Oleh Rasfan Abu Bakar
10 Mei 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Minat seninya bermula sejak dari kecil lagi. Manakan tidak, bapanya ialah seorang pelukis dan lukisan merupakan perkara yang dilihatnya setiap hari. Oleh itu, Iszuan Ismail Baba tidak kekok apabila berbicara tentang seni lukis dan minatnya mekar sepanjang masa.

Kisah Cinta di Bukit Dinding, 92 x 92 cm, Akrilik Arang atas Kanvas, 2020.

Menurut Iszuan, sejak kecil lagi bapanya sering mendedahkan dirinya dengan lukisan dan dia sendiri pernah memenangi pertandingan mewarna ketika berusia empat tahun. Kemenangan tersebut menjadi pemangkin buat dirinya untuk terus maju dalam bidang seni lukis.

Apabila menginjak dewasa, Iszuan menyambung pengajian dalam bidang multimedia grafik di Institut Kemahiran Ikhtisas Pahang dan setelah menamatkan pengajian, Iszuan mula bekerja sebagai  pereka grafik di beberapa syarikat periklanan serta hotel. Kini, dengan pengalaman lebih 15 tahun, Iszuan bertugas sebagai pembantu kurator di Galeri Shah Alam, Selangor.

Sungguhpun demikian, Iszuan tetap aktif berkarya kerana perkara tersebut merupakan minat yang sukar untuk diketepikan. Justeru itu, jika ada masa terluang, Iszuan akan terus melukis dan menyertai pelbagai pameran yang diadakan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Bercerita tentang tugasnya sebagai penolong kurator, Iszuan menyatakan bahawa dia bertindak sebagai orang perantara antara seniman dengan pengurusan galeri. Selain itu, Iszuan juga akan berurusan dengan pelajar, pengkaji, pengkritik serta media. Menjadi orang tengah membolehkan dirinya bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat dan memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

“Saya menjadi pemudah cara antara pihak yang berminat dengan seni seperti pelukis dan pelajar dengan pihak pengurusan Galeri Shah Alam. Semuanya perlu ditangani satu per satu dan setiap kali selesai berurusan, saya akan berasa puas kerana berjaya membantu pihak yang berkenaan,” kata Iszuan.

Dust and Pollen I, 75 x 62 cm, Acrylic Charcoal Stick, 2021.

Selain itu, tugas di galeri membolehkan dia merancang pelbagai perkara berkaitan dengan sesuatu pameran seperti konsep, tema, susun atur, bahan pameran, poster, penulisan, promosi serta perkara berkaitan dengan jemputan dan protokol.

Semua perkara ini perlu dilihat secara teliti kerana jika tidak, sesebuah pameran itu akan menjadi kucar-kacir dan tidak memberikan impak buat khalayak yang datang menyaksikannya.

Di Galeri Shah Alam sendiri terdapat pelbagai pameran yang telah dirancang sepanjang tahun. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan peminat seni lukis tanah air ialah Pameran Terbuka Galeri Shah Alam. Pameran ini menjadi medan mengasah bakat buat penggiat muda untuk mengetengahkan hasil karya mereka. Melalui pameran ini juga, banyak bakat baharu yang berjaya dicungkil dan mereka kini menjadi antara seniman mapan dalam dunia seni lukis tanah air.

Embun Tasik Chini II dan Gumumism, 92 x 92 cm, Akrilik Arang Stik atas Kanvas, 2021.

Berbalik kepada minatnya dalam dunia seni lukis, Iszuan menyatakan bahawa seniman legenda tanah air, iaitu Dato’ Syed Ahmad Jamal adalah antara pelukis kegemaranya. Hal ini dikatakan demikian kerana karya yang dihasilkan oleh beliau begitu hebat dan memukau. Selain itu, Iszuan juga meminati karya lukisan Awang Damit dan Ibrahim Hussein manakala pelukis antarabangsa yang menjadi rujukannya ialah Willem De Kooning, Jackson Pollock dan Mark Rothko.

Disebabkan pengaruh pelukis inilah menyebabkan Iszuan menghasilkan karya-karyanya dalam bentuk abstrak. Lukisan abstrak ialah lukisan yang berbentuk luahan ekspresi yang menekankan kepada warna, jalinan, tekstur, garisan, bentuk, pengulangan tanpa sebarang imej dan juga satu bentuk pembebasan kerana tidak terikat untuk menghasilkan sebarang objek.

Iszuan juga turut bereksperimen terhadap pelbagai bahan seperti daun kering, serpihan kayu, ranting, butiran pasir, arang, akrilik, cat air atau minyak. Kesemua bahan ini diadun untuk menghasilkan warna dan tekstur “terkini” agar sesuai dengan tahun karya itu dihasilkan. Setelah itu, proses melukis akan berlaku sehingga kepada titik akhir dan seterusnya terciptalah sebuah karya.

Sungguhpun karya Iszuan berbentuk abstrak tetapi ilham dan inspirasinya terdiri daripada pelbagai sumber dan tempat. Antara tempat yang telah beliau kunjungi ialah Tasik Chini, Pahang. Di sini, Iszuan mendapat ilham daripada kepelbagaian flora dan fauna serta keindahan tasiknya yang masih terpelihara. Kesemua memori ini diterjemahkan di atas kanvas dan kemudian dipamerkan agar keindahanya dapat dikongsikan dengan khalayak umum.

Iszuan juga pernah menyertai ziarah seni di Sa Pa, sebuah daerah terpencil di Vietnam. Dalam kunjungan tersebut, Iszuan dapat melihat keindahan kawasan pergunungan yang menawan serta penduduk tempatannya juga sangat ramah dan dipenuhi dengan kepelbagaian budayanya. Ziarah seni ini mematangkannya dari pelbagai sudut, antaranya adalah sentiasa bersifat terbuka terhadap kepelbagaian gaya dalam menghasilkan sesebuah hasil seni.

Foto kenangan 10 artis Malaysia yang menjayakan program Lakar SaPa Vietnam 2016.

Ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, Iszuan mengambil peluang untuk terus menajamkan lagi kemahiranya dalam aspek berkarya. Jika sebelum ini semua aktiviti seni berlaku secara fizikal, kini dia beralih ke bentuk digital. Justeru itu, kepekaan serta pengetahuan berkaitan komputer dan teknologi perlu dipertingkatkan agar selari dengan peredaran zaman.

Aktiviti seni kini dilakukan secara dalam talian ataupun hibrid yang membuka satu lembaran baharu buat dunia seni lukis tempatan dan juga antarabangsa. Jika dahulu pengunjung yang datang menyaksikan sesebuah pameran itu terhad kepada mereka yang hadir secara fizikal, kini telah berubah apabi;a khalayak boleh berada di mana-mana sahaja dan merentasi sempadan negara. Perkara ini adalah satu potensi baharu yang belum pernah diteroka dan akan menjadi satu kelaziman pada masa akan datang.


Penulis merupakan Dekan Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.