Oleh Lutfi Zahid
10 Mac 2022, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha meraikan kegiatan seni budaya, bahasa, sastera dan persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara rasminya membuka Ujana Seni DBP sebagai laman “permainan” anak-anak seni di seluruh negara.

Ruang terbuka yang bertempat di aras enam, Wisma DBP itu merupakan cetusan ilham Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, sebagai usaha merapatkan hubungan DBP dengan persatuan seni, budaya, bahasa dan sastera seluruh negara.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berharap agar Ujana Seni DBP dapat dimanfaatkan oleh persatuan kesenian dan kebudayaan seluruh negara.

“Tujuan Ujana Seni DBP ini dibuka adalah sebagai ruang tambahan, selain Stor Teater DBP dan Sanggar Tun Sri Lanang, untuk kegunaan persatuan dan kelab menjalankan program secara santai di sini. Hingga kini, banyak persatuan telah bernaung di Wisma DBP dan bebas untuk menjalankan kegiatan di Ujana Seni ini,” ujar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang dalam ucapan perasmiannya.

YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan menyampaikan dua buah puisi dalam Majlis Perasmian Ujana Seni DBP.

Tambah beliau, masyarakat dapat memanfaatkan Ujana Seni DBP yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sambil menikmati pemandangan kota Kuala Lumpur dan warna-warni lampu pada waktu malam di sekelilingnya.

Dengan penubuhan Ujana Seni DBP ini, beliau berharap agar pelbagai kegiatan kesenian akan dijalankan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk menarik minat masyarakat kembali mengikuti kegiatan kesenian dan kebudayaan seperti era dahulu.

Majlis Perasmian Ujana Seni DBP yang berlangsung pada 10 Mac 2022 di aras enam, Wisma DBP telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan. Pada majlis pelancaran tersebut, beliau berkesempatan menyampaikan dua buah puisi dengan gaya beliau yang bersahaja dan tersendiri.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran turut sama menyampaikan puisi dalam Majlis Perasmian Ujana Seni DBP.

Majlis Perasmian Ujana Seni DBP turut diserikan dengan persembahan oleh penyair dan pemuisi negara, antaranya YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Roslan Madun dan Haslinaz Hanapi; wakil Badan Budaya DBP, Rasdi Daud serta nyanyian oleh Siso Kopratasa dan Maslinah Yusof.

Persembahan puisi oleh YBhg. Dato’ Rahman Shaari.

Selain Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, hadir bersama-sama meraikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Tuan Haji Abdul Halim Harun; dan YBhg. Dato’ Goh Hin San sebagai tetamu kehormat.

Antara lain yang turut hadir ialah Persatuan Pemuisi, Persatuan Penyair, Persatuan Teater Malaysia, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara.

Persembahan nyanyian oleh Siso Kopratasa.

Pihak yang berhasrat untuk menjalankan kegiatan di Ujana Seni DBP bolehlah menghubungi Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP dan Badan Budaya DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.