan yang baharu, atau sumber lisan yang autentik, pasti akan ada penemuan yang baharu, dan sering pula, menakjubkan. Misalnya, dalam naratif lisan, kita dapat mengesan pandangan alam masyarakatnya.

Pandangan alam (world view) itulah yang memperlihatkan kedalaman renungan manusia terhadap persekitarannya, yang alamiah yang menjadi juga ruang hidupnya.

Bersama-samanya terlihat juga kepandaian dan kepintaran orang dahulu menjalani kehidupan. Dalam ceritera sastera lisan ada tercatat sejarah tempatan dan tokoh atau ilmu yang lain sehingga dapat memberikan gambaran kecanggihan pemikiran mereka, serta cara mereka menyampaikannya kepada generasinya.

Asal usul atau simbol penggunaan warna dalam setiap karya sastera lisan misalnya membuka suatu ruang yang boleh dibincangkan oleh generasi kita kini. Kenapa setiap warna diberikan perlambangan tertentu dan apakah makna warna tertentu dalam kehidupan? Hal inilah yang wajar diterokai pada masa kini.

 

Apakah keistimewaan sastera lisan? Bukankah sastera lisan hanya dijadikan sebagai alat untuk hiburan pada masa dahulu?

Benar. Sastera lisan seperti yang difahami secara umum adalah sebagai alat yang menghiburkan masyarakatnya kerana pada masa itu alat seperti radio, televisyen,  dan kemudahan Internet masih belum wujud.

Walaupun dikatakan sebagai alat hiburan, karya-karya ini juga berperanan sebagai bahan pendidikan orang tua-tua kepada anak-anaknya, serta pendengar umumnya.

Tujuannya adalah untuk mewariskan panduan dan pedoman dalam kehidupan mereka, secara tidak langsung. Misalnya, dalam seloka dan pantun adanya nasihat atau tunjuk ajar tentang sifat sabar, pemaaf, amanah, adab dan lain-lain.

 

Bagaimanakah dengan skop kajian sastera lisan? Adakah meliputi di Semenanjung Malaysia, atau termasuk Sabah dan Sarawak?

Pada pandangan saya, skop kajian ini boleh digerakkan dalam skala yang lebih luas, iaitu seluruh Malaysia. Bukan hanya berfokuskan kepada sastera lisan orang Melayu tetapi meliputi keseluruhan bangsa, etnik, suku kaum, termasuk orang Asli serta Baba dan Nyonya yang ada di Malaysia.

Kita harus jelas tentang genre atau skop yang dipilih. Untuk puisi sahaja, perolehan bahan sahaja sudah cukup membanggakan sekiranya dapat digerakkan kerana hasil pengumpulannya memberikan manfaat dan rujukan kepada pelbagai pihak, terutamanya kepada para pengkaji sastera, budaya, sejarah, penggiat dan pelbagai bidang lainnya.

Bentuk puisi seperti pantun, gurindam, seloka, teromba, talibun, mantera atau bentuk prosa seperti mitos, legenda dan cerita rakyat sememangnya sudah ada kajian isi dan bentuknya oleh para sarjana. Cuma, pengumpulan prosa dan puisi tradisi khususnya dalam etnik dan suku kaum di Sabah, Sarawak serta masyarakat orang Asli masih belum mencukupi.

 

Apakah cadangan Prof. tentang tajuk dan kaedah pelaksanaan kajian sastera lisan yang memungkinkan bakal dilaksanakan pada peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan Sastera?

Bagi saya, tajuk yang sesuai ialah “Manusia, Alam dan Budaya Sastera Lisan”.

“Manusia” merujuk penuturnya, penciptanya, dan penggunanya. Penuturnya bukan sekadar dalam kalangan orang biasa, tetapi dalam kalangan khusus seperti penglipur lara, tuk selampit dan awang batil/awang belanga. Kadangkala mereka juga berperanan sebagai pengubat untuk pelbagai jenis penyakit. Maka itu, mereka juga dikenali dengan gelaran bomoh, dukun dan pawang.

“Alam” pula merujuk persekitaran alamiah dan buatan hidup mereka. Oleh itu, alam ini juga membawa maksud yang luas dan boleh berperanan sebagai perlambangan serta kiasan/ibarat dengan membawa makna yang pelbagai.

Seterusnya ialah pengalaman yang pernah dilalui sehingga terhasilnya karya sama ada dalam bentuk prosa atau puisinya. Sesetengah karya yang tercipta juga terhasil daripada pengalaman peribadi yang pasti adanya pahit dan manisnya.

“Budaya” pula ialah gaya hidup, pencapaian ilmu dan seni − tamadun dan peradaban masyarakat pencipta karya sastera lisan yang meliputi pelbagai bangsa, etnik dan agama. Padanya terjalin akal budi, falsafah serta kemajuan pemikiran masyarakat-masyarakat awal ini.

Selain pengumpulan sumber dan bahan sastera lisan untuk didokumentasikan, perlu juga dibuat sesi pembentangan hasil dapatan oleh para pengkaji dan peneliti sastera. Pada pandangan saya, dua kategori pembentang yang boleh dicadangkan dalam sesi pembentangan ini. Pertama, hasil perolehan sastera lisan yang dibentangkan oleh para sarjana. Kedua, pembentang terdiri dalam kalangan orang bukan akademik, tetapi oleh penutur sastera lisan. Pembentangan mereka bukanlah bersifat kertas kajian, tetapi seni menuturkan cerita lisan yang diwarisi mereka.

Pertembungan kedua-dua pembentang/pengamal ini akan membuka ruang bagi masyarakat atau generasi kini untuk menilai peri pentingnya mempertahankan khazanah ini. Mereka yang menuturkan cerita bukan sekadar bercerita semata-mata, tetapi ada dalam kalangan mereka yang mahir menyanyi – membawakan lagu dan iramanya. Semuanya ini membentuk keindahan seninya dalam sastera lisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.