Oleh Aisyah A.
18 Mac 2022, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ‒ Forum Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dari Perspektif Sasterawan Negara telah diadakan secara langsung menerusi laman Facebook Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 17 Mac 2022 yang dibawakan oleh Pusat Pengajian Pascasiswazah ASWARA.

Moderator bagi forum tersebut ialah Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah ASWARA iaitu YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali bersama dengan ahli panel yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Dr. Tan Awang Besar; Sasterawan Negara ke-10 merangkap Pensyarah ASWARA, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; serta Sasterawan Negara ke-13 yang juga merupakan Profesor Adjung Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) serta penyair dan penyajak kelahiran negeri Kedah, YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Dari sudut sebuah negara maju, DAKEN yang dirangka berdasarkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 merupakan satu dasar yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan dasar ini terus hidup dan berkembang untuk masa akan datang.

YBrs. Dr. Tan Awang Besar mengulas berkenaan pembangunan dasar-dasar kerajaan dari tahun 1953 dan sektor kebudayaan yang terus berevolusi hingga kini di bawah slogan, “Negara Maju, Rakyat Berbudaya”. Pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut dan salah satunya adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya penyayang.

Beliau juga mengingatkan bahawa, tanggungjawab merealisasikan sesebuah dasar terletak pada bahu setiap rakyat negara ini dan kerana itulah, satu tempoh yang lama dan proses yang panjang diperlukan sebelum sesuatu dasar digubal kerana bukan sahaja mengambil kira lima perkara, iaitu: Keterangkuman, Kebersamaan, Kebanggaan, Keterbukaan dan Menyeluruh, malah melibatkan kajian, kerangka sesi libat urus bersama peserta dari setiap negeri untuk mendapatkan maklum balas berkaitan dengan dasar tersebut serta sesi bersama pakar budaya untuk mendapatkan pemahaman, supaya sesebuah dasar mendapat penerimaan rakyat.

Kesan atau penerimaan DAKEN dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini dapat dilihat melalui resolusi DAKEN pada tahun 1971, iaitu matlamat yang perlu dicapai daripada Kongres Kebudayaan 1971. Hal ini merupakan satu hasrat untuk mencapai satu definisi kebudayaan yang seragam serta berpaksi kepada tiga elemen; mempunyai peralatan dan budaya yang bersifat kolektif, sistem nilai bersifat kolektif dan sistem budaya bersifat kolektif.

Resolusi penting daripada Kongres Kebudayaan 1971 menekankan bahawa kebudayaan negara Malaysia bukan sahaja mesti berasaskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, tetapi juga menerima kebudayaan lain yang sesuai dan segala pembentukan dasar ini perlu menjadikan Islam sebagai usul penting seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu agama Islam sebagai agama persekutuan.

Menjawab soalan moderator berkenaan harapan rakyat yang berbilang kaum di negara ini terhadap Dasar Kebudayaan Negara, YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan berpendapat perkara ini boleh dilihat dalam objektif DEKAN itu sendiri. Setiap warga Malaysia perlu memahami matlamat yang ingin dicapai sejak sekian lama melalui dasar-dasar yang diperkenalkan sejak tahun 1953 yang merupakan manifestasi daripada kesungguhan dan usaha kita bersama dalam mewujudkan satu bangsa Malaysia.

Mengulas berkenaan bangsa Malaysia, beliau berkata, pada tahun 1971, telah berkumpul segala cerdik pandai dan para pemikir dalam pelbagai bidang seni seperti muzik, filem, sastera dan sebagainya di Universiti Malaya dalam mencari identiti yang boleh dipakai dan dikenali sebagai warga Malaysia. Dato’ Zurinah menegaskan bahawa negara ini telah melalui pelbagai gelombang dan badai dalam membina sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi memastikan kemakmuran dan kestabilan serta mengelakkan rusuhan kaum. Rakyat Malaysia perlu mengiktiraf diri sendiri sebagai bangsa Malaysia di samping meraikan kelainan dan keunikan setiap bangsa yang ada.

Visi penggubalan DAKEN sebagai peneraju budaya nilai tinggi dalam sebuah negara maju boleh menjadi kayu ukur dalam melihat kejayaan DAKEN mencapai hasrat negara. Untuk mencapai visi ini, kita telah melalui satu proses yang berpanjangan dengan matlamat yang sangat besar; kemakmuran bersama dan kekitaan dalam konteks Keluarga Malaysia. Hasilnya kini sudah dapat dilihat, contohnya ketika atlet-atlet negara memeragakan busana sebagai identiti negara seperti batik, cheongsam, sari dan sebagainya.

Indikator kejayaan ini juga dapat dilihat melalui tujuh dimensi;

  1. Budaya nilai tinggi iaitu amalan murni yang perlu dikekalkan dan tahap kesopanan dan kesusilaan mesti sentiasa terjaga;
  2. Keharmonian masyarakat; tatacara, peraturan dan undang-undang serta adat istiadat mestilah mengikut prosedur yang betul melalui tatasusila dan perilaku kita sebagai rakya negara ini;
  3. Tahap keintelektualan; bukan sahaja dari segi akademik, malah dalam contoh perilaku sehari-hari sejak turun temurun seperti membongkokkan badan ketika berjalan di hadapan orang yang lebih tua untuk menunjukkan rasa hormat;
  4. Pemeliharaan warisan budaya; menjaga warisan nenek moyang yang tiada galang ganti kerana ianya satu khazanah yang berharga;
  5. Pembangunan budaya; memperkenalkan budaya-budaya dari setiap suku kaum negara ini;
  6. Pemerkasaan budaya;
  7. Kecemerlangan budaya.

Bagi setiap teras ini disertai dengan 39 strategi dan 95 pelan tindakan dan dalam mencapai hasrat negara, MOTAC juga telah menghasilkan satu pelan strategik MOTAC yang menggabungkan seni dengan budaya ke arah menjadikan setiap ahli Keluarga Malaysia ahli yang berbangga dengan identiti negara. Dalam tempoh lima tahun, teras dan pelan strategik ini perlu ditambah baik supaya hasrat DAKEN yang beraspirasikan negara maju rakyat berbudaya akan tercapai.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.