27 Januari 2022, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama GoPro telah menghasilkan video “Dream Malaysia” bagi mempromosikan keindahan destinasi-destinasi menarik di Malaysia.

‘Dream Malaysia’ merupakan sebuah kempen yang mengetengahkan tarikan ekopelancongan dan pelancongan desa, memberikan inspirasi kepada keluarga Malaysia untuk melancong ke lokasi-lokasi unik yang masih belum diterokai, dan mencipta kenangan baharu dengan menggunakan kecanggihan kamera GoPro.

Kempen ini bermula dengan penganjuran pertandingan video “Dream Malaysia Challenge” yang berlangsung antara 13 hingga 28 Mac 2021. Para peserta perlu merakamkan dan menyiarkan video pendek berdurasi antara 30 hingga 45 saat yang menonjolkan pelbagai tarikan ke destinasi yang pernah mereka lawati di Malaysia untuk menyertainya.

Para peserta juga perlu memastikan video tersebut telah diedit dengan menggunakan aplikasi GoPro yang tersedia. Pertandingan ini menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi seperti alatan elektronik GoPro yang terkini serta pakej percutian berasaskan alam semula jadi yang menarik di Taman Negara, Gopeng Glamping Park dan Bukit Tadom. Sebanyak 133 penyertaan telah diterima sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.

Majlis pelancaran kempen “Dream Malaysia” telah berlangsung pada 26 Januari 2022 dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan “Dream Malaysia” merupakan gabungan kerjasama yang memfokuskan kepada pendigitalan dalam menyemarakkan industri pelancongan negara.

Sumber foto: Facebook rasmi MOTAC.

Tambah beliau, terdapat pelbagai tarikan di Malaysia tetapi masih ada lagi  yang belum mendapat perhatian para pelancong terutamanya produk-produk ekopelancongan dan pelancongan desa.

Melalui GoPro, MOTAC mahu menampilkan kandungan dan perspektif baharu melalui pengalaman pengembaraan yang menakjubkan bagi keluarga Malaysia dan warga dunia.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Pengerusi Tourism Malaysia, Dato’ Seri Ramlan Ibrahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Hj Zainuddin Abdul Wahab, serta barisan pengurusan kanan MOTAC dan Tourism Malaysia

Naib Presiden Pemasaran Global dan Komunikasi GoPro, Encik Rick Loughery yang turut bersama-sama dalam majlis perasmian tersebut menyatakan pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Torism Malaysia dalam mempamerkan destinasi-destinasi yang menakjubkan di Malaysia.

Melalui kempen ini, matlamat GoPro adalah untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk merakamkan dan mengabadikan memori mereka melalui pelbagai sudut manakala Tourism Malaysia pula memainkan peranan dalam mengetengahkan destinasi-destinasi yang kaya dengan tarikan dan budaya.

Pasukan GoPro dan penyedia kandungan di bawah pengendalian Tourism Malaysia telah mengembara ke beberapa buah negeri untuk menerokai destinasi tempatan yang belum diterokai. Penemuan keindahan produk-produk perlancogan yang tersembunyi sepanjang pengembaraan tersebut membolehkan mereka memperoleh pengalaman dan mencipta kenangan yang unik di sekitar Malaysia dengan menggunakan kecanggihan kamera GoPro.

Video-video yang dihasilkan akan dikongsikan melalui platform media sosial GoPro dan Tourism Malaysia. Diharapkan kesemua video yang dihasilkan akan memberikan inspirasi kepada keluarga Malaysia untuk menerokai destinasi-destinasi unik tersebut. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, bolehlah melayari laman Instagram dan Facebook GoPro serta laman Instagram dan Facebook Tourism Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!