13 April 2022, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Telah berakhir sebuah pementasan dengan julukan “Teater Kompilasi Vol. 6” anjuran Revolution Stage dan produksi First Time Workshop, yang menghidangkan persembahan kompilasi yang rencam tema pusarannya. Malah, kesemua persembahan pada malam itu dibikin oleh para penggiat drama dan teater yang baharu dan bertenaga kontemporari, latihan Kelas Pengarahan Teater di bawah kelolaan Revolution Stage sendiri.

Enam buah teater pendek yang dikumpulkan malam itu dipentaskan di Revolution Stage, Petaling Jaya, membawakan konsep kompilasi enam drama pendek, iaitu teater “Sos Cili” arahan Firul Amry, “Kubur” arahan Azizi Aziz, “Senapas” arahan Sis Aini, “Melihat Setan Bekerja” arahan Aris Ardianto, “The Distance Between Us” arahan Azizi Nazril dan “Menjelang Takbir” arahan Yana Mat Dan. Masing-masing cerita yang berdurasi 15 ke 20 minit itu membawa penonton ke dalam drama yang rencam konfliknya, dan menikmati persembahan para dramawan dan dramatis di dalam sebuah bilik sempit.

Teater pendek ini dipentaskan di dalam sebuah bilik sempit.

Projek Bilik Sempit, yang juga dikenali dengan Revolution Stage, adalah sebuah pentas seni persembahan kelolaan dramatis dan pembimbing teater, Khairunazwan Rodzy. Berbeza dengan tradisi pementasan teater, teater yang dipentaskan dalam Revolution Stage dibuat di dalam sebuah ruang kecil. Menyentuh tentang persoalan dan tema yang diangkat dalam keenam-enam cerita pendek itu, Khairunazwan lebih cenderung melihat isu dan permasalahan yang diangkat pada malam pementasan itu adalah isu yang relevan sepanjang zaman.

“Peralihan zaman yang dibawa dalam setiap cerita, dengan latar drama yang rencam menyentuh masyarakat luar bandar dan masyarakat bandar itu menyentuh pelbagai aspek kita sebagai masyarakat. Menggambarkan isu-isu kritis, relevan dan masih terjadi sehingga ke hari ini,” ujar beliau.

Setiap satu drama pendek akan berpusar dalam konflik, perbualan, polemik dan pemikiran antara dua watak dan subjek utama, sama ada pasangan suami isteri atau kekasih dalam “Sos Cili”, “Senapas”, “Distance Between Us” dan “Menjelang Takbir”, rakan sekerja dan pencari rezeki di dalam “Kubur”, mahupun penampilan dua elemen ambiguiti tentang baik dan buruk dalam “Melihat Setan Bekerja”. Setiap drama pendek diarah oleh pengarah yang berbeza.

Setiap satu drama pendek akan berpusar dalam konflik, perbualan, polemik dan pemikiran antara dua watak dan subjek utama.

Setiap pengarah juga mendapat kebebasan untuk memilih sendiri naskhah drama yang mahu dipentaskan, kerana menurut Khairunazwan, Teater Kompilasi Vol. 6 ini berperanan sebagai kelas pengarahan bagi para pengarah yang terlibat.

Yang paling utama dalam tugas sebagai seorang pengarah teater ialah pemilihan skrip. Bukan cari atau jumpa skrip, tetapi pengarah harus pilih skrip. Manakala syarat utama untuk memilih skrip pula adalah pengarah mesti meminati skrip, dalam elemen yang pengarah harus cari sendiri. Sama ada pada aspek isu, persoalan, konsep, subjek atau mesej.

Drama pertama, iaitu “Sos Cili” adalah sebuah naskhah asal Tony Devaney Morinelli, yang telah diadaptasi kepada bahasa Melayu oleh pengarahnya sendiri, Firul Amry. Azril Suhaili dan Hazirah Norizan tampil sebagai pelakon dalam watak suami isteri yang sedang tersekat dalam takah hubungan yang celaru.

