Oleh Nor Aini Hassan
14 Februari 2022, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Che Long Jaafar bin Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif merupakan pengasas kepada perkembangan bandar Taiping dan seorang jutawan bijih timah Melayu. Selain bijih timah Che Long Jaafar, beliau juga terbukti sebagai seorang pedagang dan usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dengan memiliki ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Tebu-tebu tersebut dieskport ke Pulau Pinang melalui Pelabuhan Kuala Gula dan diproses menjadi gula untuk menampung keperluan harian penduduk pada ketika itu.

Che Long Jaafar ialah seorang yang berintelektual dan berpandangan jauh. Beliau juga merupakan pengasas kepada perkembangan pendidikan di Perak dengan mendirikan Sekolah Melayu di Matang Gelugor pada tahun 1826. Sekolah Melayu tersebut telah menjadi asas kepada penubuhan Maktab Perguruan Melayu di Matang yang kini merupakan bangunan Muzium Matang.

Tapak tanah Kota Long Jaafar.

Che Long Jaafar mempunyai kotanya sendiri yang terletak di Bukit Gantang, Perak dan merupakan kota Melayu terawal dibina dengan menggunakan bata sebagai struktur binaanya. Kota Long Jaafar dibina di kawasan lot tanah 3149, seluas 22 ekar.  Lokasinya terletak di antara jalan raya persekutuan yang menghubungkan Kuala Kangsar ke Changkat Jering, Taiping. Che Long Jaafar menjadikan kotanya sebagai pusat pentadbiran Larut dan pusat perniagaan. Kota Long Jaafar dibina di atas sebidang tanah tinggi yang memiliki ciri-ciri keselamatan dan panorama yang indah dikelilingi oleh bukit dan sungai yang mengalir ke Selatan Melaka.

Kota Long Jaafar mempunyai tujuh penampang tembok berukuran antara 10.67 meter hingga 181.78 meter dengan ketinggian 1.5 meter hingga 2.0 meter. Kota ini dilengkapi dengan beberapa buah pintu termasuk pintu gerbang utama di sebelah barat berhadapan dengan tasik yang dikenali sebagai “Takungan Menteri”, menara kawalan dan parit-parit pertahanan. Tapak rumah Che Long Jaafar terletak di sebelah timur kota manakala makam Che Long Jaafar terletak di sebelah utara.

Kota Long Jaafar dilengkapi dengan gudang untuk menyimpan senjata seperti meriam, senapang, ubat bedil, lembing, tombak dan sebagainya. Beliau mempunyai pengawal-pengawal keselamatan yang terdiri daripada orang Melayu dan orang daripada keturunan Habsyi di samping pasukan bergajah, kereta lembu dan kereta kerbau yang berfungsi sebagai pertahanan dan pengangkutan. Semasa pemerintahan Che Long Jaafar, Sungai Limau merupakan pelabuhan utama ketika itu dan terletak di bawah seliaan Dato’ Panglima Bukit Gantang, Orang Besar Delapan negeri Perak.

Di hadapan Kota Long Jaafar terdapat sebuah tasik yang menganjur luas dari hulu Banjaran Gunung Bintang hingga ke kawasan jalan besar antara bandar Taiping ke Kuala Kangsar. Penduduk tempatan menyebutnya sebagai “Takungan Menteri”.  Di tengah-tengah tasik tersebut dibina sebuah rumah rehat yang dihubungkan oleh sebuah jambatan. Pemadangan di tasik tersebut sangat cantik dihiasi dengan pokok-pokok seperti bunga teratai dan tanjung.

Kota Long Jaafar sering dikunjungi oleh penduduk Bukit Gantang suatu ketika dahulu terutamanya semasa Pesta Mandi Safar dengan diadakan acara lumba perahu. Che Long Jaafar seorang yang berpegang kuat pada ajaran agama Islam di samping mencari harta dunia beliau juga telah membina sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari kotanya dan ramai guru agama dijemput mengajar di situ. Ketika itu, Larut menjadi tempat penghijrahan dan perlindungan para golongan alim ulama dari Patani yang ditindas ekoran berlakunya peperangan di Siam.

Meriam Long Jaafar.

Che Long Jaafar meninggal dunia pada 12 Jamadilakhir bersamaan Ogos 1857 dan jenazah beliau dimakamkan di kotanya. Kini, hanya tinggal runtuhan kota dan makam Long Jaafar sahaja yang menjadi bukti kegemilangan sejarah ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.