13 April 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan kembali program [email protected] 2022, iaitu berbuka puasa secara beramai-ramai pada 16, 17, dan 23 April 2022 bersamaan dengan 14,15 dan 21 Ramadan ini bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan hasil anjuran bersama Persatuan Seni Budaya Putra dan rakan-rakan penganjur seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Masjid Jamek Kampong Bharu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kuala Lumpur Food Truck Entrepreneurs Association. Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2012 dan setelah hampir dua tahun dihentikan, kini program ini kembali kepada asal, iaitu berbuka dan solat di atas hamparan tikar dan secara duduk bersila.

Program berbuka puasa ini dikira istimewa kerana para pengunjung akan berbuka di atas padang dan jalan raya dihiasi pemandangan Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan satu daripada mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur. Selain berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat Tarawih akan turut diadakan. Peluang yang baik bagi para Muslim yang ingin merasai pengalaman solat berbumbungkan langit malam dan berdindingkan tiupan angin semula jadi. Tambahan lagi, terdapat juga jualan trak makanan untuk para pengunjung menikmati pelbagai jenis makanan untuk berbuka di samping bubur lambuk yang akan diagihkan oleh penganjur.

Selain itu, untuk mengisi waktu para pengunjung dengan perkara yang memberi manfaat pada bulan mulia ini, pihak penganjur juga ada menyediakan aktiviti kerohanian serta persembahan nasyid. Tambahan lagi, orang ramai juga boleh mengambil peluang untuk membayar zakat kerana Kaunter Bayaran Zakat juga akan turut dibuka di [email protected] 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop berkata, walaupun program ini diuar-uarkan kepada orang ramai secara terbuka, namun bilangan pengunjung adalah terhad dan kemasukan adalah mengikut “first come, first serve” demi menjaga kesihatan orang awam ketika berkumpul beramai-ramai.

Selaras dengan negara yang berada dalam keadaan endemik ketika ini, para pengunjung dinasihati untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, dan sentiasa mencuci tangan serta menjaga kebersihan sepanjang program berlangsung. Pada tahun lalu, program [email protected] diadakan secara dalam talian dan  berjaya menarik lebih 10 ribu pengunjung untuk berbuka puasa bersama-sama secara hibrid. Turut diadakan ketika itu ialah program keagamaan, pertandingan marhaban dan pertandingan nasyid.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!