28 Februari 2022, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Tebingan Kuching bergema dengan alunan petikan sape yang dipersembahkan oleh gabungan seramai 257 orang pemuzik sape. Ternyata persembahan alat muzik tradisional Sarawak itu memukau khalayak yang hadir menyaksikan konsert sape yang berlangsung pada Ahad malam, 27 Februari 2022. Konsert sape yang bertajuk “Rentak Kamek Urang” itu merupakan salah satu pengisian program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bertemakan “Temasya Kepelbagaian Budaya”.

Acara penuh bersejarah yang berlangsung dalam suasana meriah ini sekali gus dicatatkan dalam Malaysia Book of Records. Kejayaannya tersenarai dalam Malaysia Book of Records kerana mencatat rekod pemuzik sape teramai dalam satu acara. Penyerahan sijil Malaysia Book of Records disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Malaysia, Christopher Wong kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi.

Konsert Sape “Rentak Kamek Urang” turut menampilkan kelainan tersendiri apabila persembahannya diadakan di Jambatan Darul Hana yang menjadi ikonik Bandar Raya Kuching, selain di pentas utama yang terapung di Sungai Sarawak. Seramai 100 pemain berada di pentas terapung, manakala selebihnya berada di Jambatan Darul Hana dan sekitar Tebingan Kuching.

Sebelum ini, persembahan muzik sape telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records bagi persembahan oleh seramai 207 pemain sape sempena sambutan Ulang Tahun Kesembilan Hari Bandar Raya Miri pada tahun 2015. Kemudian, sekali lagi persembahan sape terakam dalam Malaysia Book of Records bagi persembahan sape terpanjang (50 jam) tanpa henti yang juga berlangsung di Miri pada tahun 2019.

Konsert sape “Rentak Kamek Urang” dimulakan dengan persembahan secara medley yang memainkan lagu sape tradisional seperti “Put Burui”, “Sai Ulai” dan “Leleng”. Beberapa pemain sape terkenal seperti Jerry Kamit, Mathew Ngau Jau dan Aaron Alan Robert turut serta dalam persembahan sape yang terakam dalam Malaysia Book of Records. Selain pemain sape, konsert sape turut menampilkan persembahan oleh artis tanah air Bob Yusof, Dewi Liana Sariestha, Jimmy Palikat, Ricky Andrewson Ngalai, Melissa Francis, dan Roslan Madun, termasuk kumpulan At Adau dan Meruked.

Persembahan sape yang juga tersenarai dalam agenda pelancongan negeri Sarawak khususnya dan Malaysia amnya turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Saraya Arbi dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Konsert yang diadakan secara bersemuka dan disiarkan secara langsung melalui media sosial itu bermatlamat untuk memupuk nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya pelbagai kaum di Sarawak. Persembahan sape yang merupakan alat muzik suku kaum Orang Ulu, iaitu Kenyah dan Kayan menjadi acara penutup program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Februari 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.