11 April 2022, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kraftangan Malaysia dan Malaysia Airlines Berhad telah memeterai sebuah memorandum persefahaman (MOU) pada awal April 2022 lalu untuk mempromosikan dan memasarkan produk kraf tempatan melalui beberapa inisiatif yang memanfaatkan usahawan kraf dan juga pelanggan syarikat penerbangan nasional.

Bertempat di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur, MOU ini telah ditandatangani bersama oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Aiddah Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), Kapten Izham Ismail.

Majlis ini turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Dr. Santhara. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Hajah Rubiah Haji Wang.

Kerjasama ini juga mengalu-alukan kedatangan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat Kraftangan Malaysia sebagai rakan dagang terbaharu JOURNIFY, platform digital pelancongan dan gaya hidup sehenti milik MAG. Matlamat MOU ini adalah untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Kraftangan Malaysia juga seiring dengan Malaysia Airlines Berhad dalam usaha mengetengahkan seni dan budaya sebagai perlambangan atau ikon identiti Malaysia khususnya menerusi produk kraf tempatan.

JOURNIFY merupakan sebuah platform digital yang memberi pengguna akses kepada segala maklumat berkaitan perjalanan mereka seperti tempat-tempat menarik, perancangan percutian sehinggalah kepada pengalaman membeli-belah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Para pengunjung sama ada dari dalam dan luar negara boleh menjadikan platform ini sebagai tempat rujukan utama kerana melaluinya mereka boleh mendapatkan informasi terbaharu mengenai produk-produk buatan tempatan dan lokasi-lokasi percutian menarik yang ada di Malaysia.

Kini, JOURNIFY juga menyediakan perkhidmatan JOURNIFY2U, iaitu perkhidmatan penghantaran barangan yang dibeli secara dalam talian ke ruang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber: Facebook Kraftangan Malaysia.

Perkhidmatan eksklusif ini diharapkan mampu untuk menaikkan nama negara kerana memberikan kemudahan kepada para pelancong dari luar negara terutamanya untuk membawa pulang cenderahati dari Malaysia secara lebih mudah.

Para pengunjung boleh lawati www.myjournify.com atau muat turun aplikasi JOURNIFY untuk mendapatkan maklumat terkini dan membeli-belah lebih daripada 1000 produk premium termasuk produk kraf tangan tempatan, produk daripada artisan, produk eksklusif jenama Malaysia Airlines dan pelbagai lagi tawaran menarik.

Diharapkan kerjasama antara kedua-dua pihak ini mampu memberikan impak yang besar kepada industri kraf negara selain dapat menyuntik semangat usahawan kraf untuk terus aktif menghasilkan produk kraf yang unik, berkualiti dan beridentitikan negara sebagai cenderamata khususnya kepada para pelancong luar yang berkunjung ke negara kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.