11 Mac 2022, 22:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Arkib Negara Malaysia akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sempena memperingati 100 tahun kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang jatuh pada 11 Mac 2022. Sambutan memperingati 100 tahun kelahiran ini adalah sebagai satu manifestasi bagi mengenang jasa Tun Abdul Razak yang merupakan Bapa Pembangunan Negara kita.

Program ini bermula dengan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil anjuran Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari Jumaat, bersamaan 11 Mac 2022 pada pukul 12.15 tengah hari sebelum solat Jumaat. Majlis tersebut dipimpin oleh Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Al-Fadhil Dr. Khalid Isa yang turut dihadiri oleh beberapa orang tetamu kenamaan seperti Pengerusi Yayasan Tun Razak, Tun Hanif Omar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mahadi Che Ngah dan Dato’ Mohammed Nizam Tun Abdul Razak yang mewakili keluarga Allahyarham Tun Razak.

Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Encik Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman, Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil yang diadakan merupakan permulaan kepada pelbagai program dan acara sempena Sambutan 100 Tahun Tarikh Kelahiran Tun Abdul Razak yang dianjurkan oleh pihaknya. Sepanjang tahun ini, Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Yayasan Tun Razak dan beberapa rakan strategik yang lain telah merancang untuk mengadakan beberapa program bagi mengenang dan memperingati jasa dan sumbangan Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Negara agar dapat dihayati oleh seluruh masyarakat keluarga Malaysia.

Selain majlis tersebut, turut juga diadakan Pameran Maya “100 Tahun Tun Razak dalam Ingatan” yang mempamerkan koleksi gambar Allahyarham Tun Razak. Pameran yang berlangsung secara maya itu merupakan kerjasama strategik antara Arkib Negara Malaysia dengan Perpustakaan Tun Abdul Razak tersebut dan boleh dicapai melalui portal rasmi Arkib Negara Malaysia di pautan ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!