21 Mei 2022, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemaman – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha meningkatkan khalayak dan juga rakan kolaborasi apabila turun padang melaksanakan program kepada masyarakat Orang Asli Semoq Beri di Kemaman.

Program Penyelidikan dan Pengumpulan Cerita Rakyat Semoq Beri dan Apresiasi Bahasa dan Sastera Bersama-sama Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Pergam yang dilaksanakan pada 18 hingga 19 Mei 2022 lalu menyasarkan masyarakat Orang Asli suku Semoq Beri pelbagai peringkat usia.

Pelbagai program berkonsepkan pertandingan, candawara, mainan akal bahasa dan sastera, didik hibur dan kajian lapangan bagi mengumpulkan cerita rakyat masyarakat Orang Asli. Usaha ini dijayakan dengan gabungan tenaga tiga bahagian di DBP, iaitu Bahagian Penyelidikan Sastera,  Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Antara kegiatan yang dilaksanakan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah ialah Pertandingan Mewarna bertema bahasa, Pertandingan Sebut dan Eja dengan Betul, Pertandingan Dam Bahasa dan Kuiz Bahasa dan Sastera. Pertandingan Lagu Puisi dan Lagu Melayu pula terbuka dan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat pula melibatkan beberapa orang responden yang terdiri daripada Tok Batin dan juga warga emas masyarakat Orang Asli Semoq Beri di Kampung Sungai Pergam dan kampung lain yang berdekatan. Sebanyak 10 cerita rakyat berjaya dikumpulkan sepanjang  kajian ini dijalankan.

YB Cikgu Abdul Razak Ibrahim, ADUN Air Putih.

Sekalung penghargaan kepada Yang Berhormat (YB) Cikgu Abdul Razak Ibrahim, ADUN Air Putih yang hadir merasmikan majlis penutupan program. Melihat kepada sambutan masyarakat Orang Asli  terhadap program ini, beliau amat mengharapkan DBP dapat meneruskan program ini pada masa akan datang. Hal ini agar peneguhan jiwa terhadap bahasa dan sastera Melayu dalam kalangan masyarakat Orang Asli bertambah mantap dan dapat dipertingkatkan.  Beliau amat berterima kasih kepada DBP kerana memilih Sungai Pergam sebagai lokasi mengadakan program pada tahun 2022.

Majlis perasmian penutupan program.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP berkata, cerita rakyat masyarakat Orang Asli Semoq Beri yang diusahakan pengumpulannya oleh pegawai penyelidik bahagiannya akan  diterbitkan oleh DBP. Projek penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat Orang Asli seluruh negara ini bermula pada tahun 2016. Program penyelidikan dan pengumpulan cerita rakyat ini merupakan khazanah berharga negara untuk kita mengetahui budaya dan pemikiran orang asli di Malaysia. DBP juga melaksanakan pelbagai program bahasa dan sastera di sini untuk menyemai benih-benih kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dan celik terhadap kesusasteraan.

Sementara itu, Encik Mohd Azam Juhari, Pengarah DBP Wilayah Timur berkata, “DBP Wilayah Timur sentiasa berusaha untuk mengembangkan bahasa dan sastera di seluruh negeri Terengganu. Pelbagai program telah dirancang di Kampung Sungai Pergam, dan ini merupakan usaha bersepadu DBP untuk mengumpulkan kearifan tempatan dan memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu oleh masyarakat Orang Asli di sini.”

Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum mengucapkan terima kasih kepada JAKOA Terengganu dan Pejabat DUN Air Putih atas kerjasama menjayakan pelaksanaan program ini. Menurut Roziah, usaha ini dapat memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan, jati diri dan perpaduan kaum masyarakat Orang Asli.

Bahagian kami menyantuni masyarakat semua kaum di Malaysia dalam memenuhi misi bahagian, iaitu memasyarakatkan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan pelbagai kaum.

Encik Shafei Abas.

Encik Shafei Abas, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Terengganu dan Kelantan amat berterima kasih atas perhatian pihak DBP melaksanakan program ini. “Masyarakat Orang Asli di sini menyambut baik dan kami mengalu-alukan pelaksanaan program ini kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Kelantan dan Terengganu,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.