16 Februari 2022, 08:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saya tidak pasti berapa ramai yang menonton atau sedar dan masih mengingati sebuah filem kempen budi bahasa yang disiarkan di televisyen negara tidak lama dahulu.

Bukanlah saya mahu berjenaka. Saya cuma mahu mengatakan watak seorang pemilik kereta yang mencerca seorang pemilik kereta lain kerana meletak kereta sehingga menghalang keretanya untuk keluar menerusi filem pendek itu dipegang oleh pelakon yang akan dinyatakan lewat tulisan ini.

Mungkin kerana lakonannya yang berkesan dalam filem tersebut yang berbaur antara kekasaran dengan kelucuan, membuatkan saya lebih mengingati beliau. Kasar apabila dia memaki hamun, sementara lucu pula semasa dia ketakutan dan masuk ke keretanya setelah cuba dipukul oleh orang yang dicercanya itu.

Walaupun memegang watak pembantu atau sampingan, beliau merupakan antara “orang teater” tanah air yang turut beralih ke filem, telefilem dan drama televisyen seperti Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim, Allahyarham Mustaffa Noor dan Nam Ron.

Antara filem yang dibintanginya termasuklah Mat Gelap (1990), Selubung (1992), Beyond Rangoon (1995), Perempuan Melayu Terakhir (1999), Mimpi Moon (2000), Waris Jari Hantu dan 1957: Hati Malaya (2007), Talentime (2009), serta Split Gravy on Rice (2015). Menariknya, pelakon ini memegang watak Tan Sri Dato’ Paduka Khir Johari yang kemudiannya menjadi Menteri Pelajaran dalam filem 1957: Hati Malaya.

Dua buah telefilem yang turut menampilkan beliau ialah Dunia Rees dan Ina (1995), dan Neon (2003), sementara drama televisyen yang dibintanginya ialah Mastura pada tahun 1998.

Pelakon ini memulakan kerjaya seninya apabila beraksi dalam teater Caught in The Middle pada tahun 1987. Kemudian, beliau tampil dalam Gold Rain and Hailstones (1992), The Storyteller (1996), Visit dan Spilt Gravy On Rice (2002), Full of Jit (2007), dan One Load of Bull Jit (2009).

Storyteller berdasarkan tradisi percakapan Asia Tenggara. Visit pula merupakan pementasan semula versi komedi pada era 1990-an. Selain di Kuala Lumpur, Gold Rain and Hailstones turut dipentaskan di Pulau Pinang dan Singapura.

Teater Spilt Gravy on Rice karya Allahyarham Jit Murad memenangi empat anugerah dalam Anugerah Boh Cameronian yang berprestij tinggi.  Sumber: IMDb

Selepas Split Gravy On Rice, ertinya sudah tujuh tahun kelibat pelakon ini tidak kelihatan dalam mana-mana filem. Malangnya, setelah lama tidak dilihat, ternyata aksi beliau tidak akan dapat dilihat lagi, bukan sahaja dalam filem, malah telefilem, drama televisyen dan teater sekalipun. Dalam hal ini saya juga teringat kepada ramai rakan penulis yang lama tidak ditemui, yang akhirnya tidak dapat ditemui lagi kerana mereka meninggal dunia.

Demikianlah Jit Murad, pelakon yang dimaksudkan. Jit atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan Murad meninggal dunia pada 12 Februari 2022 yang lalu akibat serangan jantung.

Di media sosial, berita kematian Jit turut dikongsikan oleh beberapa orang sahabatnya, termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; pelakon Redza Minhat dan Maya Karin, serta penyanyi Francesca Peter dan ramai lagi. Mereka yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham turut berkongsi ucapan takziah, dan pengalaman.

Antaranya ialah pelakon dan pengarah filem terkenal, Dato’ Afdlin Shauki, 51 tahun, yang banyak kenangan bersama-sama Allahyarham Jit ketika awal-awal penglibatan dalam industri hiburan tanah air. Pada peringkat awal kerjaya beliau dan Harith Iskander, banyak yang dilakukan bersama-sama Allahyarham.

Mereka yang menonton persembahan komedi di pentas ataupun semasa era 1990-an hingga awal tahun 2000-an pasti mengenali nama Jit Murad. Sehubungan dengan itu, Afdlin mengaku beliau banyak belajar mengenai komedi dan penceritaan daripada Allahyarham.

Jit yang meninggal dunia di rumahnya di Bukit Damansara pada usia 62 tahun merupakan anak kepada mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor. Allahyarham juga ada adik lelaki yang turut aktif berlakon, menulis skrip dan menerbitkan filem, iaitu Noor Azhar atau lebih dikenali sebagai Na’a Murad.

Jit dilahirkan pada 17 Januari 1960 di Kuala Lumpur dan belajar di Institut Victoria pada era 1970-an, sebelum menuntut dalam bidang perancangan bandar dan sosiologi di Chicago, Amerika Syarikat (AS). Allahyarham kemudian memperoleh ijazah sarjana dalam Sejarah Seni Abad ke-20 di San Francisco, Amerika Syarikat.

Sekembalinya ke Malaysia pada Disember 1989, Allahyarham turut terlibat dalam penubuhan Syarikat Teater Kafe Segera yang terus menarik perhatian ramai kerana menampilkan karya-karya yang menyengat dalam isu sosial dan satira politik.

Pada tahun 1993, Jit mula membantu Dramalab, sebuah badan teknologi maklumat dan komunikasi yang khusus menggalakkan penulisan bentuk baharu. Sepanjang kerjayanya, Allahyarham disegani sebagai penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik. Allahyarham juga pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri kreatif Malaysia seperti Zahim Albakri, Jo Kukathas dan mendiang Krishen Jit.

Jit turut dikenali sebagai penulis prolifik di Asia Tenggara, selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah. Spilt Gravy on Rice, misalnya memenangi empat anugerah dalam Anugerah Boh Cameronian yang berprestij tinggi.

Jasa dan pengorbanan Jit turut diabadikan dalam dua buah buku bibliografi, iaitu Jit Murad: Two Things, terbitan Rhino Press pada 1997, dan Jit Murad: Jit Murad Plays (Matahari Books/2017).

Jenazah Allahyarham Jit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2022 lalu. Menurut Na’a, proses mengurus jenazah di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengambil sedikit masa ekoran wabak pandemik, ujian COVID-19, dan bedah siasat. Jelas Na’a, beliau mendapat berita kematian Jit daripada rakan-rakan baik abangnya itu yang bimbang kerana Allahyarham tidak menjawab semasa dihubungi dalam tempoh yang lama.

Antara sahabatnya ialah Fizar Harun yang bersama-sama beberapa orang rakan lain cuba menghubungi Allahyarham kerana telah lama tidak bertemu, tetapi tiada jawapan. Mereka pun bergegas ke kondominium Jit dan mendapati Allahyarham sudah tidak bernyawa.

Pemergian Allahyarham Jit memang satu kehilangan besar bagi dunia seni negara, khususnya bidang lakonan filem, telefilem, drama televisyen, dan teater. Semoga rohnya dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, dan diampuni segala dosa.

Al-Fatihah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.