7 Mac 2022, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Sempena sambutan Hari Malaysia pada bulan September kelak, Kelab Permotoran DZ Bikers bercadang untuk menganjurkan program “Wingers International Gathering (WIG) @ Perlis 2022” di negeri ini pada 16 hingga 18 September 2022 dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang berminat dalam permotoran berkuasa tinggi.

Demikian dipersembah maklumkan kepada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis oleh Pengerusi Eksekutif DZ Bikers, Dato’ Haji Zailan Hj Mohamed dan Presidennya, Dato’ Haji Abdul Manan Moin ketika sembah mengadap taklimat ke atas baginda di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dr. Faizal Kamarudin dan Penolong Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Mohd Rusfaizal Mohd Radzi.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mendengar taklimat oleh pihak DZ Bikers di Galeri Diraja Arau, Perlis.

Objektif utama penganjuran program tersebut adalah sebagai platform penyatupaduan masyarakat, terutamanya peminat sukan permotoran, untuk lebih menghayati aspek keselamatan dan tanggungjawab mereka ketika menunggang motosikal. Dengan berlangsungnya program ini, diharapkan agar dapat memupuk kesedaran sosial yang tinggi dalam kalangan orang ramai serta para penunggang motosikal.

Penganjuran program ini juga merupakan satu daripada usaha untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian serta keindahan Perlis yang sungguh permai pada peringkat domestik dan antarabangsa. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong ke Perlis, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri.

Pihak DZ Bikers turut menyembah maklum hala tuju dan matlamat kelab permotoran itu yang merupakan sebuah kelab motosikal yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan jenama motosikal bertujuan untuk mengambil bahagian dalam program sosial dan riadah yang berfaedah kepada masyarakat.

Pihak penganjur menjangkakan sebanyak 300 pemilik dan pembonceng pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara akan mengambil bahagian jika diberikan kelulusan oleh pihak berkuasa, selain keadaan penularan COVID-19 lebih terkawal dan juga pintu sempadan negara dibuka kembali kelak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!