18 Mei 2022, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Temasya 99 Laksa Kuale anjuran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di Arena Kuala Kangsar pada 14 Mei 2022 lalu diadakan berikutan juadah berkenaan signifikan dengan daerah itu. Difahamkan angka 99 diambil daripada perkataan Kuala Kangsar, iaitu Kuala Kurang Sa yang bermaksud terdapat 99 anak sungai dan kurang satu untuk menjadi 100. Angka 99 juga bermaksud 99 buah gerai/peniaga meskipun akhirnya hanya 56 sahaja yang mengambil bahagian.

Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Idris A’fifullah (serba kuning) melawat gerai/peniaga yang menyertai Temasya 99 Laksa Kuale.

Perasmian Temasya 99 Laksa Kuale disempurnakan oleh Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Idris A’fifullah yang juga pencetus idea penganjuran temasya tersebut.

Ternyata idea Raja Nazhatul Shima tidak sia-sia kerana MPKK berminat, dan menyambut dengan harapan dapat menjadikannya sebagai acara pelancongan tahunan selain Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah.

Menurut Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad, penganjuran Temasya 99 Laksa Kuale merupakan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Kangsar, Bandar Diraja Perak.

“Daerah Kuala Kangsar amat terkenal dengan pelancongan bertemakan warisan, budaya serta kraf tangan. Temasya laksa ini mampu menyuntik semula ekonomi penggiat industri pelancongan daerah ini yang terjejas ekoran COVID-19,” kata Zulqarnain dalam ucapannya.

Pemenang tempat pertama gerai paling meriah atau tercantik.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Baiduri Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Ahli Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Temasya 99 Laksa Kuale turut dimeriahkan oleh persembahan beberapa orang artis terkenal tanah air seperti Yassin Yahya atau Yassin Senario, dan Ahmad Yassin serta Alfia (Yah Kucai), dan cabutan bertuah, pertandingan makan laksa terbanyak (satu kilogram), dan gerai paling meriah atau tercantik. Pengguna YouTube terkenal, Apit Wan Lebo yang juga warga Kuala Kangsar ditugaskan sebagai pengacara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.