10 Februari 2022, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Siri Syarahan ATMA 2022 (Bil.1) yang bertajuk “Tamadun Melayu dan Tamadun China Berwacana: Meneroka Ruang dan Peluang Kolaborasi ‘Menang-Menang’”, pada pukul 10.00 pagi tadi. Program yang berlangsung secara hibrid bertempat di Bilik Majlis, Aras 5, Bangunan Canselori, UKM ini turut dipancarkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Wacana yang menampilkan ahli panel yang tidak asing lagi, iaitu Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah ATMA telah mengupas secara mendalam berkenaan dengan hubungan antara dua tamadun, iaitu Tamadun Melayu dengan Tamadun China yang telah bermula sejak sekian lama dahulu.

Memperihalkan bibit-bibit awal hubungan antara dua tamadun ini, adalah diketahui bahawa bukti-bukti hubungan awal Tamadun Melayu dengan Tamadun China boleh digali dari pelbagai aspek seperti arkeologi, kesusasteraan, artifak dan lain-lain.

Keakraban hubungan antara dua tamadun ini telah berlangsung dengan beberapa dinasti antaranya Dinasti Han, Tang, Song, Ming dan Qing. Mereka pernah datang ke Melaka dan interaksi antara dua tamadun ini dilahirkan melalui pelbagai aspek.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang memulakan wacana dengan menjelaskan bahawasanya menurut catatan sejarah China, hubungan Tamadun Melayu-China telah wujud semasa zaman Dinasti Han, iaitu kira-kira 100 tahun sebelum Masihi. Han Shu Di Li Zhi (Catatan Dinasti Han – Rekod Geografi) telah merekodkan pelayaran pegawai-pegawai Maharaja Wu Di ke India dan melalui Selat Melaka pada kira-kira tahun 140 SM hingga 87 SM.

Perdagangan melalui pertukaran barang telah dilakukan di Asia Tenggara dan Asia Selatan. Beliau berkata:

Tidak dapat dinafikan lagi bahawasanya hal ini memungkinkan interaksi antara dua tamadun malahan beberapa nama tempat seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah turut disebut dalam catatan mereka. Tentulah tempat tersebut disebutkan dalam sebutan yang berlainan tetapi itu bukan perkara yang menghairankan bahkan perbezaan sebutan juga turut berlaku pada zaman moden ini.

Hubungan akrab ini masih diteruskan hingga hari ini dan bahkan kita dapat melihat penduduk keturunan Cina yang telah melalui beberapa generasi dan mereka membentuk populasi yang berjumlah 22 peratus daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 32 juta orang. Tidak dinafikan bahawasanya mereka turut mewarnai masyarakat majmuk Malaysia dalam pelbagai perkara seperti seni budaya, bahasa, busana, makanan, perayaan dan sistem kepercayaan.

Profesor Datuk Seri Dr. Awang juga turut melontarkan beberapa cadangan pelan tindakan untuk meneruskan hubungan baik ini termasuklah melakukan penyelidikan tentang pelbagai aspek peradaban seperti sistem nilai, falsafah, pemikiran, pandangan sarwa, seni, bahasa, seni bina serta lain-lain. Hal ini perlu dilakukan menggunakan pendekatan kajian perbandingan terutamanya antara alam Melayu dan China. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan persefahaman dan penghargaan yang lebih mendalam antara kedua-dua pihak.

Berkenaan perkembangan Islam di China dan Islam di alam Melayu khususnya, beliau berkata:

Islam di China melalui beberapa data konkrit adalah bermula pada abad ketujuh melalui sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Saad bin Abi Waqqas yang diutuskan oleh Saidina Usman bin Affan untuk menyebarkan Islam ke Timur. Masjid yang dibina oleh beliau masih teguh berdiri hingga hari ini. Hal ini menunjukkan bahawa Islam telah lama bertapak di China malah lebih jauh dari Tanah Melayu sendiri. Kita perlu mengambil peluang ini untuk menjemput ilmuwan mereka bagi menyampaikan kefahaman kepada orang Cina di Malaysia terutama berkaitan dengan kesalahfahaman berkenaan dengan agama Islam.

Sebagai penutup, beliau menzahirkan harapan berkenaan hubungan antara dua tamadun ini agar hubungan antara alam Melayu dengan negara China sentiasa malar segar.

Hubungan ini perlu didasarkan atas semangat persahabatan seperti yang telah wujud sejak abad ketujuh bahkan lebih awal hingga abad ke-15 supaya persahabatan terjalin untuk kedamaian sejagat. Ini merupakan satu peluang yang mesti kita ambil seluas-luasnya bukan sahaja dalam aspek ekonomi dan pendidikan bahkan dalam aspek agama dan kajian-kajian yang lain.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!