Teater “Kubur” pula adalah adaptasi daripada karya dramatis Wira Manja. Pengarahnya, Azizi Aziz berusaha untuk menggambarkan sifat manusia yang bergembira atas kesusahan orang lain, dengan paparan empat watak lakonan Khal Isyaf, Ron Isa dan Shahrul Skye sebagai penduduk kampung yang menunggu rezeki, dan Qie Rahman sebagai wartawan dari bandar yang juga sedang mencari sumber rezeki. “Kubur” juga secara halus bersifat sinis dalam memaparkan perihal keikhlasan dalam kepertanggungjawapan kita sebagai penduduk dalam sebuah masyarakat.

Seterusnya, penonton dihidangkan dengan sebuah persembahan drama pendek “Melihat Setan Bekerja” karya asal Ridhwan Saidi, yang diarah oleh Aris Ardianto. Melalui “Melihat Setan Bekerja”, penonton secara literalnya sedang melihat bagaimana watak syaitan sedang bekerja. Lakonan Wafiq Qusyairi sebagai manusia yang sedang berdiri di atas pagar godaan syaitan lakonan Sam Zoui, seolah-olah menyantas penonton secara langsung tentang konflik dan iman seorang manusia. Melalui lakonan surreal dua pelakon ini, Aris berjaya memaparkan sebuah cerita yang mengusik isu psikologi, keimanan dan ambiguiti di antara protagonis dan antagonis.

Manakala, “Senapas” pula adalah drama eksperimental karya Khairunazwan sendiri yang diolah semula pengarah Sis Aini untuk menumpukan pada garapan konflik yang didorong melalui babak monolog dan dialog. “Senapas” berdiri sebagai drama eksperimental yang menggunakan perlambangan pertalian hubungan untuk mengangkat isu tabu dalam masyarakat, iaitu anak luar nikah. Melalui kekuatan monolog, Khal Isyaf dan Sara Sulaiman berjaya memenuhi pentas dengan emosi dan harapan.

Distance Between Us”, arahan Azizi Aziz, merupakan sebuah drama pendek terbaharu karya Fattah Fauzy. Fattah juga berlakon sebagai suami dalam teater pendek itu. Drama pendek ini mengetengahkan dialog sebagai ruang untuk menjadi ke arah diri yang lebih menjanjikan daripada yang sebelumnya. Melalui drama ini, Fattah cuba memaparkan bagaimana setelah mengenal baik dan buruk, bahana dan bencana, dua orang manusia yang bercinta boleh mengukuhkan lagi hubungan yang sakti itu. Wataknya digalas Fattah sendiri sebagai suami dan Natasha Rafizi pula sebagai isteri.

Revolution Stage menjanjikan persembahan yang menarik dan memuaskan kepada khalayak penontonnya.

Pementasan kompilasi itu ditutup dengan “Menjelang Takbir” drama asal Sasterawan Negara Usman Awang, yang telah diolah dan dimantapkan oleh pengarah Yana Mat Dan kepada drama satu babak untuk merumuskan kehidupan masyarakat dalam himpitan ekonomi dan tohmahan sosial sekeliling. Gandingan mantap dua pelakon Qie Rahman dan Sara Sulaiman sekali lagi menjanjikan sebuah drama yang mengikat emosi dan menggambarkan tragedi tohmahan sosial kepada kita sebagai manusia.

Penulis juga perasan dan menghargai usaha pihak produksi untuk memastikan setiap lopong dan kosong terisi dengan estetika seni persembahan. Di tengah-tengah kekosongan antara setiap drama, dalam transisi setiap drama, produksi menghidangkan penonton dengan sketsa pendek yang melibatkan para pelakon “Kompilasi Vol. 6” sendiri, dengan unsur tarian, gerak isyarat disertai permainan warna-warni cahaya dan muzik. Usaha yang mengisi perincian ini memaparkan komitmen Revolution Stage untuk menjanjikan persembahan yang menarik dan memuaskan kepada khalayak penontonnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.