4 April 2022, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sering disebutkan bahawa lagu juga ialah karya seni yang turut menyentuh pelbagai isu kehidupan manusia sebagaimana filem, drama, novel, cerpen, puisi dan sebagainya.

Dalam hal ini, Maaf, lagu tunggal terbaharu penyanyi Izmir Fareez Noorazalan juga tidak ketinggalan. Dengan irama ciptaan Akmalul Azmi dan Izmir sendiri yang menulis liriknya, Maaf menyentuh isu kekeluargaan, iaitu suami yang tidak menghargai isteri, dan akhirnya menyesal setelah si isteri meninggal dunia kerana tiada kesempatan untuk memohon maaf.

Izmir Fareez aktif menggiatkan industri muzik dan dakwah tanah air.

Pada asalnya, Maaf yang dicipta pada tahun 2020 tidak membawa kisah kekeluargaan, tetapi berkaitan dengan kematian seseorang. Begitu pun, seperti “sambil menyelam minum air”, lagu tunggal ini juga lahir sebagai usaha Izmir meneruskan langkahnya dalam industri muzik dan dakwah tanah air.

Menurut Izmir, 33 tahun, pengarah muzik dan penerbit untuk Maaf ialah Along Exists dengan bantuan Imtiaz dari kumpulan Simfoni.

“Setelah diberikan kepadanya, Along mengatakan Maaf lebih kepada lagu berkisar kekecewaan percintaan era 1990-an, dan tidak sesuai dengan lirik yang ‘berat’ seperti kematian,” kata Izmir.

Sudah menjadi lumrah, kebanyakan lagu yang bertemakan kekecewaan akibat percintaan tahun 1990-an akan dikaitkan dengan kisah percintaan – putus cinta. Justeru, Along menyarankan supaya isi lirik ditukar daripada kematian kepada percintaan.

Pada akhirnya, lirik yang membawa kisah percintaan dihasilkan oleh Izmir. Walau bagaimanapun, oleh sebab COVID-19 semakin berleluasa di Malaysia, pergerakan ke studio untuk membuat rakaman muzik dan vokal pula terbatas.

“Setelah kerajaan membenarkan pergerakan merentas daerah dan negeri, rakaman muzik dan vokal Maaf dimulakan pada tahun 2021,” jelas Izmir yang juga pendakwah bebas di televisyen dan radio tempatan.

Secara keseluruhan, Maaf membawa kisah kehidupan suami dan isteri setelah berkahwin selama tiga tahun. Selepas tempoh tersebut, hanya isteri yang menunjukkan rasa cinta dan kesetiaan kepada suami tanpa rasa jemu dan lelah.

Sebaliknya, cinta suami semakin pudar terhadap isteri. Setelah isteri meninggal dunia akibat sakit tenat, baru suami mula merasakan kehilangan, serta menyesali pelakuan dan layanan yang dia berikan.

Walau bagaimanapun, penyesalan suami sudah terlambat kerana isteri telah pergi buat selama-lamanya. Dia hanya mengharapkan isteri mengampunkan dosanya di akhirat kelak.

Untuk lebih memantapkan kemunculan dan penyampaian pesanannya, video muzik Maaf turut dihasilkan di bawah arahan Ahmad Nasuha daripada NSPixtures dengan penggambaran selama dua hari di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah.

“Setiap urusan penggambaran diuruskan oleh Imtiaz sebagai Pengurus Projek Maaf. Pelakon utama dalam video muzik ini ialah Arie Laso dan Aleya Trisya, model pakaian lelaki dan wanita,” jelas Izmir yang pernah membintangi drama Ada Apa dengan Saka (TV9) dan Ajari Playboy itu (TV3).

Izmir Fareez pernah mengacarakan Tazking (Tazkirah Busking) dan Assalam Sahur terbitan Al Hijrah.

Pada asalnya, tambah Izmir yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tahun 2019 dalam pengajian Ijazah Aarjana al-Quran dan Sunah, penggambaran muzik video dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

Namun demikian, oleh sebab pengarah, juruteknik dan para pelakon menetap di utara, keputusan diambil untuk membuat penggambaran di sekitar Kedah.

Izmir, anak kedua daripada tiga beradik, berharap Maaf dapat diterima oleh seluruh lapisan masyarakat kerana berunsurkan kekeluargaan yang dihadapi oleh semua orang dan tempuhi dalam kehidupan.

Video muzik Maaf boleh ditonton di laman YouTube rasmi Inteam Digital, dan didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, iTunes, Deezer, Kkbox, atau menerusi permintaan lagu di stesen-stesen radio seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.