Oleh Syaza Wardina
14 Mei 2022, 11:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya ‒ “Sejak tahun 2020, negara kita telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang membawa slogan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’. Dalam pelan tindakan ini, ada digariskan peranan bahasa dalam mencapai perpaduan negara.”

Mahu tidak mahu, semua pihak perlu mengakui bahawa bahasa merupakan satu daripada alat perpaduan negara.

Demikian menurut Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), YBhg. Dato’ Indera Noridah Ibrahim ketika sesi kunjungan hormat Dewan Bahasa dan Pustaka kepada beliau di Kompleks Kerajaan Parcel F, Putrajaya, petang semalam.

Kunjungan hormat DBP kepada Ketua Setiausaha KPN.

Kunjungan hormat tersebut diadakan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama antara DBP dengan KPN dalam usaha memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu seiring dengan usaha kerajaan Malaysia mencapai perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyampaikan ucapan alu-aluan dalam sesi kunjungan hormat DBP kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara.

Pada sesi kunjungan hormat yang dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, beliau berkata, “Banyak tindakan dan usaha yang boleh dilaksanakan untuk kita mencapai perpaduan negara melalui pemantapan fungsi bahasa. Dalam hal ini, apa-apa yang penting, kita perlu mencari dan menggunakan kaedah yang terbaik untuk mendekati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur yang berbagai-bagai.”

Tambah beliau, “Kita perlu bekerjasama untuk menganjurkan program yang lebih bersifat santai, seperti melalui acara kebudayaan dan aktiviti sukan. Sebagai contohnya, kita anjurkan aktiviti deklamasi puisi perpaduan dan membawakan sambutan Hari Gawai dan Pesta Keamatan ke Semenanjung Malaysia ‒ melalui kerjasama DBP dan KPN.”

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin turut menyatakan, “Dalam ledakan arus globalisasi dan pendigitalan khususnya di negara ini, kita seharusnya bijak mengambil peluang untuk mendekati masyarakat dalam merangka agenda perpaduan negara, antaranya melalui penghasilan video pendek mengikut trend terkini masyarakat.”

Setiausaha Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa, Encik Mohd Sobri Mat Daud (kiri).

Pada sesi kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Bahagian Dasar dan Perhubungan Antarabangsa, Encik Mohd Sobri Mat Daud turut membentangkan maklumat korporat KPN serta usaha yang telah dijalankan oleh kementerian ini sejak ditubuhkan pada 20 Mac 2020. Antaranya, beliau menjelaskan pengenai perkhidmatan teras kementerian ini yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kesepaduan masyarakat dan kesejahteraan komuniti; pendidikan awal kanak-kanak Tabika Perpaduan; penghayatan pendidikan rukun negara; keharmonian antara agama; kolaborasi strategik; pembangunan sosioekonomi masyarakat India; dan pembangunan Kampung Baru Cina.

Yang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut ialah pengurusan tertinggi dan pengurusan DBP yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi; Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Encik Saifullizan Yahaya; Ketua Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Encik Mohd Fadzli Tajuid; pihak pengurusan KPN; serta karyawan DBP dari Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dan Bahagian Majalah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!