Oleh Jamil Hashim
28 April 2022, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Foto: Lola Gany dan Esma Sarina Mahzan

Nama Jamaluddin Alias memang sinonim dalam kalangan masyarakat umum sebagai penyanyi lagu patriotik kenegaraan sejak era 1960-an.

Walaupun Jamaluddin kini sudah tiada setelah kembalinya ke rahmatullah pada usia 85 tahun pada 15 April 2022 lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Petaling Jaya, tetapi nama dan gema suaranya pasti masih segar dalam ingatan masyarakat terutama yang berusia 30 tahun ke atas dan warga emas.

Penduduk Malaysia yang dalam kategori usia tersebut memang membesar dan mendewasa bersama-sama lagu patriotik nyanyiannya yang mampu menyuntik semangat perjuangan, cinta kepada negara dan bersedia untuk turut serta menjayakan kempen semasa negara yang dianjurkan oleh kerajaan.

Suaranya yang berkumandang melalui radio menyanyikan lagu patriotik kenegaraan itu lebih ketara selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menggabungkan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Bagi menyemarakkan semangat rakyat supaya berbangga dengan penubuhan Malaysia itu, lagu Malaysia Berjaya nyanyiannya yang dicipta oleh Saiful Bahari disiarkan melalui Radio Malaysia pelbagai rangkaian bahasa khususnya selepas setiap kali siaran warta berita radio.

Masyarakat pastinya tetap ingat pada lirik yang menyebut;

 Dari Perlis sampailah ke Sabah,

Kita sudah merdeka;

Negara makmur rakyat mewah,

Kita sudah berjaya.

Penyiaran lagu berentak mars dengan liriknya yang mudah diingat serta mampu disampaikan oleh Jamaluddin secara bersemangat berjaya menyuntik semangat patriotik dalam jiwa pendengar. Beberapa lagu patriotik lain dalam rentak yang sama selepas itu ialah Perajurit Tanah Air yang berjaya membina semangat untuk berjuang secara habis-habisan kepada perajurit yang bertempur menentang musuh di perbatasan demi mempertahankan negara. Begitu juga dengan Samudera Raya oleh pencipta yang sama. Lagu patriotik lain yang dinyanyikannya termasuk Jaya Diri, Keselamatan Jalan Raya, Majulah dan beberapa lagu yang menjadi tema sambutan hari kebangsaan negara setiap tahun.

Begitu juga setiap kali negara mengadakan pilihan raya umum, suaranya pula kedengaran menyanyikan lagu Mari Mengundi yang mengajak masyarakat yang telah mendaftar sebagai pemilih untuk keluar beramai-ramai menunaikan hak mereka bagi memilih calon pilihan dan parti yang bakal memerintah.

Pencipta dan penggubah lagu veteran, Haji Mahzan Manan.

“Suara tenor yang jelas dan besar miliknya membolehkan Jamaluddin menyampaikannya lagu-lagu berentak sedemikian secara penuh bersemangat; menjadikannya sebagai satu-satunya penyanyi patriotik pada ketika itu yang benar-benar dapat menyuntik semangat juang dalam kalangan perajurit dan rakyat seluruhnya,” kata pencipta dan penggubah lagu veteran, Haji Mahzan Manan. Beliau yang mewakili pencipta, penggubah, pemuzik dan penyanyi menyifatkan pemergian Jamaluddin sebagai suatu kehilangan besar kepada dunia seni dan negara yang sukar dicari ganti.

Haji Mahzan yang lebih muda sedikit usianya daripada Jamaluddin memang menjadi teman rapatnya sejak muda ketika beliau mula terlibat mencipta lagu khususnya yang berentak keroncong. Baginya, suara Jamaluddin juga turut sesuai menyanyikan lagu berentak keroncong termasuk yang diciptanya.

Selain terkenal dengan kehebatannya menyampaikan lagu patriotik, Jamaluddin juga turut dikenali sebagai penyanyi lagu keroncong yang baik.

Kebolehannya dalam bidang nyanyian dicungkil ketika kali pertama beliau menyertai pertandingan Bintang Radio anjuran Radio Malaya pada tahun 1961. Sejak itulah, bakat nyanyian anak jati Kampung Baharu, Kuala Lumpur yang dilahirkan pada 16 Februari 1937 ini mula menyerlah dengan menyanyikan lagu berirama asli, keroncong dan kemudiannya lagu patriotik kenegaraan berentak mars yang bersemangat.

Keputusannya menyertai pertandingan itu bertujuan menggilap bakat asalnya sebagai penyanyi dalam kumpulan koir. Kewibawaan yang ada pada dirinya itu juga turut mendapat kepercayaan konduktor muzik, Tony Fonseka untuk memilih Jamaluddin mengetuai kumpulan koir itu yang ditubuhkan untuk mengadakan persembahan pada malam menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kumpulan koir seramai 39 orang itu mewakili pelbagai kaum.

Bakatnya yang petah berbicara pula semakin menonjol apabila menyertai Radio Malaya pada tahun 1962. Ketika ditempatkan di bahagian persembahan radio, beliau melaksanakan tugas sebagai juruhebah dan turut menerbitkan beberapa rancangan. Dengan kebolehan menyanyi yang ada pada dirinya, Jamaluddin pernah diminta menjadi guru oleh Ketua Pengarah Penyiaran ketika itu, Dol Ramli untuk mengajar masyarakat menyanyikan dengan betul lagu kebangsaan Negaraku melalui radio yang diiringi petikan piano oleh Alfonso Soliano.

