31 Januari 2022, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling JayaSmall Town Heroes yang bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara semasa perayaan Tahun Baharu Cina 2022 mulai 3 Februari 2022 nanti boleh dianggap sebagai filem untuk Malaysia. Selain keseluruhan penggambaran dijalankan di negara ini, tenaga produksinya ialah karyawan tempatan, daripada pengarah sehinggalah kesemua kru.

Para pelakonnya berbilang kaum. Tidak hanya Yuan Teng, Jack Lim serta pelakon kanak-kanak Phua Chandler dan Roger Shak, Small Town Heroes turut dibintangi oleh Layla Sania, C. Kumaresan (yang terkenal menerusi drama bersiri televisyen Gerak Khas) sebagai Cikgu Kumar, dan pelakon veteran berwibawa, Fauziah Nawi.

Kisah yang dibawakan oleh filem ini juga tidak asing dengan masyarakat Malaysia, iaitu anak yang tiada ibu bapa, sama ada kerana kematian ataupun perceraian.

Istimewanya, Layla ialah penyanyi muda Melayu yang menarik perhatian ramai setelah mendendangkan lagu Mandarin pertamanya berjudul By Your Side pada 22 Januari tahun 2021. Kebolehannya menyanyikan lagu itu, dan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu fasih telah menarik perhatian Ryon Lee untuk membintangi filem terbaharu arahannya, Small Town Heroes. Dalam filem bercorak drama itu, Layla memegang satu daripada watak penting, iaitu Cikgu Aisyah. Fauziah pula sebagai ibunya.

Kebolehan Layla Sania menyanyikan lagu dan bertutur dalam bahasa Mandarin dengan begitu fasih telah menarik perhatian Ryon Lee untuk membintangi filem Small Town Heroes.

Walau bagaimanapun, Layla yang berusia 19 tahun tidak hanya dipilih kerana mampu menyanyi dan bertutur dengan fasih dalam bahasa Mandarin. Dia juga ada bakat berlakon, malah kebolehan itu yang membawanya ke dalam dunia seni tanah air. Layla menggilap bakat lakonan semasa berusia 10 tahun apabila muncul dalam telefilem Cucu Tok Aki, diikuti dengan drama Bangkitnya Seorang Perempuan. Selepas meninggalkan kerjaya seni buat seketika untuk memberikan tumpuan pada pelajarannya, Layla bergiat pula dalam teater dan suara latar ketika berusia 17 tahun.

Yuan pula ialah Aktor Terbaik untuk Bakat Baharu di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-22 pada 21 Jun 2019 menerusi filem Taiwan, The Paradise. Aktor kelahiran Kuala Lumpur ini juga dipilih oleh Ryon kerana memiliki mata monolid. Filem lain lakonan Yuan ialah In My Heart (2018).

Yuan Teng sebagai Guo Qing, peniaga buah-buahan yang lurus dan naif, serta suka berlagak gagah di hadapan orang yang disukainya.

Dalam The Paradise yang diarahkan oleh sutradara Taiwan, Shih-Han Liao, Yuan membawa watak seorang anak muda yang menghadapi masalah ketagihan dadah. Menurut Yuan, lakonannya sebagai Guo Qing merupakan penghargaan Ryon untuk Guo Jing dalam filem The Legend of the Condor Heroes, arahan Jin Yong.

Guo Qing dalam Small Town Heroes merupakan peniaga buah-buahan yang lurus dan naïf, serta suka berlagak gagah di hadapan orang yang disukainya. Kata Yuan atau nama sebenarnya Chang Hong Ong lagi, dia teruja setelah mendapat tahu akan membintangi Small Town Heroes, yang merupakan filem Tahun Baharu Cinanya yang pertama. Selepas membaca skrip dan melihat senarai pelakon, dia sangat gembira, dan tidak sabar untuk ke set penggambaran.

Jment Lim yang menjadi penerbit bersama-sama penerbit eksekutif Aron Koh, turut berjanji 30 peratus daripada keuntungan Small Town Heroes akan didermakan kepada badan amal.

Pada 20 Januari 2022 lalu, telah berlangsung majlis pratonton dan sidang media filem Small Town Heroes di sebuah pusat beli-belah dekat sini yang turut dihadiri oleh Layla dan Yuan, serta Roger, Phua, Jack, dan  Eric Lin, bersama-sama Ryon.

Dalam sidang media tersebut, masing-masing menceritakan keseronokan dan kepuasan ketika menjalani penggambaran walaupun terpaksa menghadapi kekangan prosedur operasi standard akibat COVID-19. Roger dan Phua yang telah memberikan lakonan cemerlang masing-masing sebagai Hero dan Ah Feng turut berkongsi pengalaman menarik mereka.

Kanak-kanak berbilang kaum yang menghuni Rumah Anak Yatim Kebahagiaan bergembira menyambut Tahun Baharu Cina walaupun ada masalah bekalan elektrik pada ketika itu.

Kisah Small Town Heroes bermula apabila Hero yang berasal dari kota, berpindah ke Rumah Anak Yatim Kebahagiaan yang terletak di luar bandar. Di situ, dia berkawan baik dengan Ah Feng yang keletah, serta meminati novel seni pertahanan diri, dan Aisyah yang walaupun bijak matematik, serta bertubuh kurus, tetapi mahu menjadi ahli gusti – mengikut jejak dan bakat arwah ayahnya. Setelah ibu Hero tidak datang mengambilnya seperti yang dijanjikan, dia dan Ah Feng, serta Aisyah memulakan perjalanan mencari keluarganya.

Dengan kos produksi kira-kira RM2.1 juta dalam format 2D, kisah cinta pemuda Cina, Guo Qing dan gadis Melayu, Cikgu Aisyah dalam filem ini merupakan penghargaan kepada filem Sepet (2005). Ryon mengakui bahawa beliau sentiasa meminati filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu sehingga terdorong menghasilkan Small Town Heroes.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.