23 Mei 2022, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dikir barat, seni budaya yang tidak asing lagi di negara kita.  Kesenian ini berakar di Kelantan dan berkembang dan dikenali sehingga ke luar negara. Bagi menghargai jasa bakti para pendikir yang tinggi nilainya, Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dengan kerjasama Persatuan Dikir Barat Negeri Kelantan (PENDIKIR) mengiktiraf jasa dan sumbangan para pendikir barat di negeri Kelantan dengan menganjurkan Malam Himpunan Dikir Barat 2022 di sebuah hotel di Kota Bharu yang telah menghimpunkan seramai 400 orang khalayak.

Hadir merasmikan program, Dato’ Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan berkata, program ini berjaya mengumpulkan para pendikir dan antara himpunan dikir barat terbesar di Kelantan.  Beliau percaya dan yakin usaha seumpama ini dapat mengekalkan kesinambungan seni budaya dan mengangkat nama negeri Kelantan. Kerajaan negeri sentiasa menyokong anak seni yang giat memartabat dan mempertahankan seni warisan budaya Kelantan ini.

YB Menteri Besar Kelantan menyampaikan sagu hati dan sijil penganugerahan kepada Jen Endoro.

Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan berkata, selain Darul Naim, Kelantan turut diberi jolokan sebagai Negeri Gedung Budaya, Negeri Serambi Mekah dan Negeri Bertuah.

Gelaran ini terhasil daripada penat lelah anak negeri yang sentiasa berfikir dan bekerja untuk memartabatkan negeri Kelantan.

Ujar beliau, program ini bertujuan mengiktiraf penggiat seni dikir barat yang mengharumkan nama negeri Kelantan, mengerat hubungan silaturahim antara pendikir dan memartabatkan seni dikir barat sebagai warisan budaya Kelantan agar tidak pupus.

Dalam majlis yang gemilang tersebut, beberapa kategori anugerah dan pengiktirafan telah diberikan kepada pendikir yang layak. Sabri Yunus, pengarah dan pelakon terkenal tanah air telah dinobatkan sebagai Duta Anak Seni Kelantan. Anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan ini dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam bidang pengarahan, lakonan drama juga perfileman yang telah mengharumkan nama negeri Kelantan.

Sabri Yunus dinobatkan sebagai Duta Anak Seni Kelantan.

Kategori Ikon Legenda Dikir Barat telah dianugerahkan kepada tokoh pendikir yang lama menabur jasa, iaitu Jen Endoro (Mohd Zain Ismail), Jali Bunga Tanjung (Mohd Razali Abdul Sukor)  dan Cikgu Sulizi (Sulizi Che Awang). Ikon Tok Jogho pula diberikan kepada Rozi Kemang Berduri (Mohd Razi Che Wil), Mejah Ana (Mejah Muda), Man Tok Raja (Tuan Ab Rahman Tuan Soh) dan Mail Anak Kala (Che Ismail Che Soh).

Tuan Kob Raja Saring.

Kategori Ikon Tukang Karut pula dianugerahkan kepada Tuan Kob Raja Saring (Tuan Yacob Tuan Ismail), Kohar Teknik (Azhar Yaacob) dan Pak Nik Har Senandung Malam (Nik Azhar Nik Yahya). Kerajaan negeri turut meraikan pendikir muda Kelantan dengan memperkenalkan Ikon Muda Dikir Barat yang menjadi pelapis dikir barat. Anugerah ini dikurniakan kepada Amran DBA (Amran Mat Daud), Raden Mas Uji (Mohd Hanafiah Yusoff) dan Joe Ranjuna (Mohd Faizul Ya).

Kerajaan negeri turut mengiktiraf pemain gendang yang profesional dengan memperkenalkan Ikon Pemain Gendang. Penerima anugerah ini ialah Piji Bano (Ruhaizi Abas)  dan Fauzi Kok Lanas (Fauzi Hussin). Kategori Ikon Media Baru/Dikir Fusion pula diberikan kepada Man Khan (Wan Nukman Wan Hamdan), Fendi Kenali (Mohd Afandi Mohamad), Poyie Gasi (Mohamad Zainuri Mohd Zain), Fadil Turbo Mohd Fadil Mohd Noor) dan Jen KL (Mohd Zain Hussin). Kategori berikutnya ialah Ikon Jasamu Dikenang telah dianugerahkan kepada pendikir otai, iaitu Hamid Budaya (Che Hamid Awang) dan Tokwe Hasan Gula Batu (Abdul Manaf Mohamad).  Pak Chu (Eyo Hock Seng) pula diberikan Ikon Dikir antara Kaum yang mengiktiraf jasa beliau dalam berkecimpung secara aktif dalam dikir barat.

Penggiat dikir barat ternyata gembira, berterima kasih dan bersyukur atas perhatian dan keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengiktiraf peranan mereka dan meletakkan kesenian dikir barat antara kesenian yang penting dan ikonik negeri Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.