18 Mei 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Sembang Tamu Dewan Budaya yang bersiaran secara langsung dari Studio DBP dan ditayangkan menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada petang semalam membawakan penonton berkenalan dengan seorang pengumpul pakaian tradisional dari Ayer Keroh, Melaka termasuklah songket yang berusia hampir 50 tahun, iaitu YM Raja Andak Raja Hussin atau lebih mesra disapa sebagai Pak Andak.

Dalam rancangan tersebut, Pak Andak menunjukkan koleksi pakaian songket yang menjadi jantung hatinya. Antara pakaian songket yang dibawa ialah songket berwarna ungu manggis dengan bermotifkan bunga tanjung, songket bunga tabur berwarna biru nila, dan songket bunga tabur bertenun benang emas dengan corak kudup bunga raya.

Pak Andak mengakui berminat dengan pakaian warisan budaya ini sejak berusia enam tahun kerana membesar dengan melihat pakaian songket yang dipakai oleh keluarganya dan persekitarannya pada ketika itu.

“Saya dibesarkan dalam suasana kemeriahan pemakaian songket dan sentiasa melihat keluarga saya menggayakan songket sejak kecil iaitu semasa berumur enam tahun,” jelas anak jati Batu Pahat Johor ini.

Pada masa yang sama, mengimbau kembali kenangan beliau bersama orang tuanya yang sering mengenakan songket, beliau menyatakan mula tertarik dengan kain songket apabila sering melihat ibunya menyediakan samping songket untuk bapanya setiap kali mengerjakan solat Jumaat.

Selain itu, faktor yang menarik minat Pak Andak dalam mengumpul baju-baju lama ini ditambah lagi apabila beliau melihat busana songket yang selalu dipakai oleh raja sehari semasa ke majlis perkahwinan yang melambangkan kecantikan dan kemewahan.

“Saya suka melihat pakaian songket pengantin kerana cantik dan mahal. Waktu itu, kain songket hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan dan mak andam untuk membuat majlis perkahwinan,” jelas pengumpul pakaian songket Malaysia ini.

Menurut Pak Andak, pakaian songket ini bukan sahaja digunakan oleh pengantin sahaja. Golongan bangsawan juga menggayakan pakaian songket ketika majlis keraian, keramaian dan majlis penganugerahan pingat. Songket ini dapat dibezakan fungsinya berdasarkan warna, motif dan tenunannya.

Tambah beliau lagi, “Sebagai pengumpul baju songket, saya harus tahu asal usul dan falsafah pakaian tersebut seperti jenis motif, penggunaannya berdasarkan warna dan jenis potongan pada bahagian leher sama ada tulang belut atau mata lalat. Falsafah inilah yang melambangkan kemewahan pada kain songket.”

Pengumpul koleksi pakaian songket tradisional ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 400 pasang pakaian songket yang berusia 50 tahun dan ke atas termasuklah yang hilang, mereput kerana makan diri dan dijual.

Antara kaedah untuk menentukan nilai kualiti pakaian songket ini adalah apabila pakaian tersebut berusia lebih daripada 50 tahun dengan keadaan warna yang tidak luntur berserta tenunan benang perak yang masih legap.

Mengulas lebih lanjut berkenaan keistimewaan songket Malaysia, Pak Andak menyatakan songket Terengganu Jong Sarat mempunyai tenunan penuh dan berat sehingga pemakainya dapat merasakan sedang menampung pakaian tersebut.

Selain itu, baju kurung songket ini juga dilengkapi dengan basi iaitu lipatan lebihan kain pada bahagian hujung baju yang boleh digunakan sebagai kain tampal sekiranya berlaku kerosakan seperti berlubang atau terkoyak.

Pak Andak bersama-sama moderator, Izham Mispan.

Pak Andak turut berkongsi pengalamannya berkenaan tatacara penjagaan pakaian lama yang perlu dititikberatkan, antaranya perlu disimpan di tempat yang kurang pencahayaan, plastik setiap pakaian perlu diganti setiap enam bulan, setiap pakaian hendaklah digantung dan tidak disimpan di dalam almari kayu untuk mengelakkan serangan serangga perosak.

Mengakhiri sesi temu bual, Pak Andak menyatakan harapan beliau untuk melihat songket Malaysia digunakan dengan lebih meluas lagi. Malah, beliau turut menyeru pengusaha industri perkahwinan untuk terus menggalakkan penggunaan busana songket kepada pengantin dalam majlis perkahwinan kerana beliau berpendapat mereka inilah antara pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan songket kepada masyarakat.

Tonton rancangan Sembang Tamu: “Si Jantung Hati” Raja Andak Raja Hussin di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.