Oleh Aisyah A.
20 April 2022, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah dua tahun Malaysia menutup sempadan akibat pandemik COVID-19, akhirnya pada tanggal 1 April 2022, Malaysia kembali menerima kehadiran “tetamu”, iaitu pelancong dari negara asing untuk menikmati keindahan negara ini.

Bagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong dari India, khususnya, Tourism Malaysia telah menganjurkan “Jerayawara di India” pada 18 April hingga 30 April 2022. Malaysia Tourism Promotion Board atau lebih dikenali sebagai Tourism Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang bertanggungjawab dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi para pelancong.

Sumber: Laman web rasmi Tourism Malaysia.

Jerayawara tersebut diadakan di enam bandar utama di India yang bermula di New Delhi dan akan diikuti oleh Ahmedabad, Mumbai, Hyderabad, Bangalore dan Chennai. Diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy, jelajah promosi ini juga disertai oleh kumpulan industri pelancongan Malaysia yang terdiri daripada tiga syarikat penerbangan tempatan, 22 ejen pelancongan, empat pengusaha hotel dan empat pengasas produk.

India telah membenarkan penerbangan penumpang antarabangsa bermula pada 27 Mac lalu dan jumlah penerbangan Malaysia-India mencecah 76 penerbangan setiap minggu. Jumlah ini menunjukkan pemulihan sektor pelancongan semakin baik walaupun jumlah penerbangan sebelum pandemik adalah kira-kira 200 penerbangan setiap minggu.

Dengan penamatan keperluan kuarantin bagi pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi, para pelancong hanya perlu menjalani ujian saringan RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.

India ialah sumber ketibaan asing ketujuh terbesar bagi Malaysia sebelum pandemik dengan mencatatkan lebih 600 ribu dan 700 ribu ketibaan pelancong India masing-masing pada tahun 2018 dan 2019. Pascapandemik menunjukkan India merupakan negara di tempat empat tempat teratas bagi ketibaan asing ke Malaysia. Selaras dengan peningkatan tersebut, Pengarah pejabat Tourism Malaysia di New Delhi, Sulaiman Suip memaklumkan bahawa syarikat-syarikat penerbangan merancang untuk meningkatkan lebih banyak bandar India dengan Kuala Lumpur menjelang musim panas kelak. Selain itu, jumlah penerbangan akan dibuka lebih banyak dan jumlah tambang bagi laluan Malaysia-India juga akan dikurangkan sesuai dengan peningkatan permintaan perjalanan.

Jelajah promosi tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menarik minat pelancong asing ke Malaysia, malah untuk menanam semula keyakinan kepada para pelancong, dari India khususnya, bahawa negara sudah beransur pulih daripada pandemik yang melanda dunia dan bersedia untuk menerima kedatangan para pelancong. Apatah lagi, dengan pembukaan lebih banyak tempat-tempat menarik seperti taman tema Genting Skyworld, menara kedua tertinggi dunia, iaitu Merdeka 118 dan banyak lagi, para pelancong akan lebih gembira dengan percutian ke Malaysia pada kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.