10 Mac 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Setakat ini, beberapa sukan seperti sukan golf, bola sepak, dan badminton negara yang pernah diangkat menjadi filem tempatan, masing-masing menerusi Cinta 200 Ela (2002), Gila Bola (2003), Ola Bola (2016) dan Lee Chong Wei (2018).

Selepas Syahadan yang ditayangkan bermula pada 17 Februari 2022 lalu, Gila Gusti menjadi filem Melayu tempatan kedua ke pawagam pada tahun 2022 ini. Filem bercorak aksi komedi ini akan menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula pada 17 Mac 2022.

Dari kiri; Aisar Khaled, Ayez Shaukat Fonseka, Silver Chung, Nor Phoenix Diana, dan Nia Atasha semasa sidang media selepas tayangan khas Gila Gusti.

Berdasarkan judul yang disebutkan tadi, memang belum banyak filem tempatan yang mengambil sukan dan/atau tokoh sukar tanah air dijadikan bahan cerita. Justeru, penerbitan Gila Gusti ini wajar dialu-alukan kerana menampilkan penggusti Malaysia yang telah terkenal di arena antarabangsa.

Para peminat sukan gusti di negara kita pasti tidak asing lagi dengan nama Persekutuan Gusti Sedunia (WWF) dan Hiburan Gusti Sedunia (WWE), serta para penggusti terkenal seperti The Undertaker, Dwayne “The Rock” Johnson, Ric Flair, “Rowdy” Roddy Piper, “Macho Man” Randy Savage, Andre the Giant, Stone Cold Steve Austin, Triple H, Big Show, Hulk Hogan dan John Cena.

Sebenarnya, negara kita ada ahli gusti gadis genit berhijab yang memakai nama gelanggang, Nor Phoenix Diana dan Ayez Shaukat Fonseka yang juga dikenali sebagai Undertaker Malaysia.

Penerbitan Gila Gusti bertujuan untuk membawa penggusti Malaysia yang telah mencipta nama di luar negara untuk diperkenalkan di Malaysia pula kerana ramai yang belum tahu negara kita memiliki ahli gusti setanding dengan ahli gusti luar negara.

Diklasifikasikan di bawah kategori P13, Gila Gusti merupakan produksi APAC Wrestling yang diasaskan oleh Ayez Shaukat dan Lomo Pictures Sdn. Bhd. bersama-sama Quin Media dan Quick Sent.

Selain Ayez Shaukat sendiri yang memegang watak (utama) Naga, beberapa pelakon terkenal yang turut membintangi filem ini ialah Syafie Naswip sebagai Mamat, Pekin Ibrahim (Jiggy), Dato’ Jalaluddin Hassan (Tiger Rajah) dan Elizabeth Tan (Julia, pengacara perlawanan gusti).

Selebriti media sosial terkenal (influencer), Aisar Khaled juga muncul dalam filem ini dengan memegang watak Zul bersama-sama Syafie. Nia Atasha pula sebagai Soloz (pelayan kedai makan).

Antara ahli gusti profesional yang turut beraksi dalam Gila Gusti termasuklah Serigala, J.Y.E., Poppy, Double K, Orion Black, Daryl Wong, Luna dan Referee Zan.

Menjelang tayangan umumnya nanti, sebuah majlis tayangan khas dan sidang media Gila Gusti telah diadakan pada 8 Mac 2022 yang lalu di sebuah pawagam terkemuka di Bandar Utama dekat sini. Turut hadir ialah pengarahnya, Silver Chung bersama-sama Ayez, Syafie, Aisar, Nor Phoenix dan Ayez sendiri.

Sebahagian daripada pendokong Gila Gusti bersama-sama pengarah Silver Chung (tiga dari kanan) selepas tayangan khas, dan sidang media filem tersebut.

Menurut Ayez, pihaknya amat terharu apabila ada pihak yang sudi membawa sukan gusti ke layar perak dan menjadikan ahli gusti sebenar sebagai watak utama. Beliau sangat berterima kasih kepada Lomo Pictures, Quin Media dan Quick Sent yang sudi bekerjasama membawa gusti untuk difilemkan.

“Biasanya masyarakat menganggap gusti sesuatu yang ganas, tetapi Gila Gusti ini membuktikan tanggapan itu salah. Gila Gusti merupakan filem mengenai semangat, persahabatan dan perjuangan,” jelas Ayez.

Sementara itu, Syafie memberitahu walaupun belum pernah membintangi filem aksi komedi, tetapi beliau gembira kerana berjaya melaksanakannya, dan memperoleh pengalaman baharu.

Mengenai pemilihan Aisar memegang watak utama, Ayez menjelaskan pemilihan tersebut tidak bertujuan “mengatasi” populariti dan perawakan Syafie. Aisar ditawarkan berlakon kerana populariti dan ketinggian fizikalnya yang boleh menjanjikan sesuatu.

Menurut Nor Phoenix, Gila Gusti merupakan kemunculan pertamanya dalam filem, dan berharap masyarakat dapat menerima lakonannya sekali gus filem ini nanti. Walaupun pada awalnya agak kekok apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, ujar Nor Phoenix yang pernah tersenarai dalam Forbes Magazine 30, tetapi dengan tunjuk ajar dan sokongan, beliau dapat melakukan yang terbaik.

Dengan membawa unsur persahabatan dan bukan aksi yang berat, Gila Gusti sesuai ditonton oleh pelbagai peringkat umur. Tumpuan pembikinnya adalah untuk menonjolkan kebaikan kepada masyarakat.

Gila Gusti mengisahkan dua sahabat, iaitu Mamat dan Zul yang taksub dengan gusti profesional, serta menjadi pengikut fanatik penggusti profesional terkenal ketika itu, Naga. Pada suatu hari, semasa menonton Naga dalam perlawanan gusti secara langsung, ahli gusti pujaan mereka itu ditewaskan oleh Big Bear (Gotham). Akibatnya, pihak pengurusan yang diketuai Jiggy menganggap Naga tidak berguna lagi pada masa hadapan. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk melepaskan Naga.

Pertarungan sengit antara Naga (dua dari kiri) dengan Big Bear (dua dari kanan).

Naga hilang semangat, lantas membuat keputusan berhenti menyertai mana-mana acara gusti lagi. Tidak berpuas hati dengan keputusan Naga untuk bersara itu, Mamat dan Zul yang turut kecewa, nekad mahu membantu penggusti tersebut kembali bersemangat, dan memenangi kejuaraan Asia Pasifik sekali lagi.

Mamat dan Zul membawa Naga bertemu dengan legenda gusti, Tiger Rajah. Walau bagaimanapun, Tiger Rajah ditimpa kemalangan – dilanggar oleh kereta semasa berjoging. Dengan semangat dan kesungguhan, Naga berjaya meneruskan latihan, dan menewaskan Big Bear dalam perlawanan ulangan untuk kembali memperoleh kejuaraan.

Sepatutnya Gila Gusti telah ditayangkan pada awal tahun 2021. Walau bagaimanapun, tayangan filem ini terpaksa ditunda kerana perintah kawalan pergerakan ekoran COVID-19 yang masih melanda negara. Kemudian, tarikh baharu diperoleh, iaitu 20 Januari 2022. Namun demikian, akibat bencana banjir yang berlaku pada pertengahan Disember 2021, menerusi perkongsian di Twitter APAC Wrestling, Gila Gusti ditunda sekali lagi kepada 17 Mac 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.