20 Mei 2022, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Majlis Kenduri Budaya pada pagi 20 Mei 2022, bertempat di Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu, UKM.

Penganjuran majlis ini dilakukan dengan kerjasama Yayasan Budi (BUDI), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Gagasan Minda Merdeka (GMM).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan Pengarah ATMA, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, “Dalam menggiatkan aktiviti kebudayaan di negara ini, ATMA bakal meluaskan fungsi Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu UKM, iaitu melalui pembukaan gelanggang silat, permainan tradisi, serta majlis kebudayaan secara berkala.”

Persembahan silat pada Majlis Kenduri Budaya anjuran ATMA UKM.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengharapkan Taman Pantun ini menjadi lapangan sasar bagi aktiviti berpanah dan berkuda.

 

YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim.

Menerusi ucapan Yang di-Pertua Dewan Negara merangkap Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais Yatim, beliau berkata, “Kita di ambang perubahan siasah, dan perkara ini harus dilalui dengan kesedaran.”

Kita sebenarnya dalam keadaan tali gasing. Dahulu pangkalnya tebal, kini semakin tirus.

“Bagi yang tidak kenal sejarah, ATMA dikatakan hanyalah cabang UKM. Cabaran-cabaran ini perlu dibawa kepada pemimpin, betapa pendidikan merupakan acuan yang penting,” kata beliau.

YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais turut berkata, “Dalam hal kebudayaan, ramai mengatakan warisan seni dan budaya tidak penting. Dalam hal ini, saya merakamkan ucapan tahniah kepada ATMA dan agensi lain yang menganjurkan usaha murni ini.”

Pada majlis tersebut, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan bahasa kebangsaan. Katanya, “Hakikat sekiranya bahasa Melayu tidak diutamakan seperti dalam perlembagaan, kita akan keciciran, termasuklah budaya.”

Hilang bahasa, hilang budaya. Hilang budaya, hilang negara.

Pada Majlis Kenduri Budaya tersebut, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Rais turut melancarkan Tabung Taman Pantun Istana Puteri Bongsu. Majlis turut diserikan dengan persembahan silat, bongai, teromba dan pantun.

Pelancaran Tabung Taman Pantun, Istana Puteri Bongsu, UKM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, YBhg. Profesor Dato’ Norazah Mohd Nordin berkata, “Pada Mei 2022 merupakan ulang tahun UKM yang ke-52. Menjelang hari ulang tahun ini, warisan budaya kebangsaan menjadi agenda penting UKM.”

“Atma sebagai pasak yang menunjangi UKM, yang sejak tahun 1992 telah meluaskan skop kajian dalam pelbagai aspek kehidupan kosmologi Melayu. Oleh itu, usaha majlis ini akan mempunyai kesinambungan untuk memartabatkan warisan yang tidak ternilai harganya,” tambah beliau.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!