Allahyarham Jamaluddin Alias bersama-sama rakan-rakan ketika usia mudanya.

Ketika negara berusaha berkempen mewujudkan rakyat yang sihat dan cergas bermula pada era 1970-an, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut membantu membangkitkan kesedaran itu dengan menggalakkan masyarakat bersukan termasuk bersenam sebagai aktiviti paling asas. Jamaluddin diberikan tanggungjawab menerbitkan rancangan Mari Bersenam di Radio Malaysia Rangkaian Nasional pada setiap pagi. Walaupun dirakamkan dalam studio tetapi gaya penyampaiannya cukup bersemangat bagi mengajak pendengar sama-sama bersenam melakukan pergerakan ringan diiringi dengan tempo muzik yang bersesuaian.

Mendengar gayanya yang ceria dan bersemangat, pendengar mesti membayangkan Jamaluddin memiliki tubuh yang tampan tetapi hakikat sebenar badannya sihat, gemuk dan montel.

Inilah yang kerap menjadi bahan gurauan dan sindiran rakan-rakan sekerja yang menyapa dirinya sebagai Jamal. Secara berseloroh yang membayangkan rasa bangga dan puas hatinya, Jamaluddin berkata, “Yang penting mesej kita sampai kepada pendengar untuk menjadikan mereka sebagai warga yang cergas dan sihat seperti yang dihasratkan oleh pemimpin negara.”

Dalam pertemuan penulis beberapa kali dengan beliau semasa hayatnya, Jamaluddin mengakui nostalgia masa mudanya benar-benar kembali terimbau apabila mendengar Radio Klasik Nasional menyiarkan lagu keroncong dan asli nyanyiannya serta lagu patriotik “inilah barisan kita …” yang membangkitkan semangat untuk berjuang semasa tragedi pencerobohan pengganas asing di Lahat Datu, Sabah pada tahun 2013 yang turut mengorbankan beberapa orang anggota keselamatan.

Lagu yang sama turut disiarkan menerusi RTM bagi menghargai dan membangkitkan semangat petugas kesihatan keluarga Malaysia yang berkhidmat di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat semasa negara dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.

Bukan sekadar sebagai penyanyi dan penyiar tetapi suara Jamaluddin juga sinonim dengan pengulas sukan di radio yang berkaliber khususnya pada era 1970-an hingga 1980-an bersama-sama rakan pengulas yang lain termasuk Dato’ Rahim Razali, Aziz Ibrahim, Amran Hamid, Zulkarnain Hasan, Baharin Tahi, Husin Ibrahim dan Dato’ Hasbullah Awang.

Bidang sukan memang diminatinya berdasarkan pengalaman menjadi pemain bola sepak bagi pasukan Selangor bersama-sama legenda bola sepak negara, Abdul Ghani Minat pada era awal dulu. Walau bagaimanapun, semasa menjadi pengulas sukan di radio, beliau terlibat membuat liputan bagi semua jenis acara termasuk bola sepak, badminton, hoki, renang dan olah raga. Bukan sahaja di dalam negara tetapi juga yang melibatkan kejohanan di peringkat antarabangsa seperti bola sepak Piala Asia 1980 di Kuwait, Hoki Piala Dunia di Bombay 1982, Sukan SEA Jakarta 1979 dan Manila 1991, Sukan Asia di New Delhi 1982 dan Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Laporannya kemas dan jelas bersama-sama pergerakan pemain dan peserta dengan gaya bersemangat serta ceria yang membangkitkan keseronokan peminat semasa mencapai kemenangan di samping menyuntik semangat motivasi kepada pendengar yang kecewa semasa berdepan dengan saat kekalahan. Kelincahan suaranya semasa mengulas tentunya masih segar dalam ingatan peminat sukan negara.

Atas keperibadian dan sifatnya sebagai seorang penyiar legenda yang serba boleh itu, ketiadaan Jamaluddin kini memang turut benar-benar dirasai oleh rakan setugasnya yang telah bersara. Persatuan Veteran RTM (PVRTM) menyifatkan pemergian Jamaluddin sebagai satu kehilangan besar atas sifat serba bolehnya dalam menyuntik semangat perjuangan dan cinta akan negara kepada rakyat melalui lagu patriotik.

Presiden PVRTM, Hajah Zohara Gany Mhd Bathusha.

“Kami tetap mengingati Allahyarham Jamaluddin sebagai penyiar serba boleh dan personaliti yang hebat yang perlu dicontohi dan sukar dicari ganti,” kata Presiden PVRTM, Hajah Zohara Gany Mhd Bathusha. PVRTM yang memang menyedari kehebatan bakatnya itu serta ramai lagi personaliti penyiar yang lain telah pun mengambil inisiatif mendokumentasikan biodata dirinya dalam buku mewah, Di Sebalik Nama Orang RTM. Banyak pengalaman menarik yang dilaluinya sebagai penyiar dan penyanyi diceritakan dalam buku ini. Edisi pertama buku ini yang baru sahaja diterbitkan memuatkan seramai 76 orang personalti penyiar sebagai ikon RTM sejak era awal.

Menurut beliau, ramai lagi nama personaliti penyiar radio dan TV akan menyusul melalui penerbitan edisi seterusnya sebagai usaha PVRTM mendokumentasikan maklumat tentang setiap daripada mereka yang memainkan peranan penting dalam bidang penyiaran yang turut berusaha memberikan maklumat dan sekali gus membentuk keluarga Malaysia yang dinamik, sejahtera, harmoni dan berjaya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!