9 Mac 2022, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keputusan kerajaan memperkenalkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 mencitrakan bahawa keperluan untuk menyegarkan lagi perbahasan mengenai hakikat kebudayaan di negara ini perlu diteruskan.

DAKEN merupakan kesinambungan daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang merupakan satu usaha ke arah memupuk perpaduan memandangkan jamaknya agama, budaya dan etnik di negara ini bukanlah penghalang muktamad untuk hidup bersatu, namun hal ini menuntut usaha proaktif semua pihak.

Penulisan makalah ini adalah usaha untuk memberikan respons proaktif pada peringkat awal sebagai cadangan dalam menjayakan dasar ini dengan tumpuan kepada aspek budaya ilmu orang Melayu yang menjadi asas kebudayaan negara kita.

Penulis tertarik dengan kandungan dokumen rasmi Dasar Kebudayaan Negara 2021 yang diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Misi dasar ini jelas digubal sebagai,“… mekanisme untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang mengamalkan budaya nilai tinggi dan mengukuhkan keharmonian dalam kalangan rakyat yang meletakkan pencapaian tinggi berteraskan tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan.”

Budaya nilai tinggi yang dimaksudkan di sini sudah tentu berhubung rapat dengan perbahasan mengenai ketinggian akhlak seseorang individu. Hal ini penting kerana kemajuan sesebuah negara tidak akan bermakna jika kemajuan seseorang individu itu hanya dibataskan pada pencapaian hasil ekonomi dan tinggi daya kemahiran namun mempunyai akhlak yang rendah. Oleh itu, satu daripada usaha penting dalam menyemai amalan budaya nilai tinggi ialah kaedah pendidikan lebih-lebih lagi melalui ilmu sejarah.

Ilmu histriografi merupakan satu daripada ilmu yang berpotensi besar untuk menjayakan DAKEN 2021. Antara sifat penting ilmu ini ialah menganalisis catatan pengalaman sejarah yang benar terhadap jatuh bangun sesebuah peradaban.

Kita bertuah kerana mempunyai khazanah persuratan sejarah Melayu yang banyak lagi boleh dimanfaatkan. Profesor Dr. Tatiana Desinova dalam analisis beliau terhadap lapan buah teks sejarah Melayu termasuklah Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Pahang dan Peringatan Sejarah Negeri Johor mempunyai dapatan yang penting tentang pengalaman sejarah insan luhur bagi alam Melayu.

Makalah penting beliau yang bertajuk “Patriostime dalam Historiografi Melayu (kurun ke-13 hingga kurun ke-19)” menyatakan dalam Hikayat Raja Pasai mencatatkan bahawa antara syarat utama untuk pencalonan seseorang raja ialah mempunyai sifat keterbukaan toleransi terhadap tamadun dan bangsa lain. Syarat ini penting kerana agama Islam menganjurkan sikap meraikan kepelbagaian budaya tepat pada tempatnya lebih-lebih lagi dalam menjalinkan hubungan politik dan ekonomi yang kukuh dan dinamik.

Dalam teks sejarah Melayu yang lain turut memuatkan ketokohan pemerintah seperti Sultan Alaudin Riayat Shah sebagai seorang pemimpin yang adil termasuklah cermat dalam menjatuhkan sebarang hukuman dan teliti dalam melihat perkembangan semasa kebajikan masyarakat. Maka itu, dapatan kajian ilmu historiografi ini secara tidak langsung meluaskan lagi sudut pandang kita terhadap individu agung sejarah Melayu dan tidak hanya sempit bersandarkan kepada lima pahlawan bersaudara semata-mata.

Tambahan pula, pembacaan terhadap buku berhubung dengan falsafah kebudayaan Melayu perlu dipergiatkan. Antara buku yang penting ialah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Bunga Rampai: Bangsa, Kebangsaan dan Patriotisme, The Origin of the Malay Sha’ir dan Historical Fact and Fiction. Buku-buku ini merupakan rujukan penting dalam meletakkan batu asas yang kukuh terhadap fahaman dan pegangan individu Muslim mengenai hakikat sumbangan Islam di negara kita.

Tamsilnya, dalam “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayukarangan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas membentangkan perbahasan mengenai berlakunya zaman baharu di alam Melayu apabila berlakunya proses Islamisasi. Perubahan tersebut dapat dilihat bukan hanya semata-mata kepada pencapaian fizikal seperti masjid dan institusi pendidikan malah lebih utama daripada itu, penghasilan karya karya aras tinggi oleh para ulama Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah metafizik, tasawuf, fikah dan ketatanegaraan yang kemudiannya membentuk pandangan alam Melayu yang baru. Malah, bahasa Melayu itu berubah sebagai bahasa ilmu yang secara tidak langsung mewujudkan kesatuan perpaduan serantau seperti kesatuan Melayu, Bugis, Jawa dan Banjar.

