7 April 2022, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelbagai cara dan amalan dilakukan oleh umat Islam untuk menyambut dan mengisi Ramadan pada setiap tahun. Kesemuanya boleh dan baik selagi mengikut lunas syarak serta patuh syariah.

Golongan seni turut meraikan serta memenuhi Ramadan mengikut kebolehan dan bakat masing-masing yang juga kurniaan Allah SWT. Antara mereka ialah penyanyi terkenal tanah air, Sufian Suhaimi yang menerima tawaran bekerjasama dengan kumpulan Inteam dalam lagu tunggal terbaharu mereka yang berjudul Damba Kasih 2022.

Tidak dapat disangkal bahawa lagu juga antara medium berkesan dalam menyampaikan sesuatu pesanan, sama ada baik atau buruk. Apabila menyebut Inteam, kumpulan nasyid terkemuka tanah air, pesanan yang disampaikan menerusi lagunya amat baik dan murni.

Sebenarnya, Damba Kasih 2022 ialah lagu tunggal yang merupakan rakaman semula daripada lagu asal Inteam yang pernah diterbitkan pada tahun 2003.

Namun demikian, Sufian dan Inteam mahu mengajak peminat bermunajat, serta bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah, bersempena dengan kedatangan Ramadan tahun 1443 Hijrah ini.

Sufian Suhaimi (tiga dari kiri) bersama-sama Mohd. Syahril Abdul Khalid (paling kanan) dan ahli kumpulan Inteam yang lain.

“Walaupun Damba Kasih 2022 merupakan lagu lama yang diberikan nafas baharu, tetapi pendekatan dari segi susunan muzik, dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal,” jelas Sufian, yang terkenal dengan lagu Terakhir, Di Matamu dan Mencuba.

Begitu pun, tambah Sufian, 29, liriknya yang menyentuh soal ketaubatan dan ketuhanan tetap dikekalkan.

Tambah Sufian, beliau memang menggemari lagu-lagu nasyid dan pernah menyanyikannya, termasuk lagu-lagu Inteam sendiri.

‘Jadi, saya tidak berfikir panjang apabila ditawarkan berkolaborasi dengan Inteam. Saya terus menerimanya,’ jelas Sufian.

Menurut ketua kumpulan Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid, meskipun COVID-19 masih mengancam dan agak membataskan pergerakan, tetapi mereka bersyukur serta berterima kasih kepada Sufian, dan syarikat rakaman beliau yang bersetuju bekerjasama.

“Kami pernah merakamkan lagu tunggal kolaborasi dengan Khai Bahar, Sam Bunkface dan Alif Satar. Kerjasama pihak Sufian semasa sesi rakaman audio dan video muzik pun sangat baik, dan nyanyiannya memberikan nafas baharu dengan penghayatan terbaik,” tambah Syahril, 42 tahun, yang juga penyanyi utama Inteam.

Melodi Damba Kasih dicipta oleh Isman Hijjaz yang menggunakan nama pena Manis Helma dan Ito Lara. Liriknya karya Manis sendiri.

Tambah Syahril, Damba Kasih merupakan lagu berbentuk luahan penyesalan dan taubat seorang hamba. Lagu ini pernah menjadi judul album, dan lagu yang dimuatkan dalam album ketiga Inteam yang terjual melebihi 30 ribu unit ketika itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.