17 Mac 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Penyelidikan Sastera pada 17 Mac 2022 telah mengadakan Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu di Balai Seminar, Wisma DBP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tetamu Kehormat untuk kolokium ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan diiringi oleh Pengurusan Tertinggi DBP, iaitu Ketua Pengarah, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBhg. Tuan Haji Md Johari Hasan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBhg. Dr. Hazami bin Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBhg. Tuan Haji Razali Che Mat; dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBhg. Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Turut hadir dalam Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, YBhg. Profesor Dr. Fadli Adam; Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani, serta para sarjana dari Universiti Sultan Zainal Abidin.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyampaikan pembentangan kertas dasar dan ucapan perasmian dalam Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu.

Objektif dan matlamat Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu ini diadakan antaranya menemukan universiti/institusi/agensi dan para ilmuwan yang berkaitan dengan ketamadunan Melayu Islam dalam satu wacana ilmu; mengumpulkan data dan maklumat berkaitan ketamadunan Melayu Islam yang terdapat di Alam Melayu; serta mengadakan kerjasama pertukaran maklumat untuk melaksanakan pelbagai jenis projek berkaitan ketamadunan Melayu Islam.

Selain itu, penganjuran kolokium ini dihasratkan dapat membina dan mengeratkan kerjasama antara DBP dengan institusi lain dalam hal keilmuan, terutamanya dengan institusi yang terlibat dalam kajian tersebut termasuklah mendapatkan maklumat berkaitan dengan hal ketamadunan Melayu Islam Nusantara melalui penulisan dan kajian dalam bidang kesusasteraan dan persuratan dan seterusnya disebarkan kepada masyarakat.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dalam ucapan alu-aluan menyatakan bahawa kerjasama DBP dengan UniSZA ini merupakan satu ruang kerjasama yang baik bagi memperlihatkan kepentingan khazanah negara, iaitu manuskrip Melayu kepada bangsa dan negara. Selain kajian manuskrip Melayu, berkemungkinan ada penemuan baharu oleh pihak UniSZA berkaitan kajian tamadun Melayu Islam daripada pelbagai sumber.

Oleh itu, kerjasama ini juga bukan sekadar dalam bentuk penerbitan, transliterasi atau “membedah” ilmu dan kandungan dalam manuskrip semata-mata tetapi perkongsian pintar dalam kerja pendigitalan manuskrip Melayu wajar diberikan perhatian.

“Selain kerjasama dalam kaedah pendigitalan atau penerbitan, kerjasama ini dapat diperluaskan dalam pelbagai wahana seperti diskusi, seminar dan wacana,” ujar YBhg. Profesor Dr. Fadzli Adam dalam ucapan beliau.

Pembentangan Kertas Dasar dan Ucapan Perasmian oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP turut menyatakan kepentingan kajian tentang manuskrip Alam Melayu dalam mengangkat tamadun bangsa dan Islam sebagai asas yang penting kepada negara.

Kolokium Tamadun Islam di Alam Melayu turut menampilkan empat orang sarjana dari Universiti Sultan Zainal Abidin dengan kupasan kajian dan penemuan yang berbeza. Antaranya ialah Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani (Warisan dan Peradaban  Melayu di Dunia Arab); Profesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad (Manuskrip dan Teknologi); Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal (Penyembulan Anasir Sains dalam Pelbagai Genre Manuskrip Melayu); dan Profesor Madya Dr. Hasanulddin Mohd (Kajian Manuskrip Sastera Kitab di Universiti Sultan Zainal Abidin); manakala moderator untuk sesi pembentangan ialah Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria.

Menariknya, Profesor Madya Ts. Dr. Adel M Abdulaziz Al Geriani menjelaskan bahawa, “Selain manuskrip Melayu yang dikatakan begitu penting kepada negara dan tamadun Melayu, dan penulis juga dalam kalangan orang Melayu, ada juga beberapa naskhah tulisan oleh penulis Arab, yang secara jelas mengangkat ketamadunan bangsa Melayu. Misalnya, dalam buku Umat Melayu yang diterbitkan pada tahun 1908, karya Saleh Jawdat ada menyatakan tentang sejarah, isu ekonomi, politik dan sosial geografi Melayu. Begitu juga dengan Dr. Muhammad  Abdul Rauf dalam tulisannya Tanah Melayu:  Huraian dan Tanggapan, yang jelas memperkatakan tentang adat-adat Melayu, puisi, qasidah, pakaian dan bahasa, sejarah serta kemerdekaan. Beliau juga ada membawa contoh puisi Melayu dan sajak berlagu. Sumber dan bahan ini juga wajar dikaji dan diteliti oleh para sarjana Malaysia”.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menyampaikan cenderamata kepada Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Fadzli Adam.

Profesor Madya Dr. Baharrudin Zainal dalam pembentangannya bertajuk “Penyembulan Anasir Sains dalam Pelbagai Genre Manuskrip Melayu” menyatakan, “Masyarakat kita sering keliru dengan pengetahuan yang dibawa, terutamanya dalam memahami ilmu bersumberkan manuskrip Melayu. Contohnya, ilmu bintang dan ilmu falak dikatakan disiplin ilmu yang sama sedangkan kedua-duanya mempunyai perbezaannya. Ilmu bintang ialah ilmu penujuman atau tilik dan kandungannya ada percampuran unsur khurafat, tahyul serta animisme. Walaupun ilmu falak dikatakan salah satu cabang dalam ilmu bintang, namun ilmu falak terpisah dengan astrologi tetapi menumpu kepada aspek astrometri dan geometri”. Beliau juga memberikan persoalan kepada khalayak dengan menyatakan, “Adakah manuskrip Alam Melayu dalam bahasa Arab tergolong dalam definisi manuskrip Melayu seperti yang digariskan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia? Walaupun ia ditulis dalam bahasa Arab, ada manuskrip yang dikarang oleh ulama dan orang Melayu bagi kegunaan khalayak di Alam Melayu.”

Profesor Madya Ts. Dr. Fatma Susilawati Mohamad dalam pembentangannya sangat menitikberatkan tentang pendigitalan manuskrip Melayu. Jelas beliau, “Penulisan sesuatu manuskrip secara tidak berstruktur serta ketiadaan medium penulisan yang standard menyebabkan banyak khazanah ilmu ini hilang dan rosak ditelan zaman, dan kaedah penyimpanan manuskrip secara fizikal mengakibatkan banyak yang hilang serta rosak terutamanya manuskrip koleksi individu atau orang perseorangan. Oleh itu, adalah amat penting untuk menyimpan khazanah berharga negara ini mengikut kaedah penyimpanan paling selamat, iaitu dalam bentuk digital. Setidaknya kita punya salinan sebagai bahan bantuan (back-up) sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.”

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.