Oleh Syaza Wardina
22 Februari 2022, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Buku Negara, Majlis Profesor Negara serta Lembaga Bahasa Melayu Melaka telah menganjurkan Bicara Intelek Seni: Warisan Peradaban Melayu Teras Jati Diri Keluarga Malaysia, bertempat di Panggung Seri, Kompleks JKKN Melaka, petang tadi. Program ini juga disiarkan secara dalam talian melalui laman sosial DBP dan Facebook JKKN Melaka FanPage.

Program ini menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ahli Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Lembaga Bahasa Melayu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar; Pengerusi Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato’ Goh Hin San; dan Pengarah JKKN Melaka, Puan Ezlina Alias yang bertindak sebagai moderator.

Program Bicara Intelek Seni ini membincangkan citra kedamaian dan keharmonian Malaysia yang diterjemahkan dalam pelbagai variasi sebagai simbol apresiasi kepada masyarakat. Naratif asas perbincangan tersebut adalah berkisar tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan setelah 50 tahun DKK dilaksanakan, dasar ini digantikan pula dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 26 Oktober 2021 yang lalu. Berdasarkan ucapan pelancaran beliau, dasar baharu ini merupakan sebuah dokumen yang holistik, yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia,  YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Berbicara mengenai peranan budaya ilmu atau budaya nilai tinggi dalam DAKEN yang dikatakan dapat membentuk teras jati diri, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyatakan bahawa dalam hal ini, masyarakat tidak dapat lari daripada sorotan sejarah. Menurut beliau, sejak zaman Dinasti Tang pada abad ketujuh lagi dan ketika era Srivijaya di alam Melayu, telah wujud jalinan persefahaman antara bangsa Melayu dengan China dan kemuncaknya adalah pada abad ke-12.

Itulah asas yang penting baik di China mahupun di Malaysia, dan asas itu yang menjadi titik persefahaman kita. Hal ini terbukti pada hari kemerdekaan yang memperlihatkan keikhlasan budi baik orang Melayu menerima rakan-rakan dari tanah besar China dan India sebagai satu warganegara. Dalam hal ini, terdapat empat perkara yang dijadikan sebagai asas, iaitu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan; kedudukan raja-raja Melayu; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; kedudukan orang Melayu sebagai bumiputera; dan hak-hak sah kaum lain.

“Pada hakikatnya, kadang-kadang kita terlupa tentang perkara kelima yang disebutkan ini, iaitu kaum lain juga mempunyai hak yang sah di negara ini. Inilah ilmu yang perlu disemaikan dalam kalangan masyarakat kita. Hayati makna budaya ilmu dan asas kebudayaan dalam membangunkan Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

Menurut YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang lagi, pantun merupakan satu daripada wadah untuk memupuk keharmonian masyarakat. Mengulas mengenai perkara ini, beliau berkata, “Berkaitan dengan peranan pantun dalam memupuk persefahaman dan perpaduan, seorang profesor senior di China membuktikan bahawa pantun Melayu persis lagu rakyat di Selatan China dan hal ini turut disokong oleh anak muridnya.” Oleh itu, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang menyarankan:

Banyakkan persefahaman, mencari persamaan, dan kurangkan perbezaan. Inilah formula utama yang perlu kita pegang dan hayati bersama-sama.

Menerusi Bicara Intelek Seni itu, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff menyatakan bahawa DAKEN dirangka berdasarkan sejarah, perlembagaan dan kerajaan yang memerintah dan perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat melalui sistem pendidikan, pemerintahan, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan bahasa dan komunikasi yang baik.

Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar.

Menurut beliau, “Sebagai Keluarga Malaysia, kita meraikan kebebasan berbudaya dan beragama. Perkara yang paling utama ialah nilai hormat-menghormati. Inilah kekuatan kita. Kita martabatkan pantun, busana, warisan serta peradaban yang kita ada. Antara inisiatif yang boleh dilakukan untuk merealisasikan hal ini adalah dengan menerapkannya dalam kehidupan terutamanya menerusi sistem pendidikan negara.”

Perjuangan saya adalah dengan terus berjuang melalui Biro Sosiobudaya DMDI dan juga menerusi tugas saya sebagai pensyarah peradaban Melayu. Berjuang dan terus berjuang, semua pihak perlu bersama-sama mengadakan program yang sistematik secara berterusan, menghidupkan kembali ‘Kampung Buku’ yang pernah dicetuskan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam suatu ketika dahulu, serta menjalankan kegiatan bagi memartabatkan warisan yang mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat yang berbilang bangsa.

YBhg. Dato’ Hin San tampil segak dengan menggayakan busana tradisional Melayu dalam program Bicara Intelek Seni: Warisan Peradaban Melayu Teras Jati Diri Keluarga Malaysia.

Mengulas mengenai penggarapan keharmonian dalam sistem integrasi budaya pula, YBhg. Dato’ Goh Hin San berkata, “Pusat Kebudayaan Han Malaysia pernah menganjurkan kem bahasa dan budaya kepada orang Cina di seluruh negara berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu, contohnya dari sudut adat merisik dan meminang, pembinaan pelamin, persembahan kompang dan acara balas pantun dalam perkahwinan. Yang menariknya dalam soal ini, anak-anak saya sendiri yang mengajarkannya kepada masyarakat Cina yang lain.”

Beliau berkata, “Biarpun berbeza agama namun hal ini jelas menunjukkan bahawa di Malaysia, budaya mengatasi segala perbatasan. Setelah dikaji dan diteliti, pada hakikatnya peradaban Melayu hampir 70 peratus persamaannya dengan peradaban Cina. Itulah yang mengikat pertalian muhibah dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.”

Program ini turut menyediakan acara pameran lukisan negeri Melaka oleh pelukis negara, Ismail Embong, dan rakan-rakan di lobi Panggung Seri, JKKN Melaka. Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkesempatan meluangkan masa bertemu dengan para pelukis sebelum acara bermula.

Antara lukisan karya Ismail Embong yang dipamerkan melalui program ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.