Di samping itu, dalam mengkukuhkan lagi usaha yang dinyatakan di atas, maka kegiatan penerbitan buku ilmah berkualiti wajar terus diberikan sokongan. Penerbitan yang dimaksudkan bukan sekadar penerbitan baharu, malah usaha penerbitan semula buku langka dan berfaedah.

Usaha seperti Akademi Jawi Malaysia menerbitkan sebuah kajian baharu berjudul, “Sultan Alauddin Suleiman Shah: Payung Kesentosaan Negeri Selangor” karangan Mohd Adha Abdul Jalil ini wajar dipuji. Kajian ini penting kerana menjadi nilai tambah terhadap maklumat akan ketokohan Almarhum baginda yang juga merupakan seorang ilmuwan dan individu penting meletakkan batu asas kemajuan negeri Selangor. Buku ini bukan sahaja menghuraikan iklim budaya ilmu yang membentuk keperibadian mulia baginda malah melampirkan beberapa gambar dan dokumen langka penting kepada pembaca.

Sementara itu, mengenai penerbitan semula buku buku langka, penulis memilih untuk mengusulkan buku berjudul “A Dictionary of the Economic Products of the Malay Peninsula” karangan Henry Isaac Burkill. Buku setebal dua jilid ini merupakan kajian penting oleh Burkill mengenai nama saintifik tumbuh-tumbuhan di alam Melayu yang diterbitkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pada tahun 1935.

Penerbitan semula buku ini penting bukan sahaja sudah berstatus langka dan sukar didapati malah memastikan kandungannya terus terpelihara dan memberikan inspirasi kepada para pengkaji ilmu pertanian masa kini untuk membuat kajian lanjutan terhadap dapatan buku tersebut.

Harus diingat bahawa cendekiawan negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz turut mencadangkan buku ini untuk dibaca kerana keluasan dapatan kajian Burkill yang boleh dimanfaatkan oleh generasi masa kini.

Dalam usaha mempromosikan budaya kita di peringkat antarabangsa, penulis kurang bersetuju dengan sohor kini atau trend tidak sihat sebahagian ahli akademik negara mutakhir ini yang berlumba-lumba untuk menerbitkan hasil kajian melalui penerbit luar negara yang menelan kos yang lebih tinggi. Tambahan pula, buku yang diterbitkan di luar negara menyebabkan harga buku tersebut menjadi mahal dan menyukarkan masyarakat tempatan untuk mengakses kandungan dapatan buku tersebut.

Sedangkan berdasarkan rekod, terdapat kejayaan penerbitan tempatan yang lain pernah mendapat perhatian dan rujukan ahli sarjana antarabangsa. Misalnya, sebuah buku yang membahaskan tentang metafizik ilmuwan Melayu agung berjudul, “The Mysticism of Hamzah Fansuri” karangan Tan Sri Profesor al-Attas yang diterbitkan di Kuala Lumpur oleh Universiti Malaya. Karya ini mendapat perhatian dan rujukan ahli orientalis terkenal seperti Annemerie Schimmel sebagaimana dimuatkan dalam bukunya, “Mystical Dimension of Islam”. Pencapaian ini secara tidak langsung telah mengangkat nama kota Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang berpotensi besar menerbitkan karya karya ilmu aras tinggi sebaris dengan kota lain seperti Oxford, Cambridge, Princeton dan Leiden.

Kesimpulannya, pelancaran DAKEN 2021 ini memang sesuai pada waktunya. Dasar ini mampu dijayakan kerana menjadi penguat kepada dasar-dasar penting kerajaan lain termasuklah Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2021 − 2030 dan gagasan terbaharu, “Keluarga Malaysia”.

Dalam aspek mengangkat dan mempromosikan kebudayaan Melayu, adalah penting untuk kita manfaatkan khazanah persuratan ilmu yang begitu banyak dan tidak ternilai yang menampilkan individu agung dan berakhlak tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pencapaian keunggulan peradaban Melayu pada zaman dahulu boleh dicapai sekiranya kita meneladi akhlak baik individu yang telahpun ditonjolkan oleh mereka.

Pemilihan bahan sejarah dan cara yang betul dan ikhlas akan memastikan usaha untuk mencapai tujuan DAKEN 2021 ini berjaya khususnya dalam pembinaan budaya nilai tinggi dalam kalangan masyarakat.

Semoga hasrat baik dasar ini dapat dicapai memandangkan usaha untuk memupuk perpaduan di negara kita merupakan satu proses yang perlu sentiasa disegar dan diperkukuh.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!