Oleh Syaza Wardina
28 Mac 2022, 21:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Kearifan tempatan ialah ilmu pengetahuan yang berkait rapat dengan kebolehan dan kemahiran seseorang melahirkan sesuatu yang mengagumkan. Ilmu kearifan tempatan merangkumi pelbagai bidang, iaitu sejarah, pendidikan, sastera, maritim, perubatan tradisional, seni, pertukangan, pembinaan, pentadbiran, sains, pertanian dan perhutanan.

Menurut Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kearifan tempatan ialah sekumpulan maklumat, petunjuk, nasihat atau serangkai ilmu untuk strategi kehidupan serta menjadi alat untuk kelangsungan dan kedinamikan sesuatu bangsa. Sumbernya berbentuk lisan yang disampaikan melalui mulut dan dipanjangkan kepada satu generasi ke generasi lain ataupun daripada sumber tulisan sama ada yang rasmi atau tidak rasmi.

Sehubungan dengan itu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu melalui Bahagian Maritim mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan: Maritim yang memfokuskan perihal maritim terutamanya berkisar tentang dunia maritim Melayu, bertempat di Dewan Batu Bersurat, Muzium Negeri Terengganu pada 28 hingga 29 Mac 2022.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tuan Haji Che Muhamad Azmi Ngah.

Berdasarkan ucapan alu-aluan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tuan Haji Che Muhamad Azmi Ngah, beliau berkata, “Seminar ini dianjurkan bertujuan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan dengan dunia maritim Melayu khasnya dan Asia Tenggara amnya. Seminar ini mengetengahkan isu dan dapatan terkini berkaitan dengan dunia maritim tempatan dan antarabangsa.”

Beliau turut berkata, Seminar Kearifan Tempatan yang dianjurkan buat kali ketiga ini semenjak kali pertama diadakan pada tahun 2017 memberikan gambaran kepada peserta untuk membuat perbandingan dan analisis mengenai kreativiti serta inovasi antara generasi terdahulu dengan generasi sekarang terutamanya dalam bidang maritim dan perkapalan, seiring dengan usaha untuk melestarikan teras utama Muzium Negeri Terengganu, iaitu memelihara dan memulihara warisan budaya.

Ketika merasmikan Seminar Kearifan Tempatan: Maritim, YBM Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, dasar hasil daripada seminar ini bakal membentuk satu paradigma baharu ke arah pengekalan dan pemuliharaan warisan yang menjadi tonggak jati diri bangsa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja menyampaikan ucapan perasmian dalam Seminar Kearifan Tempatan: Maritim pada hari ini.

Beliau secara peribadi meminati bentuk perahu yang dibina melalui pengalaman luas oleh nenek moyang suatu ketika dahulu dan mengharapkan agar para peserta menjadikan seminar ini sebagai medan ilmu yang bakal menjadi rujukan kepada masyarakat generasi kini dan akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Menerusi ucaptama seminar ini, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menyimpulkan bahawa kearifan tempatan maritim yang dibicarakan merupakan lanjutan kepada suatu wacana panjang yang sering berlegar dalam konteks budaya masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.

Menurut YBhg. Datuk Kamarul Baharin, “Diskusi dan wacana tentang perkara ini perlu dilihat dari persepktif yang dalam khususnya impak ekonomi dan budaya masyarakat itu sendiri.”

Kita juga perlu kembali menoleh ruang sejarah silam yang sedikit banyak boleh membangkitkan suatu citra kebanggaan kepada setiap pemilik kearifan tempatan khususnya di Terengganu.

“Selain itu, suatu garis dasar yang rapi perlu diutarakan demi mengekalkan kearifan tempatan maritim kepada generasi yang akan datang,” tambah beliau.

Program yang dianjurkan ini diharap dapat memberikan output yang positif kepada masyarakat akan kehebatan tinggalan warisan nenek moyang dari aspek kearifan tempatan maritim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.