3 Mei 2022, 07:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menyambut kejayaan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan diterjemahkan dalam suasana hari raya yang sememangnya meriah di Malaysia dengan amalan kunjung-mengunjung sanak-saudara, menziarahi pusara ayah bonda dan menikmati juadah yang lazat merupakan tradisi turun-temurun.

Dalam hal ini juga, rendang tok merupakan hidangan istimewa masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman terutamanya menjelang 1 Syawal yang meninggalkan 1001 nostalgia.

Masakan rendang menjadi hidangan istimewa pada hari raya.

Hal yang demikian dikongsikan oleh Dr. Nursiha Alias yang menyifatkan rendang tok meninggalkan nostalgia yang cukup manis untuk dikenang kerana semangat berpasukan dan kerjasama yang diterapkan dalam proses menyediakan rendang tok yang juga mampu menyatukan hubungan ahli keluarga.

“Sebut saja rendang tok, terbayang wajah opah. Banyak kenangan bersama-samanya terutamanya ketika menyediakan rendang citarasa unik, dan aromanya semerbak harum kerana air tangan opah sedap sehingga tidak terkata malah digemari ramai,” kongsinya.

“Opah seorang yang amat teliti, dia akan pantau segala kerja kita. Pantang silap sedikit, tahan telingalah dengar leteran opah, tetapi berbaloi kerana keenakan rendang opah tiada gantinya sampai bila-bila,” ujar pensyarah di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.

Proses pembuatan rendang tok pada hakikatnya agak renyah dan mengambil masa yang panjang dari pagi hingga ke petang untuk disiapkan dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Menurutnya, “Kami adik-beradik, sepupu dan ibu saudara diberikan tugas memotong bawang yang banyak sehingga terjadilah drama air mata. Ada yang sampai basuh mata dengan air berkali-kali malah ada yang berhenti sebab mata sudah tidak boleh celik menahan pedih.”

“Selain bawang, banyak lagi yang perlu dipotong seperti lengkuas, cabai kering, daging dipotong dalam saiz yang besar dan untuk memastikan rendang cukup lemaknya banyak menggunakan santan,” ceritanya.

Waktu dulu, tidak ada mesin kelapa. Jadi, perlulah kukur kelapa dan perah santan sampai sakit pinggang.

Menurut Dr. Nursiha, rendang dimasak di dalam kuali tembaga yang berat kemudian diletakkan di atas tungku yang disusun bata dan diletakkan kayu api, arang atau tempurung kelapa sehingga naik aroma yang menyelerakan.

Dr. Nursiha Alias bersama-sama sanak saudaranya.

“Kacau rendang perlu dipantau selalu agar tidak hangit dan berkerak dan kami kipas dengan tudung periuk beramai-ramai secara bergilir-gilir dari pagi hingga petang. Sebaik-baik sahaja masak, opah akan ambil sedikit untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Mengenang kembali zaman ketika beliau masih muda, Dr. Nursiha berkata, “Kehidupan dahulu tak mewah. Jadi, kalau nak makan rendang tok, kena tunggu hari raya. Setiap ahli keluarga hanya boleh dapat seketul daging dan selebihnya untuk para tamu yang bertandang.”

Beliau turut menceritakan mengenai ibu saudaranya yang terkena demam campak ketika hari raya. Katanya, “Orang dulu apabila demam campak, kena pantang makan daging atau ayam agar cepat sembuh. Akan tetapi, demi menjamah rendang tok, pantang larang tersebut sanggup dilanggar.”

“Gelak ketawa, usik mengusik dan leteran opah apabila kami tersilap sangat indah. Kami semua gembira kerana tahu opah guru yang baik untuk mengajar kami dan di sebalik  tunjuk ajarny,a tersirat hikmah yang cukup besar sebagai bekalan pada masa hadapan,” katanya.

Semua itu tinggal kenangan manis. Opah sudah tiada tetapi kasih sayang opah segar dalam ingatan. Sayangnya, tiada siapa-siapa yang mewarisi pembuatan rendang tok cara opah. Semoga roh opah bahagia di sana.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!