18 April 2022, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad.

Berpuasa di Bristol, United Kingdom membuatkan Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad menyelami hikmah Ramadan sebenar agar lebih menghargai segala nikmat sebagai seorang Muslim di Malaysia yang selesa dan bebas menjalankan ibadah dengan baik dan tenang.

Ibadah puasa pada bulan Ramadan yang mulia sememangnya dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Jika di Malaysia, majoriti penduduknya beragama Islam, jadi tidak hairanlah bulan yang mulia itu meriah dengan sembahyang tarawih, bazar Ramadan dan Aidilfitri, majlis buka puasa, moreh, tadarus al-Quran dan qiamullail di masjid.

Namun begitu, bagi Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu, pengalaman berpuasa di perantauan ternyata jauh berbeza dirasakan apabila menjejakkan kaki buat pertama kali di bumi Bristol itu pada tahun 2015.

Menurutnya, dia perlu berpuasa jauh lebih lama kerana kebetulan bulan Ramadan jatuh pada musim panas yang mana waktu siang lebih panjang daripada waktu malam yang menyebabkan dia dan suami mula bersahur sebelum pukul 2.00 pagi dan berbuka pada pukul 9.00 malam, iaitu lebih kurang 19 jam sehari secara keseluruhannya.

“United Kingdom merupakan antara negara yang panjang waktu berpuasa di Eropah, selain Sepanyol dan Turki di belakang Iceland dengan waktu berpuasa 21 jam. Walaupun waktu berpuasa begitu panjang, aktiviti harian tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

“Saya masih akan berjalan kaki ke kampus yang terletak 20 minit dari kediaman pada setiap hari memandangkan kami tiada kenderaan di sana serta menaiki bas sekiranya perjalanan agak jauh,” katanya.

Dr. Saidatul berkata, Bristol merupakan bandar yang agak berbukit dan menjadi satu cabaran apabila dia perlu melalui jalan berbukit dalam cuaca sejuk tanpa makan dan minum.

Menurutnya, sepanjang Ramadan di luar negara, dia banyak belajar memasak sendiri, tambahan pula kos hidup di negara orang itu sangat tinggi, selain pilihan makanan halal yang terhad.

Mengenang kenangan bertarawih, Dr. Saidatul berkata, “di Malaysia, umat Islam akan berjemaah menunaikan solat tarawih tetapi berbeza di Bristol apabila mereka hanya mendirikan solat di rumah masing-masing sahaja kerana masjid terletak jauh dari kediaman.”

Kenangan warga Malaysia di Bristol menyambut Aidilfitri di perantauan.

“Bukan itu sahaja, risiko keluar malam di Bristol agak tinggi dan berbahaya kerana selepas pukul 7.00 malam selalunya penduduk tempatan akan mula mengunjungi kelab malam dan pelbagai kemungkinan seperti gangguan mahupun jenayah boleh berlaku.”

“Saat itu, kami terkenang desa tercinta, suasana hening dan peluang beribadah di masjid, rindu kuliah Maghrib, malah rindu suara azan yang sungguh indah sebagai halwa telinga. Benarlah kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik,” katanya.

Dengan pengalaman yang tidak ternilai harganya ini, banyak pengajaran yang dipelajari dan itulah hikmahnya merantau agar kita lebih menghargai dan menyayangi asal usul kita.

Menurutnya, dia sedar akan hikmah setiap kejadian-Nya termasuk berpuasa di negara empat musim yang mengingatkan betapa Allah SWT itu Maha Adil kerana walaupun terpaksa berpuasa selama 19 jam, namun tidak terasa terlalu lapar mahupun dahaga kerana cuaca yang sejuk dan dingin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.