10 Mei 2022, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto ihsan Pejabat Parlimen Kuala Kangsar

Kuala Kangsar – Pintu Gerbang Kampung Kepala Bendang dinobatkan sebagai johan Pertandingan Panjut 2022 atau Pertandingan Panjut 2.0 pada 29 April 2022 yang lalu, dan membawa pulang wang hadiah kemenangan sebanyak RM5000 serta sijil penghargaan.

Pintu Gerbang Kampung Kepala Bendang johan Pertandingan Panjut 2.0.

Pertandingan panjut antara kampung peringkat Parlimen Kuala Kangsar itu anjuran Pejabat Parlimen kawasan berkenaan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar dan Persatuan Muafakat Anak Jati Kuala Kangsar (GEMUDA).

Padang Changkat meraih gelaran naib johan dengan hadiah kemenangan bernilai RM3000.

Padang Changkat meraih gelaran naib johan dengan hadiah wang tunai RM3000, sementara Sayong Lembah pula memenangi tempat ketiga yang menerima hadiah bernilai RM2000. Sayong Tengah pula mendapat tempat keempat dengan hadiah RM1000.

Pemenang tempat kelima sehingga tempat ke-12 yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 ialah Sungai Siput, Taman Kelisa Sayong, Bukit Chandan, Talang Hulu (Bendang), Talang Hulu Mabeles Café, Bukit Lada, Ulu Piol dan Harun Pottery Kepala Bendang.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd. Yazid, Pertandingan Panjut 2.0 itu bertujuan mengimbau nostalgia serta menghidupkan semula tradisi masyarakat Melayu di daerah Kuala Kangsar yang dahulunya menghiasi kawasan kampung dengan nyalaan lampu pelita.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd. Yazid tertarik dengan pelita panjut dalam Pertandingan Panjut 2.0.

Dipanggil juga Pertandingan Panjut 2.0 kerana pertandingan ini telah dimulakan pada tahun 2021. Jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu lagi, beliau mengambil keputusan mengadakan pertandingan berkenaan bermula pada tahun lalu secara besar-besaran membabitkan seluruh penduduk kampung berikutan tradisi berkenaan dilihat semakin pupus dan mungkin dilupakan. Sebanyak 14 buah kampung mengambil bahagian. Walau bagaimanapun, dua buah kampung menarik diri pada saat-saat terakhir.

Dengan menyertai Pertandingan Panjut 2.0 itu, penduduk kampung yang terlibat dapat mempamerkan bakat, warna dan kasih sayang mereka melibatkan semua peringkat umur. Selain itu, pertandingan sedemikian diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung, sekali gus mempamerkan keunikan yang ada di Kuala Kangsar. Justeru, Mastura berpendapat tradisi tersebut perlu terus dipertahan sampai bila-bila.

Setiap penyertaan turut diberikan sijil penghargaan, dengan syarat penyertaan terbuka kepada seluruh kampung dalam Parlimen Kuala Kangsar serta lokasi tapak panjut mestilah di kawasan lapang dan di laluan utama dengan mengambil kira faktor keselamatan dan penjarakan fizikal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.