Oleh Syaza Wardina
20 Januari 2022, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kursus SCH2073 (Cereka) di bawah Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Kelab Keilmuan Warisan (KIWA) mengadakan kolaborasi dengan universiti antarabangsa dari China bagi melangsungkan Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Global pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, hari ini.

Menurut Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, “Webinar ini merupakan satu proses perkembangan ilmu dan penyampaian maklumat secara lebih berkesan. Selain itu, program seperti ini mampu memberikan pengetahuan kepada semua pihak yang terlibat khususnya pihak UMK untuk mengetahui perkembangan bidang keilmuan warisan dan budaya dari semasa ke semasa.”

Tambah jabatan tersebut, “Program ini diyakini akan memberikan pulangan yang besar kepada semua pihak. Contohnya, program ini akan membentuk hubungan diplomatik antara pihak UMK dengan universiti antarabangsa yang terlibat.”

Dengan bertemakan “Keilmuan Melayu di Persada Global”, webinar ini membawakan pelbagai subtema, iaitu Kesusasteraan; Konservasi; Warisan Budaya; Seni Persembahan; Adaptasi dan Transformasi Teks; Sosioekonomi dan Sosiobudaya; Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik; Perbandingan; Mitos, Sejarah dan Pengarah Agama; Bahasa, Komunikasi dan Seni.

Pengarah Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam ucap utama webinar tersebut menyatakan cadangan yang boleh dilaksanakan dalam pelan tindakan untuk memperkasakan warisan budaya Melayu di peringkat global, seperti melalui platform pendidikan.

Antaranya menerusi program kerjasama pendidikan peringkat pengajian tinggi; program pertukaran pelajar antara dua buah negara; program pertukaran ilmuwan; dan pengenalan bahasa dan budaya antara dua buah negara.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan sajak “Menganyam Tikar Peradaban” ketika menyampaikan ucap utama dalam Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Global.

Pada sesi pertama Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Global yang bertemakan “Kesenian dan Kebudayaan”, wakil dari UMK, Encik Sudirman Kiffli menerangkan topik “Pelestarian Sastera Melayu Melalui Teknologi Digital”.

Beliau membawakan pandangan Sohaimi Abdul Aziz yang menyatakan, “Terdapat kepercayaan bahawa wujud garis sempadan antara sastera dengan sains dan teknologi. Pandangan umum ini berpaksi kepada premis bahawa sastera berhubungan dengan hal yang subjektif, manakala sains dan teknologi lebih bersifat faktual dan objektif.”

Encik Sudirman Kiffli, wakil UMK.

Pada hakikatnya, wujud kolaborasi antara sastera dengan sains dan teknologi apabila sastera boleh menjadi satu wadah penting untuk memperlihatkan adanya wajah kemanusiaan pada sains dan teknologi. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya genre sastera yang dikenali sebagai cereka sains dan sastera elektronik/digital.

Sains dan teknologi dapat dijadikan sebagai alat transformasi sastera.

Ikuti siaran langsung Webinar Pelestarian Warisan Budaya Melayu di Persada Antarabangsa menerusi Facebook FTKW – Heritage Studies dan Webex.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!