22 Mac 2022, 06:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keluarga Malaysia perlu diberi kesedaran bahawa nilai kesenimanan Seniman Agung Legenda Tan Sri P. Ramlee yang sehingga kini tiada galang gantinya. Nilai tersebut bukan sahaja terletak pada karya beliau dalam industri perfileman sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat malah juga sebagai pemuisi menjadi khazanah negara yang sangat berharga dan malar segar hingga kini.

Sebagai memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air yang tiada tolok tandingnya ini, Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac. Tarikh ini dipilih bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan beliau terhadap industri kreatif negara selain mengangkat karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bukan sahaja telah berjaya melahirkan lebih banyak tokoh dan pakar industri kreatif malahan memperkenalkan Malaysia di persada dunia.

Hari Seniman Negara diadakan pada setiap 22 Mac bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Cadangan pertukaran tarikh sambutan daripada 29 Mei kepada 22 Mac setiap tahun telah diteliti selain mengambil kira pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan berkaitan. Usul tersebut kemudiannya dikemukakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri.

Selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif yang terlibat dalam bidang seni, sambutan Hari Seniman Negara saban tahun juga adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.

KKMM turut berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruh dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada Mac 2022 ini bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air khususnya dalam membangunkan negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif negara ke tahap yang lebih cemerlang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!