Oleh Syaza Wardina
22 Februari 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

AYER KEROH – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini menerima tiga anugerah berprestij dalam majlis Anugerah Buku Negara 2022. Majlis yang berlangsung di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, merupakan pengiktirafan daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara; Majlis Profesor Negara; dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menerima anugerah Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan dalam majlis Anugerah Buku Negara 2022.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dinobatkan sebagai Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan. Penganugerahan tersebut mengambil kira usaha dan komitmen beliau dalam memperbanyak penerbitan buku dalam pelbagai bidang di samping menggalakkan inisiatif penulisan dan kesusasteraan di negara ini. Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata, “DBP sebagai institusi yang diberikan amanah sebagai badan pembudaya ilmu dalam bahasa Melayu akan terus bergerak dan memperkasakan penerbitannya. Seiring dengan perubahan teknologi, DBP memperluas wahana penerbitan secara digital dan yang terbaharu, membangunkan pelantar digital, JendelaDBP. Usaha pendigitalan ini diharap akan terus memandaikan anak bangsa melalui bahasa Melayu.”

Tambah beliau, “Bahasa Melayu telah menjadi wahana pengikat perpaduan yang ampuh, mewujudkan rasa kasih sayang dan muhibah dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring dengan teras kebersamaan dalam Keluarga Malaysia.”

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, turut dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan dalam majlis Anugerah Buku Negara 2022.

Dalam majlis yang sama juga, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, turut dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penggerak Penerbitan Buku Negara dan Kemasyarakatan. Sebagai pengemudi jabatan terpenting di DBP, Tuan Haji Razali Che Mat yang merupakan anak jati Melaka menanam visi dan misi untuk terus merancakkan penerbitan buku sama ada secara bercetak atau digital bagi memastikan DBP sebagai gedung ilmu akan terus berperanan penting untuk membina bangsa Malaysia yang berilmu tinggi.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi dinobatkan sebagai Penulis Contoh Mewarisi Peradaban Melayu Islam.

Yang turut menerima anugerah pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi. Beliau dinobatkan sebagai Penulis Contoh Mewarisi Peradaban Melayu Islam. Mengulas mengenai penganugerahan ini, Dr. Abang Patdeli berkata, “Penganugerahan ini diberikan kepada pegawai tinggi DBP dalam bidang persuratan khususnya dalam penerbitan buku. Perkara ini merupakan nilai tambah yang perlu ada pada pegawai tinggi DBP supaya menjadi suri teladan untuk terus melibatkan diri dalam pelbagai bidang di luar tugas rasmi masing-masing.”

Majlis yang dianjurkan oleh Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), turut mengiktiraf 27 orang penerima yang lain menerusi empat kategori anugerah, iaitu Anugerah Penulisan Buku Biografi dan Autobiografi; Penulisan Buku Sejarah, Sosiobudaya dan Warisan; Penulisan Buku Contoh Negara; dan Tokoh Penggerak Penerbitan Buku.

Majlis tersebut menjadi lebih bermakna apabila Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menjadi penerima utama Anugerah Buku Negara dalam Kategori Tokoh Kepimpinan Penerbitan Buku Negara. Beliau menerima Gubahan Tanjak sebagai persembahan utama, trofi dan sijil.

Anugerah Buku Negara mula dianjurkan pada tahun 2010 dan buat julung-julung kalinya, Melaka menjadi negeri pertama yang memberikan anugerah bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan penulis dari Melaka dan penulis luar yang menulis tentang Melaka. Menurut Ahli Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Lembaga Bahasa Melayu Melaka, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, “Tiga anugerah yang diberikan kepada DBP adalah berdasarkan kepimpinan yang baik yang ditonjolkan oleh ketiga-tiga orang penerima anugerah. Mereka memahami fokus kerja masing-masing dan mudah berunding dengan pelbagai pihak. Oleh itu, ketiga-tiga pemimpin tinggi DBP tersebut sememangnya layak menerima anugerah dalam majlis hari ini.”

Bertindak sebagai antara tulang belakang yang menjayakan majlis ini, YBhg. Tan Sri Abdul Latiff turut berkata, “Diharapkan negeri lain dapat mencontohi usaha yang dilakukan oleh negeri Melaka pada hari ini melalui perundingan bersama-sama Yayasan Buku Negara serta perancangan secara teratur sehingga membolehkan buku kita diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Apa-apa yang penting, penganugerahan ini diharap dapat menyuntik semangat dalam kalangan penulis baharu dan seterusnya membolehkan buku yang dihasilkan menjadi rujukan buat para pembaca.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.