14 Januari 2022, 23:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Katil ‒ Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu Lembaga Bahasa Melayu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar dikurniakan Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Anugerah tersebut disampaikan pada “Majlis Amanat YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Warga JAIM” yang diadakan di Bayou Lagoon Convention Centre, Bukit Katil, Melaka, malam ini.

YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan daripada JAIM.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Haji Md. Rawi Mahmud menerusi ucapan perasmian majlis tersebut, beliau berkata, “Anugerah Tokoh Kepimpinan Peradaban Warisan Melayu ini dilihat sesuai dengan tema majlis, iaitu ‘Mendahului Perubahan, Memimpin Peradaban’.” Anugerah khas ini bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh tokoh pejuang peradaban Melayu dalam usaha memartabatkan dan mewarisi perjuangan peradaban Melayu di negara ini, khususnya di Melaka.

Ketika diwawancara oleh sidang editorial Dewan Budaya, YBhg. Tan Sri Abdul Latiff berkata, “Saya bersyukur dan gembira, ini satu penghormatan daripada JAIM yang mengiktiraf perjuangan saya mewarisi peradaban Melayu. Sumbangan ini penting, lebih-lebih lagi saya lihat apabila saya menjadi Ahli Majlis Agama Islam Melaka dan penasihat kepada JAIM, saya tetap tegaskan bahawa ‘Islam tetap dijunjung sebagai agama kita, manakala adat dan warisan Melayu dikendong’.”

YBhg. Tan Sri Abdul Latiff Abu Bakar, tokoh pejuang peradaban Melayu tanah air.

Jadi, apa-apa adat dan warisan Melayu yang tidak bertentangan dengan syariat agama ‒ beradab, bersopan dan berkeperibadian tinggi, kita ceriakan hidup dengan mengamalkan kebudayaan dan warisan masing-masing; dan khususnya bagi umat Islam, amalkanlah adat dan budaya yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

“Banyak amalan, budaya dan pakaian yang terdapat dalam kebudayaan Melayu. Sebagai contohnya, pemakaian tanjak, baju Melayu dan busana warisan amat sinonim sebagai pakaian kebudayaan Melayu. Pada malam ini, saya gembira apabila ustaz dan alim ulama kita turut memakai busana Melayu yang menepati syariat Islam,” tambah beliau.

Menurut YBhg. Tan Sri Abdul Latiff lagi, “Apa-apa yang penting ialah kita mengamalkan agama dan ajaran Islam. Islam tetap dijunjung, adat dan warisan Melayu tetap dikendong dan dijaga dengan baik.”

YBhg. Tan Sri Abdul Latiff bersama-sama isteri beliau, YBhg. Puan Sri Hamidah Hassan.

Saya bersyukur atas pengurniaan anugerah ini. Anugerah ini menaikkan semangat saya untuk berjuang, terus berjuang memperkasakan adat warisan Melayu.

Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah yang selama ini kita amalkan, kita laksanakan supaya anak generasi pewaris kita mempunyai kekuatan jati diri yang tinggi berteraskan adat Islam serta mewarisi adat dan peradaban bangsa Melayu.

Pada majlis tersebut juga, Datuk Wira Haji Md. Rawi yang mewakili YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Sulaiman Md Ali menyampaikan ucapan penghargaan dan syabas kepada warga kerja JAIM atas komitmen yang diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam perkhidmatan.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Haji Md Rawi Mahmud

Berdasarkan ayat suci al-Quran daripada Surah al-Taubah, ayat 105, mafhum kepada firman Allah SWT ini, kita diseru supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun serta penuh tanggungjawab kerana segala amal pekerjaan kita nanti akan dihitung dan dihisab oleh Allah Yang Maha Mengetahui segala yang nyata mahupun yang tersembunyi, terhadap apa-apa yang telah kita kerjakan.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pelancaran buku Kumpulan Manual Pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka.

Antara yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari, Pengarah JAIM, Dato’ Che Sukri Che Mat, serta kakitangan JAIM.

Barisan dif kehormat pada Majlis Amanat YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Warga JAIM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.