Oleh Aisyah A.
11 Februari 2022, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah umrah akan berkuat kuasa bermula 14 Februari ini. Keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19, bertarikh 8 Februari 2022 yang lalu. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira angka jangkitan, penambahbaikan SOP dan keperluan dos penggalak dalam mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaludin dalam sidang media yang diadakan telah memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan, berkuat kuasa pada 8 Januari 2022 yang lalu untuk memberikan laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap SOP. Selain itu, beliau juga telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama Persatuan Industri Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung dengan hala tuju pelancongan umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa dengan kerjasama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Nancy Shukri.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, “Antara SOP baharu itu adalah keperluan person in charge (PIC) atau wakil yang bertanggungjawab daripada agensi pelancongan untuk memantau kepatuhan 40 orang jemaah umrah semasa berada di Tanah Suci, dalam perjalanan pulang ke Malaysia dan ketika di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia.”

“Bagi kumpulan yang kurang daripada 40 orang jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA. Tatacara pengurusan dan prosedur untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di KLIA akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah,” jelas beliau.

Selain itu, jemaah umrah diwajibkan untuk mengambil dos penggalak serta menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing dan jemaah tidak perlu memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA). Jemaah juga dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan syarat, kos penginapan, makan minum dan rawatan di bawah tanggungan jemaah sendiri.yah

SOP baharu ini akan berkuat kuasa bermula pada 14 Februari 2022. Susulan itu, para jemaah yang dalam perjalanan mengerjakan umrah dalam tempoh antara 8 hingga 13 Februari 2022 boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini. Penggunaan SOP baharu akan mula diguna pakai sebaik-baik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia. Syarat ini termasuklah proses menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali bagi mereka yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta.

Dalam pada itu, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengatur sesi Training for Trainers (TOT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah MOTAC mengenai pemakaian SOP baharu ini. Mereka seterusnya bertanggungjawab untuk memberikan taklimat penerangan kepada jemaah di bawah kendalian mereka sebelum berlepas mengerjakan umrah.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.