8 Mac 2022, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kain songket, lambang kehalusan seni kemahiran tangan warisan yang menjadi kemegahan bangsa telah lama bertapak dalam budaya tradisi kita. Namanya berasal daripada perkataan “sungkit”, iaitu teknik menyungkit benang loseng dengan benang pakan yang terdiri daripada benang emas, perak atau benang warna mengikut corak yang diperlukan.

Menariknya, kain songket telah diiktiraf dan disenaraikan di bawah Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Disember 2021 yang lalu.

1. Ahli Majlis Kraf Dunia, Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda.

Walau bagaimanapun, pengiktirafan tersebut tiada ertinya jika kain songket tidak dipedulikan di negara sendiri dan pudar, kemudian hilang ditelan zaman. Justeru, semua pihak perlu bertanggungjawab dan berperanan mengangkat songket Malaysia ke tempat yang sewajarnya. Sebagai satu usaha ke arah pemartabatan songket, Ahli Majlis Kraf Dunia, Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda, berharap cadangannya dapat dijadikan kenyataan pada sepanjang tahun 2022 hingga 2024.

“Sebagai pihak yang paling relevan, Kraftangan Malaysia boleh bekerjasama bersama-sama muzium negeri dengan mengundang usahawan dan pendidik untuk membincangkan mengenai songket dari semua aspek,” ujar beliau.

Raja Datin Paduka Fuziah menyatakan sedemikian semasa menjadi seorang daripada ahli panel Wacana Kraf 2022 bertemakan “Apresiasi Kraf”, berjudul “Keaslian dan Kelestarian Songket Malaysia” pada 3 Mac 2022 yang lalu di Dewan Seri Utama 1, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Selaras dengan perkembangan teknologi, kaedah dalam talian boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana menjimatkan masa dan tidak perlu kos sewa ruang acara. Sehubungan dengan itu, tambah Raja Fuziah, Muzium Tekstil Negara (MTN) juga boleh menganjurkan wacana, forum atau sebarang perbincangan mengenai songket secara dalam talian.

Raja Fuziah mengharapkan sedemikian kerana menganggap pengiktirafan UNESCO terhadap kain songket merupakan satu penghormatan besar. Ertinya, tambah beliau, songket mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Namun begitu, apakah yang perlu dibuat selepas mencapai kejayaan tersebut? Kita semua perlu memikirkan bagaimana prestij songket sehingga diangkat oleh UNESCO sebagai warisan kebangsaan. Kebolehan untuk menenun songket ialah anugerah Allah SWT yang tidak wajar disia-siakan,” tegas Raja Fuziah.

Rosidah Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan songket secara tradisional, iatu bungkusan/balutan.

Wacana Kraf 2022 itu diadakan bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan 2022, anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, serta Kraftangan Malaysia, dengan kerjasama Institut Kraf Negara, dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), disokong oleh MyCraft Shoppe, Bazar E-Kraf, Craft Onthego, Google Arts and Culture, dan Karyaneka.

Selain Raja Fuziah, yang turut menjadi ahli panel ialah pengkaji seni kraf tekstil, Profesor Madya Dr. Norwawi Md Nawawi; Adiguru Kraf Songket 2019 dan Pengarah Urusan Manang Songket, Wan Manang Wan Awang; dan Pengarah MTN, JMM, Rosidah Abdullah; sementara Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip bertindak sebagai pemudah cara.

Wacana tersebut dibahagikan kepada dua sesi, iaitu “Sesi 1: Keanggunan Ekspresi Kesenian Songket Malaysia” yang menampilkan Profesor Madya Dr. Norwawi, Wan Manang, Raja Fuziah, dan Azran.

Sementara “Sesi 2: Pemeliharaan dan Pemuliharaan Songket Malaysia (Bengkel Konservasi)” dikendalikan oleh Rosidah. Selain teori yang disampaikan olehnya dalam bentuk pembentangan, Rosidah turut melakukan demonstrasi pemeliharaan dan pemuliharaan warisan kebangsaan itu untuk hadirin.

“Pemuliharaan ialah perlindungan, pemuliharaan atau pengurusan yang melibatkan alam sekitar, dan sumber asli seperti tumbuh-tunbuhan, ulat sutera dan pewarna alam sebelum terhasilnya songket,” jelas Rosidah.

Kaedah penjagaan itu, tambah beliau, merangkumi secara tradisional, terkini, dan pemuliharaan menerusi rawatan. Antara kaedah tradisional ialah perasapan, basuhan/bilasan, mengerus, bungkusan/balutan, dan alas/pelapik/penyimpanan.

“Cara terkini pula ialah sokongan (simpanan), dan sokongan (peragaan). Sokongan (peragaan) dengan cara amalan memakai sarung tangan sebelum memegang koleksi, dan alat bantuan sokongan untuk melindungi koleksi,” ujar Rosidah. Sementara itu, pemuliharaan melalui rawatan, menurut beliau, menggunakan teknik jahitan, iaitu jelujur, silang pangkah, dan tampalan.

Dalam ceramahnya, Profesor Madya Dr. Norwawi antara lain menjelaskan maksud, jenis-jenis, serta corak dan motif songket. Mengenai usaha memartabatkan songket, beliau memberikan cadangan agar galakan perlu dimulakan dari rumah, iaitu ibu dan bapa sendiri menunjukkan teladan kepada anak mereka.

“Walau bagaimanapun, saya fikir dari rumah itu sebagai pendidikan tidak formal yang kadang-kadang terabai, dan kurang berdisiplin. Saya berpendapat pendidikan di sekolah lebih perlu dan boleh berkesan kerana ada disiplin, dan tersusun,” jelas Dr. Norwawi.

Wan Manang, 68 tahun, yang juga seorang usahawan, menyentuh soal teknikal pembuatan, dan kerenah pelanggan/pembeli songket. Katanya, hal ini sukar dijangka kerana ada pelanggan yang membeli produk yang telah disisihkan oleh usahawan. “Usahawan songket harus sentiasa bersedia, dan mampu mengikut kehendak pelanggan,” ujar beliau yang mula menceburi industri tenunan songket sejak tahun 1976.

Mengenai kelestarian songket, Wan Manang mengakui persaingan tidak dapat dielakkan. Oleh hal yang demikian, katanya, kesedaran untuk berusaha meningkatkan dan menghargai karya seni tangan ini amat penting.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!