Oleh Izzat Isa
25 Mac 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu pualam merupakan antara bahan yang digunakan dalam penghasilan produk industri berupa hiasan rumah, cenderamata, jubin lantai, batu turap, tapak tangga, bangku, meja, batu peringatan, batu nisan dan seumpamanya. Batu pualam turut dikenali sebagai batu marmar dan marble.

Dalam bidang seni visual, batu pualam menjadi medium penghasilan arca. Arca dihasilkan dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi secara teknik mengukir atau pemodelan menggunakan material dan medium daripada kayu, plaster, seramik, besi, resin, wayar, perak, gangsa, alabaster, gading, pulpa, porselin, aluminium, keluli tahan karat, batu, batu pasir, batu sabun, batu konkrit, batu granit dan batu pualam.

Sebahagian pameran arca IMAC 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Di Malaysia, antara disiplin arca adalah sesuatu yang seakan-akan terasing dan kurang diperkatakan secara umum berbanding dengan catan dan lukisan. Hal ini barangkali disebabkan latar belakang, budaya dan sejarah masyarakat di Tanah Melayu sendiri.

Jika ditelesuri sejarah perjalanan arca moden di Malaysia oleh pengarca tempatan, maka garis masa terawal dapat dikesan telah bermula sekitar tahun 1960-an. Antara disiplin ini lewat tahun tersebut telah mengangkat nama Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, A. Latiff Mohidin, Lee Kian Seng dan Redza Piyadasa dengan penghasilan arca daripada gangsa, besi, kayu, seramik dan pada tahun 1986, Syed Ahmad Jamal telah menghasilkan arca yang diberi nama Lunar Peak menggunakan batu pualam.

Terdapat beberapa lokasi pengeluaran batu pualam secara industri di Malaysia, iaitu di Ipoh, Perak dan di Pulau Langkawi, Kedah. Di Langkawi, batu pualam boleh ditemui di Bukit Puteh dalam Mukim Kuah, Pulau Timun dan Pulau Dayang Bunting. Ekosistem yang menarik di sekitar Pulau Dayang Bunting menyebabkan pulau ini diangkat oleh Langkawi UNESCO Global Geopark sebagai Taman Georimba Marmar Dayang Bunting. Keunikan muka buminya melayakkan pulau peranginan ini dikenali sebagai Langkawi Geopark.

Pada tahun 2001, Kedah Marble Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat yang menguruskan pemborongan batu pualam di Langkawi telah menutup operasi mereka, lantas batu-batu pualam yang telah dibongkah secara perlombongan besar-besaran sebelum ini telah terbiar. Hal ini telah menarik minat dan menggerakkan usaha oleh beberapa orang artis yang berada di Langkawi untuk mengguna pakai dan mengetengahkan penggunaan batu pualam sebagai medium hasil seni. Mereka ialah Zul Idris dan Abd. Hamid Muhamad bersama-sama beberapa orang artisan lain.

Pada tahun 2006, mereka berdua dan artis dari Jerman telah menghasilkan arca sempena acara Artist Colony di Laman Padi, Langkawi. Selepas itu, dengan kerjasama 14 orang artisan lagi, mereka menghasilkan arca berjudul “Geopark Memorial” dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi. Arca tersebut telah diletakkan di tengah pusingan bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Abd. Hamid Muhamad juga pernah menghasilkan arca daripada batu pualam Langkawi dan arca tersebut telah dipamerkan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Arca “Geopark Memorial” di tengah bulatan pusingan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Apa yang istimewanya dengan batu pualam di Langkawi? Menurut penelitian pengkaji dan pengguna batu pualam tempatan, batu pualam di Langkawi mempunyai kualiti dan gred setanding dengan batu pualam di Carrara, Itali – kawasan kuari perlombongan batu pualam terkemuka di dunia. Jenis-jenis batu pualam yang dapat ditemui di Langkawi seperti antique white, white brown, white grey, grey, black, white roses, palas dan yang paling istimewa ialah jenis royal white.

