4 Februari 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Genting SkyWorlds, sebuah taman tema yang dijangka akan menjadi taman tema kedua terbesar di Asia Tenggara dari segi jumlah pengunjung akan mula dibuka pada 8 Februari 2022.

Menurut Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit dalam satu kenyataan, “Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan.”

Dengan keluasan 10.4 hektar pada ketinggian 6000 kaki dari aras laut, taman tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan harta intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem dalam permainan serta tarikan bertaraf dunia. Taman tema ini akan menawarkan 26 tarikan merentasi sembilan zon dianggarkan menerima sehingga lebih 4.0 juta pelawat dalam tempoh setahun.

Para pelanggan boleh mendapatkan tiket melalui laman web Genting SkyWorlds dan aplikasi Genting SkyWorlds bermula pada pukul 10.00 pagi hari ini. Bersempena dengan pembukaan prapelancaran taman tema tersebut, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari hingga 31 Mac 2022.

Harga tiket penuh bagi tiket standard ialah RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas atau orang kurang upaya (OKU) berharga RM161 dan kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm boleh memasuki Genting SkyWorlds secara percuma.

Sementara itu, harga tiket selepas diskaun prapelancaran sebanyak 20 peratus adalah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak dengan ketinggian 90 cm ke 110 cm dan warga emas atau OKU.

Antara keseronokan yang bakal dinikmati oleh para pengunjung Genting SkyWorlds. 
Sumber foto: Facebook Genting SkyWorlds.

Semasa tempoh pembukaan prapelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan yang membolehkan pengunjung memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.

Selepas membeli tiket secara dalam talian, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery. Aplikasi itu bukan sahaja memberikan panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan dengan Genting SkyWorlds, malah membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.

Aplikasi Genting SkyWorlds boleh dimuat turun secara percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Antara ciri aplikasi tersebut adalah dipaparkan tempoh menunggu dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk setiap permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, beli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!