12 Mei 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Melaka – Baik sebelum atau semasa meraikan Syawal, masih sesuai dan wajar jika mana-mana karyawan menampilkan lagu baharu untuk memeriahkan sambutannya, sebagaimana kata baris-baris akhir lirik lagu Indahnya Beraya di Desa nyanyian Azlina Aziz yang berbunyi, “kesibukan kerja bukannya alasan, kita beraya selama sebulan”. Justeru, tiada salahnya lagu Tandak Lebaran diterbitkan ketika ini kerana Syawal masih diraikan.

Haziq turut mendoakan agar Tandak Lebaran bermanfaat kepada semua pendengar.

Ramai peminat seni suara tanah air tahu bahawa Haziq Akademi Fantasia (AF), 34 tahun, dianggap kembar seiras dengan penyanyi legenda Allahyarham Datuk Ahmad Jais dari segi vokal. Pada tahun 2006, bakat dan kebolehan Haziq telah melayakkan beliau menjadi antara 12 orang pelajar AF musim keempat.

Untuk kesinambungan kerjaya Haziq, pihak produksi telah memilih beliau sebagai penyanyi Tandak Lebaran ini yang juga bertujuan memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah setelah pandemik COVID-19 menghalang sambutan selama dua tahun sebelumnya.

Di samping Tandak Lebaran sebagai lagu tunggal Syawal beliau yang terbaharu, Haziq memang giat membuat persembahan untuk majlis makan malam dan majlis resepsi perkahwinan. Oleh sebab masih ada yang meminati lagu irama tradisional di TikTok, jelas Haziq, beliau juga giat menghasilkan video di aplikasi media sosial tersebut.

Nyanyian Haziq untuk lagu tunggal yang judulnya puitis ini turut “dicantikkan” oleh suara seorang guru seni muzik di sebuah sekolah rendah di utara Semenanjung, iaitu Cikgu Meera atau lebih mesra dengan panggilan Meera.

Cikgu Meera bergiat dengan rancak dalam bidang seni suara sejak zaman persekolahan.

Tiada salah dan cacatnya kerana Meera ada pengalaman bergiat dengan rancak dalam bidang seni suara sejak zaman persekolahan lagi. Anak jati Kedah ini memang ada kebolehan dalam nyanyian, serta pernah menyertai pertandingan syair antarabangsa di Indonesia, dan secara langsung dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak.

Menurut Meera, beliau gembira mendapat tawaran merakamkan Tandak Lebaran, apatah lagi bergandingan dengan Haziq walaupun rasa tercabar kerana perlu turun ke Melaka dari Kedah.

“Namun begitu, semuanya berjalan lancar. Tambahan pula, Haziq seorang yang periang,” jelas Meera, 30 tahun, mengenai lagu yang melodinya ciptaan Fauzi Mohammad ini.

Sebenarnya, Fauzi juga seorang pemuzik hebat dari Melaka. Beliau bertugas sebagai pemuzik di Briged Seni Melaka. Dengan kebolehan bermain pelbagai alat muzik, Fauzi menggunakan kelebihan tersebut untuk mencipta lagu berirama tradisional Melayu.

Sebelum ini, Fauzi juga merupakan komposer lagu Senandung Anak Melaka, nyanyian Yasser Fikri, dan Tambatan Jiwa (Khaliza Putri/Nabila). Siso Kopratasa yang seperti kita semua tahu banyak menulis lirik lagu Raya diberikan tanggungjawab menulis lirik Tandak Lebaran.

“Olahan lirik lagu ini agak berbeza sedikit kerana saya memasukkan suasana pandemik, endemik dan ekonomi negara semasa dalam penceritaannya. Terdapat juga unsur nasihat secara am untuk kita semua bagi menyambut Syawal tahun ini,” jelas Siso mengenai lirik Tandak Lebaran.

Sementara itu, Haziq mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak produksi kerana telah memberikan peluang dan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk lagu tunggal Hari Raya Aidilfitri ini bersama-sama Meera.

“Saya berharap Tandak Lebaran terus malar segar dan menjadi siulan, serta bualan orang ramai. Saya tidak mahu lagu ini hanya terkenal setahun atau dua tahun sahaja, sebaliknya popular sepanjang masa. Saya turut mendoakan agar lagu ini bermanfaat kepada semua pendengar,” kata Haziq.

Video muzik Tandak Lebaran telah dilancarkan di saluran YouTube Buana Rama Records untuk ditonton orang ramai pada musim perayaan ini, dan secara jualan digital di pelantar penstriman dan iTunes. Hak cipta Tandak Lebaran dipegang oleh Luncai Emas Sdn. Bhd., sementara edarannya di bawah label Buana Rama Records.

Semoga lagu ini dapat menyentuh hati peminat di seluruh Malaysia, dan menarik perhatian generasi baharu dalam kemeriahan kita menyambut Syawal pada tahun ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!