Kewujudan Balai Seni Negara Langkawi (BSNL) sejak tahun 2019 telah memeriahkan suasana dan perkembangan seni visual di wilayah Utara Malaysia amnya dan Langkawi, khususnya. Pada tahun yang sama, BSNL telah menganjurkan International Marble Art Camp (IMAC 2019) di Langkawi sebagai sebahagian daripada pengisian program Route to KL Biennale 2020 dan tahun melawat Malaysia 2020. Kem ini dilangsungkan di Bengkel Fabillah Marble Craft, Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Wang Tok Rendong.

Kem yang bermula pada 30 November sehingga 13 Disember 2019 ini telah menarik minat seramai 20 orang artis dan pengarca tempatan dan luar negara, seperti dari Itali, Belgium, Perancis, Reunion Island, Indonesia, Thailand, India dan Nepal. Penganjur telah melantik pengarca batu pualam tempatan iaitu Zul Idris sebagai Pengarah Kem dan dibantu oleh Tajali Abdullah. Akhir sekali, hasil karya seni daripada kem ini telah dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, hasil kerjasama BSNL dan Malaysia Airports Holdings Berhad sebagai usaha untuk memberi kemudahan kepada orang awam dan pelancong untuk mengakses dan menikmatinya di pintu masuk negara.

IMAC menurut Muhammad Hazrin (2019) merupakan program yang menghimpunkan artis tempatan dan luar negara untuk bersama-sama berkongsi dan mempelajari teknik serta teori untuk bereksperimen dan bereksplorasi sifat material dalam mempelbagaikan bentuk karya. Hal ini selari dengan matlamat program untuk memperkenalkan pengarca tempatan dan mempromosikan keunikan batu pualam Langkawi sebagai bahan seni.

Kejayaan penganjuran kem ini telah meletakkan arca batu pualam Langkawi sebagai sesuatu yang istimewa, lantas membenarkan penganjuran IMAC secara dwitahunan. Keadaan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia walaupun memberi impak besar namun tidak menghalang penganjuran IMAC 2021. Untuk edisi kali ini, Ramlan Abdullah telah dilantik sebagai pengarah kem dan dibantu oleh pasukan urusetia, terdiri daripada Tajalli Abdullah, Abd. Hamid Muhamad, Low Chee Peng, Baharudin Arus, Muhammad Izzat Md Isa dan Rosli Zakaria.

IMAC 2021 yang berlangsung pada 26 November 2021 hingga 10 Disember 2021 telah disertai oleh artis seperti Raja Azhar Idris, Ahmad Shukri Mohamed, Umibaizurah Mahir, Chai Chang Hwang dan Tan Nan See, manakala peserta artisan pula ialah Mohd Hanafiah Kamaludin, Muhammad Aqib Jamal, Nazri Abdullah, Mohd Zahir Ismail, Muhamad Rasyid Al-Redha, Muhamad Aqil Ahmad Mahmod, Ahmad Irsyaduddin Maktar, Yusri Md Yusof dan Syahril Azwan Salleh.

Tempoh kem selama dua minggu tersebut turut disertakan pelbagai aktiviti bagi memantapkan idea dan kemahiran, satu daripadanya ialah sesi Online International Artist Talk oleh artis dari luar negara, iaitu Abu Jalal dari Singapura, Ali Umar dari Indonesia, Tamaki Takaharu dari Jepun, Mahadi dari Brunei Darussalam dan Kanta Kishore dari India. Sesi ini dikendalikan oleh YM Raja Fadzilah dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook BSNL.

Artisan sedang mengukir arca sempena acara IMAC 2021.

Harapan utama untuk program seumpama ini adalah dapat menarik minat artis dan pengarca tempatan untuk menghasilkan arca dari batu pualam Langkawi serta dapat melahirkan pelapis baru melalui latihan dan pendedahan kepada para artisan. Tidak kurang juga, sebenarnya mampu ditafsirkan sebagai manifestasi kepada perkembangan seni kotemporari dan khazanah kebudayaan Malaysia.

Langkawi bukan sahaja kaya dengan tarikan alam semula jadi dan fasiliti pelancongan semata-mata, malahan turut menyajikan satu keistimewaan yang tersendiri iaitu batu pualam berkualiti tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.