31 Januari 2022, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menurut Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya, Profesor Dr. Mohd. Nasir Hashim, polemik seni budaya ini tidak boleh dilihat melalui satu perspektif sahaja. Untuk melahirkan mahasiswa yang berseni dan berbudaya, antara organisasi pendidikan yang paling layak dan memainkan peranan utama ialah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

APM antara badan pendidikan yang melahirkan masyarakat yang beridentiti, berbudaya dan mereka juga yang giat memperjuangkan kesenian dan kebudayaan itu sendiri,” kata beliau.

Tambahnya lagi, Fakulti Seni Kreatif di UM lebih menumpukan untuk mendidik mahasiswa dan masyarakat dalam gagasan fokus seni yang lima, iaitu visual, drama, muzik, tari dan budaya, manakala APM pula yang mengintegrasikan kebudayaan di samping menjadi pusat intelektual kebudayaan dan itulah yang membezakan karyawan UM dengan karyawan lain.

Bicara Santai Seni Budaya.

Kenyataan Profesor Dr. Mohd. Nasir ini dirakam daripada Bicara Santai Seni Budaya (BSSB) yang beliau hadiri sebagai ahli panel, pada 26 Januari 2022 (Rabu) lalu, bertempat di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. BSSB pada kali ini hadir dengan tajuk “Peranan Seni Budaya dalam Kehidupan Masyarakat” dengan barisan panel jemputan terdiri daripada mantan Ketua Pegawai Kebudayaan Pusat Kebudayaan UM, Sahimi Haji Chik; Profesor Dr. Mohd Nasir Hashim sendiri dan Dr. Mohd Effindi Shamsuddin dari Akademi Pengajian Melayu, UM.

Persembahan muzikal khas turut didendangkan daripada Kombo Universiti Malaya yang diketuai oleh Danny Hashim, dengan persembahan vokal istimewa daripada Dr. Shafasatussara Silahudin.

Dr. Shafasatussara Silahudin.

Dekan Fakulti Seni Kreatif UM itu juga sempat menekankan bahawa APM sebagai badan yang mengandungi gagasan budaya itu sendiri, perlu berganding rapat dengan Fakulti Seni Kreatif yang berdiri sebagai fakulti yang melahirkan para pelajar kesenian, untuk melahirkan masyarakat seni budaya.

“Seni dan budaya saling melengkapi antara satu sama lain. Seni tanpa budaya akan cacat, dan tidak akan indah,” jelas beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Encik Mohd Effindi Shamsuddin berkata, “Kita melihat disiplin ilmu dan idea yang pelbagai itu mekar apabila seni budaya dihidupkan oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang.”

“Di peringkat IPT, adalah menjadi tanggungjawab kami yang berkhidmat di sini untuk menanam jiwa kreatif seni budaya dalam kalangan pelajar daripada pelbagai bidang. Hasilnya, inisiatif dan aktiviti daripada APM mahupun Fakulti Seni dan Kreatif atau mana-mana organisasi seni budaya dari UM akan disertai oleh pelajar daripada pelbagai bidang, dan idea-idea yang dibawa mereka ini sangat istimewa dan menarik,” jelas Effindi.

Beliau berposisi bahawa kepentingan untuk menarik pelajar merentasi bidang untuk menyertai bidang kreatif patut diberikan keutamaan. Menjawab persoalan mengenai apakah relevannya seni budaya buat mahasiswa dan masyarakat? Beliau menjawab bahawa sebagai platform dan medan untuk menggambarkan perasaan dan identiti, seni budaya juga merupakan medan praktikal.

“Seni budaya ialah sebuah medan idealistik, malah medan praktikal dan medan kehidupan serta rasa hidup,” katanya.

Kombo Universiti Malaya yang diketuai oleh Danny Hashim.

Beliau juga menambah, “Seni budaya juga satu pemikiran, dan kesatuan kematangan. Medan ini mencorak keperibadian, tambahan dengan budaya, malah menjadikan seseorang itu sebagai insan yang berjiwa  disegani. Seni dan budaya merupakan satu keperluan yang sangat penting untuk seseorang, tidak kira apa-apa pekerjaan hakiki mereka, apatah lagi buat mahasiswa,” jelas Effindi, menyimpulkan bicara.

Tonton bicara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.