18 Februari 2022, 11:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Selepas album solonya yang keenam, Sang Pencinta pada tahun 2006 yang memuatkan lagu terkenal, Juwita … (Citra Terindah), Dato M. Nasir tidak lagi muncul dengan album terbaharu, atau yang menjadi kelaziman sekarang, lagu tunggal.

Dato’ M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed hanya muncul dengan kolaborasi bersama-sama Malique untuk lagu Mantera Beradu pada tahun 2010, serta Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam lagu Zuhud (2019), yang mendapat sambutan hangat.

Walaupun dari semasa ke semasa pihak M. Nasir menyatakan beliau akan muncul dengan album baharu dan sedang dalam proses penerbitan, tetapi para peminat masih menanti seperti “menunggu buah yang tak gugur”.

Pada akhirnya, tahun 2022 menyaksikan penantian para peminat M. Nasir berakhir apabila penyanyi, pelakon, pengarah dan penerbit tersohor itu muncul dengan lagu tunggal baharu berjudul Senandung Melayuku.

Dato’ M. Nasir ikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia.

Melihat pada judul sedemikian, amat jelas M. Nasir masih dengan jati diri beliau sejak awal yang cenderung mencipta dan mendendangkan lagu-lagu mengenai kemanusiaan, keagamaan, kebudayaan bangsa dan perjuangan hidup.

Melodi Senandung Melayuku ialah ciptaan M. Nasir sendiri bersama-sama komposer dari Amerika Syarikat, Brad Parker. “Tanah ini Kampung Kencana” merupakan kata-kata pujangga yang menjadi sebahagian daripada lirik lagu ini yang ditulis oleh Keon.

Parker juga seorang penerbit album yang banyak berjasa kepada industri muzik di negaranya. Banyak lagu ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Amerika Syarikat seperti Cher, Richard Page dan Kieran Goss. Andy Lau dari Hong Kong dan Jaya (Filipina) turut mendapat sentuhan beliau.

Begitulah M. Nasir dengan identiti beliau meskipun dinyatakan sebenarnya lagu ini telah berusia 24 tahun. Senandung Melayuku telah dicipta dan dirakamkan pada tahun 1998, yang merupakan antara empat buah lagu dalam sebuah projek album antarabangsa kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd., dengan bekas syarikat rakaman antarabangsa, BMG Publishing.

Akibat kekangan dasar tertentu pada ketika itu, Senandung Melayuku dan sebuah lagi lagu, I Have a Name gagal dilancarkan sehingga hilang tanpa haluan. Walau bagaimanapun, jelas Keon, empat buah lagu berjaya juga dirakamkan kemudian pada tahun 1988, termasuk Senandung Melayuku.

Mungkin ada dalam kalangan peminat yang kurang berpuas hati kerana lagu tunggal terbaharu M. Nasir ini lagu lama. Namun begitu, hal ini tidak aneh kerana beberapa orang penyanyi sebelum ini pernah muncul dengan lagu lama, sama ada sendiri atau penyanyi lain sebagai lagu tunggal terbaharu mereka.

Sebagai contoh, Man Bai muncul kembali dengan lagu popularnya, Kau Ilhamku; kumpulan Raihan merakamkan semula Sesungguhnya bersama-sama Alif Satar; Bagio Damasutra dengan Umpama Mimpi dalam Mimpi; dan kumpulan Gerhana Ska Cinta pula menerusi Ya Habibi Ali Baba.

Hal yang demikian tiada salahnya dan bukan tanda ketandusan ilham. Persoalan jati diri bangsa dan kemantapan beragama tidak akan berhenti disentuh dalam karya seni, termasuk lagu.

Secara kebetulan dan oleh sebab M. Nasir sudah lama tidak muncul dengan album atau lagu tunggal baharu, ujar Keon, Luncai Emas mengambil keputusan untuk meluncurkan Senandung Melayuku di YouTube Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Saya sebenarnya terkejut apabila diminta menulis lirik untuk Senandung Melayuku. Saya tidak menyangka M. Nasir meminta saya menulis lirik untuk lagu nyanyian beliau sendiri,” ujar Keon yang merupakan penulis lirik yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air.

Menurut Keon, Senandung Melayuku memang untuk dendangan M. Nasir, dan pastilah beliau meletakkan harapan serta jangkaan tinggi kepadanya agar menghasilkan lirik terbaik. Tambah Keon, beliau bersyukur M. Nasir terus menerima, dan merakamkan suaranya.

Sepanjang bersama-sama dan membantu kerjaya muzik M. Nasir, jelas Keon, beliau tidak pernah meminta atau bertanya untuk menulis lirik lagu yang seniman besar itu nyanyikan. “Sebagai pencipta melodi, M. Nasir ada pilihan dalam menentukan penulis lirik yang sesuai untuk lagu-lagu nyanyiannya,” jelas Keon.

Banyak lirik karya Keon yang terkenal seperti Relaku Pujuk oleh kumpulan Spider, Kejoraku Bersatu dendangan kumpulan Search, Joget Angan Tak Sudah (Jay Jay), Tunggu Aku Datang (Hazama), Di Bayang Awan (Dato’ Awie) dan Raguku (Ella).

Jika dilihat, kebanyakan lagu nyanyian M. Nasir menggunakan lirik tulisan Allahyarham Loloq atau nama sebenarnya, Rosli Khamis selepas era S. Amin Shahab. Tegas Keon, memang tidak dapat disangkal bahawa M. Nasir serasi bersama-sama Allahyarham Loloq.

Pada tahun lalu, Senandung Melayuku menjadi lagu pembukaan Mathnawi, sebuah dokumentari pendidikan RTM sebanyak 13 episod terbitan Luncai Emas yang menceritakan tentang sejarah karya-karya agung lama Tanah Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, Gurindam 12, Sulalat u’s-Salatin, Bustanus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa dan Pelayaran Abdullah. Hasil tinjauan mendapati ramai yang menyukai bunyi-bunyian alat muzik dalam Senandung Melayuku kerana enak didengar, sekali gus mengakui kehebatan kolaborasi antara M. Nasir dengan Parker.

Mengenai usia lagu tersebut, Team Luncai Emas berpendapat, Senandung Melayuku jarang-jarang didengari serta tidak diketahui para peminat seni suara. Justeru, sebuah video lirik rasmi untuk lagu tunggal ini telah pun sedia dimuat naik ke laman YouTube Luncai Emas untuk tontonan semua.

Senandung Melayuku juga boleh didengari di semua pelantar digital seperti Spotify, Deezer dan JOOX. Sejak mula dimuat naik di YouTube pada 24 Januari 2022 yang lalu, Senandung Melayuku mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peminat.

Luncai Emas berharap kemunculan Senandung Melayuku dapat mengubat rindu semua peminat M. Nasir dan masyarakat di luar sana yang sentiasa menyokong kerjaya beliau dan semestinya telah lama menanti karya terbaharunya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.