Oleh Syaza Wardina
21 Mei 2022, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Inisiatif inovasi yang dilaksanakan di Kampung Nelayan Warna-warni Program Transformasi Diraja Seberang Ramai, Kuala Perlis untuk masyarakat setempatnya mendapat perhatian Dr. Hesham Hafez, seorang usahawan berjaya dalam industri pemerdagangan kertas global yang kini bermastautin di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau yang terpegun dengan perubahan Kampung Seberang Ramai menyatakan, berdasarkan pemerhatian beliau, Perlis telah mula menggalakkan dan menyokong usaha inovasi.

Dr. Hesham Hafez berucap dalam International Talk Series Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ketika menyampaikan ucapan bagi menerangkan teras utama dalam inovasi termasuklah cara untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang inovatif dalam International Talk Series Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Hesham berkata, “Saya percaya Perlis berada di landasan yang betul untuk melaksanakan projek perintis kepada mana-mana bandar, pekan atau kampung yang tidak besar bukan sahaja di Malaysia seperti ini tetapi di seluruh dunia kerana pencapaian usaha ini walaupun masih di peringkat awal dan banyak lagi usaha sedang dirangka untuk ditambah baik, namun perkara ini benar-benar unik, inovatif dan jika terus diberikan fokus akan mampu memberikan perubahan hidup yang cukup memanfaatkan seluruh warga setempat.”

Dalam seminar tersebut, beliau turut berkongsi tentang buku karya beliau sendiri yang bertajuk The Global Innovator: How Nations Have Held and Lost Innovative Edge yang diadakan di Auditorium Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP di Pauh Putra. Buku tersebut ditulis oleh Dr. Hesham bersama-sama dua orang tokoh, iaitu Kenneth Lipartito dan Patricia Watson melalui Think Twice Books dan diterbitkan di Amerika Syarikat oleh Ideapress Publishing.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri International Talk Series Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro-Canselor berkenan berangkat menghadiri seminar yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-79 tersebut.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti. Yang hadir sama ialah kepimpinan tertinggi dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP serta wakil daripada pelbagai agensi dan juga institusi pengajian tinggi di Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.